Salahkah Graduan Mengimpikan Gaji Berpatutan?
Masyarakat memberikan reaksi yang pelbagai berkenaan dengan satu klip video yang memaparkan graduan berkongsi jangkaan gaji yang diterima apabila mula bekerja. Ada yang memperlekeh pandangan graduan yang dilihat umpama tidak berpijak di bumi yang nyata. Namun ada juga yang bersetuju kerana berpandangan ia sesuai dengan latar belakang pendidikan dan kos sara hidup semasa.
Benarkah graduan tidak realistik dalam membuat jangkaan gaji yang diterima atau sebenarnya masyarakat yang masih belum bersedia bergerak ke arah menawarkan pendapatan tinggi kepada para pekerja?
Realitinya, boleh dikatakan bahawa pergerakan gaji di Malaysia adalah perlahan. Berdasarkan pengamatan penulis, gaji permulaan graduan 20 tahun lepas berada di sekitar julat RM1500-2000. Julat gaji permulaan ketika itu juga dilihat tidak banyak perbezaan dengan julat gaji yang diterima oleh graduan ketika ini. Berdasarkan Laporan Kajian Pengesanan Graduan 2022, 66.7% graduan diploma memperoleh pendapatan bulanan RM1,001–RM2,000. Menariknya, julat pendapatan ini juga diterima oleh 33.3% graduan ijazah pertama. Manakala 35.4% graduan ijazah pertama lagi memperoleh pendapatan bulanan dalam julat RM2001-RM3000.
Realistiknya, upah dibayar berdasarkan produktiviti atau penghasilan pekerjaan. Orang yang mengupah sudah pasti mengharapkan hasil daripada individu yang diupah. Mereka juga lazimnya menyukai jika upah tersebut adalah rendah ataupun malar. Manakala individu yang diupah pula berharap semakin banyak output yang dihasilkan, semakin banyak upah yang diterima.
Realitinya, penentuan gaji pekerja adalah berdasarkan kepada permintaan dan penawaran dalam pasaran sesuatu pekerjaan. Hal ini dipengaruhi oleh pelbagai faktor yang saling berkait seperti sifat pekerjaan tersebut, kelayakan pekerja (tahap pendidikan, kemahiran, pengalaman), produktiviti, undang-undang berkaitan gaji minimum, kos sara hidup semasa dan keupayaan kewangan sesebuah firma.
Sekalipun produktiviti dan keupayaan kewangan firma adalah baik, peningkatan dan penawaran gaji yang lebih baik kepada pekerja tidak semestinya berlaku lebih-lebih lagi jika firma masih lagi menekankan perihal mengurangkan kos dan tidak sanggup membayar lebih berdasarkan produktiviti. Perkara ini bukanlah sesuatu yang asing di Malaysia kerana kita masih lagi menggunakan model perniagaan berintensifkan buruh berkemahiran rendah.
Sedangkan, rancangan untuk menginjak kepada sebuah negara berpendapatan tinggi bukan sahaja menuntut perubahan dalam kemahiran buruh yang diperlukan atau teknologi terkini yang digunakan, tetapi juga bergantung kepada kesediaan perniagaan untuk melaksanakan perubahan-perubahan dalam keputusan perniagaan. Adalah satu kerugian bagi sesebuah negara yang mempunyai bekalan bakat muda yang berkemahiran tinggi, namun tidak dapat mewujudkan permintaan kepada bekalan tersebut kerana tidak bersedia untuk berubah atau beradaptasi.
Ketidakpadanan di antara permintaan industri dengan pengkhususan bakat muda inilah boleh mewujudkan jurang dalam penetapan gaji yang berpatutan. Permintaan kepada tenaga kerja berkemahiran rendah tempatan dalam kalangan bakat muda berkemahiran tinggi sukar melonjakkan julat gaji ke paras yang lebih kompetitif. Begitu juga apabila berlaku lambakan tenaga kerja berkemahiran tinggi memberi kelebihan kepada penawar untuk meletakkan gaji yang lebih rendah disebabkan persaingan, namun beban tugas pekerjaan tersebut adalah tidak setara. Oleh itu, penawar tidak wajar hanya menimbangkan faktor permintaan dan penawaran dalam menentukan gaji yang wajar kepada pekerja.
Dalam hal ini, Islam menggariskan beberapa pendekatan bagi memastikan kemaslahatan pihak-pihak yang berkaitan terpelihara. Pendekatan pertama adalah berdasarkan prinsip keadilan. Setiap pekerja hendaklah diberikan upah yang setimpal di atas kerja-kerja yang dilakukan oleh mereka. Tidak salah majikan untuk menawarkan gaji mengikut pasaran semasa, namun hendaklah perkara tersebut dipandu oleh nilai dan etika Islami. Sebagai contoh, tidak mengambil kesempatan di atas lambakan graduan dalam pasaran dengan menawarkan gaji minimum bagi pekerjaan yang mempunyai skop kemahiran tinggi. Pekerja juga hendaklah memenuhi matlamat pekerjaan bagi memperoleh keberkatan dalam gaji yang diterima mereka.
Kedua ialah prinsip amanah dengan mematuhi aqad pekerjaan. Islam tidak membenarkan sebarang bentuk tipu daya dalam pembentukan kontrak atau pengubahsuaian kontrak yang telah dimeterai tanpa persetujuan pihak-pihak yang terlibat. Dalam kontrak pekerjaan, tipu daya atau pengubahan terma termasuklah seperti memberi jumlah gaji yang berbeza daripada yang dipersetujui, tidak membuat caruman kepada agensi yang diwajibkan, halangan menikmati manfaat pekerja yang dibenarkan tanpa sebab yang kukuh dan lain-lain.
Ketiga ialah prinsip ihsan seperti membuat penilaian terhadap kadar gaji dari semasa ke semasa berdasarkan kos sara hidup, peningkatan produktiviti dan keuntungan yang diperoleh oleh firma. Ini kerana tujuan individu bekerja adalah bagi mendapatkan sara diri untuk dirinya dan tanggungan secara bermaruah. Oleh itu, gaji yang diterima hendaklah disesuaikan dengan keadaan semasa agar pekerja tidaklah sehingga meminta-minta, berhutang atau terpaksa bekerja sepanjang masa tanpa ada kehidupan sosial demi memenuhi keperluan asas mereka. Peribahasa Melayu menyebut “kelapa muda tak berminyak” yang bermaksud, orang muda yang belum ada pengalaman. Bersemangat dan berani meneroka sesuatu yang baharu adalah kualiti terbaik yang dimiliki oleh anak muda. Mereka memerlukan bimbingan semua pihak untuk menjadi individu yang berjaya dan dapat memberi manfaat kepada agama dan negara. Oleh itu, usahlah kita memperlekeh anak muda yang berusaha dan berani menyuarakan pandangan termasuklah dalam aspek gaji yang mereka harapkan. Sebaliknya, hendaklah kita bersama-sama memimpin anak muda, meneroka dunia dengan lebih luas agar generasi ini berpeluang menikmati kehidupan yang lebih baik pada masa akan datang. Ini kerana, kelapa akan menjadi tua dan mengeluarkan “minyak” pada akhirnya.