DUNIA mengakui Malaysia adalah sebuah negara Islam dinamik dan progresif. Kerajaan sentiasa memikirkan terbaik untuk memelihara keharmonian dan kesejahteraan rakyat. Bukan mudah untuk mentadbir sebuah negara yang rakyatnya pelbagai etnik dan agama. Tetapi dengan perancangan teratur dan dasar pragmatik, rakyat Malaysia menikmati kemakmuran baik dalam bidang ekonomi, sosial mahupun politik.
Kita perlu bersyukur agar kemakmuran itu berterusan dan pada masa sama menghindari daripada mendapat kemurkaan-Nya. Namun, lumrah manusia apabila mendapat nikmat melimpah ruah, mempunyai kecenderungan untuk melakukan perkara bertentangan dengan prinsip anjuran agama.
Banyak bukti dan dalil daripada al-Quran yang menyebut beberapa kemusnahan bangsa terdahulu akibat kelalaian mereka dalam mensyukuri nikmat Allah dan mematuhi suruhan-Nya.
Peristiwa yang berlaku kepada kaum Nabi Nuh, Nabi Lut, kaum Tsamud dan penduduk Madyan disebut dalam Surah al-Ankabut, ayat ke-40 yang bermaksud: “Maka masing-masing (mereka itu) Kami seksa disebabkan dosanya, antara mereka ada yang Kami timpakan kepadanya hujan batu kerikil, dan antara mereka ada yang ditimpa suara keras menggempakan bumi, dan antara mereka ada Kami benamkan ke dalam bumi, dan antara mereka ada Kami tenggelamkan, dan Allah sekali-kali tidak hendak menganiaya mereka akan tetapi merekalah menganiaya diri sendiri.”
Jika diamati nasib yang menimpa kaum itu, semuanya berpunca daripada salah laku dan keengganan mereka menerima kebenaran yang dibawa oleh rasul. Akhirnya, kemajuan dan peradaban dibina musnah. Apa yang tinggal hanya kesan kehancuran. Ia seharusnya menjadi iktibar kepada kita supaya tidak mengulangi perbuatan kaum terdahulu.
Tokoh Maal Hijrah 1426, Dr Muhammad Uthman El-Muhammady dalam satu artikel beliau bertajuk Ibn Khaldun dan Pemerkasaan Budaya dan Tamadun Dengan Merujuk Kepada Al-Muqadimmah menggariskan beberapa perkara yang perlu dielakkan dalam usaha menguatkan bangsa dan tamadun yang dibina.
Antara saranannya adalah perlu mengelak kerosakan nilai pegangan akibat fahaman yang menyeleweng dalam agama. Pada masa sama, perlu mengelak pengaruh budaya hiburan berlebihan yang boleh mengatasi budaya ilmu dan keintelektualan, yang akhirnya melemahkan bangsa dan umat.
Katanya, antara yang menyebabkan nilai peribadi individu atau masyarakat rosak adalah dominasi budaya pemujaan selebriti (celebrity cult). Sepatutnya kita perlu membudayakan prinsip ‘mengikut contoh yang baik’ (uswah hasanah) seperti yang dinyatakan oleh al-Quran dalam Surah al-Ahzab, ayat ke-33 bermaksud: “Sesungguhnya ada pada (diri) Rasulullah itu contoh teladan yang baik bagi kamu.”
Dengan kata lain, kita sepatutnya menjadikan Rasulullah SAW sebagai idola dan mencontohi akhlak terpuji Baginda dalam menjalani kehidupan di dunia ini. Adalah tidak wajar, kita terikut-ikut moral yang dipertontonkan oleh dunia Barat. Lantas, mengatakan apa yang dibawa oleh Islam melalui Nabi Muhammad sebagai sesuatu yang tidak bersesuaian untuk diamalkan dalam kehidupan serba moden dan kononnya bertamadun ini.
Bagaimanapun, kita bernasib baik kerana Kerajaan Malaysia masih lagi rasional dan mengakui kepentingan unsur pegangan agama dan peranan moral serta budaya dalam menguatkan peradaban bangsa. Justeru, kerajaan memasukkan unsur ini dalam beberapa dasarnya. Bermula daripada Rukun Negara hingga Wawasan 2020 dan terbaru Pelan Integriti Nasional dan Islam Hadhari.
Penekanan kepada keperluan mempunyai akidah betul serta fungsi nilai dan moral di kalangan masyarakat dijadikan asas oleh kerajaan dalam menggubal dasarnya.
Bagaimanapun, mendukacitakan jika ada pihak yang cuba menidakkan fungsi nilai dan moral yang dibawa oleh Islam dalam pembentukan peradaban bangsa Malaysia, atas alasan melanggar hak asasi manusia.
Kita perlu jelas bahawa setiap hukum yang yang dibawa Islam ada kaitan dengan nilai moral dan etika anjuran agama. Nilai moral dan etika dalam Islam bukan sesuatu yang lahir daripada sesuatu kebiasaan. Ia bersumberkan al-Quran dan sunnah.
Nilai dalam Islam sebenarnya sebahagian daripada cerminan sesuatu perundangan dalam Islam diadakan (al-Maqasid as-Syari’yyah). Ada isu baru dalam kehidupan umat Islam masa ini yang sememangnya menuntut kaedah penyelesaian yang baru, namun ia bukan alasan untuk mengubah hukum yang ditetapkan Islam.
Setiap hukum dan larangan dalam ajaran Islam ada hikmahnya tersendiri dan setiap orang yang rasional, mengakuinya. Jadi, sebagai seorang waras, kita tidak seharusnya bersekongkol dengan sebarang usaha untuk meliberalkan hukum dalam al-Quran dan sunnah.
Satu lagi perkara yang perlu jelas adalah Islam bersifat adil. Setiap suruhan dan tegahan agama bukan bermaksud untuk mengekang kebebasan individu. Ia sebenarnya untuk kebaikan bersama. Inilah tujuan utama Nabi Muhammad diutuskan iaitu untuk menjadi rahmat kepada sekalian alam.
Perakuan itu terkandung dalam Surah al-Anbia’, ayat ke-107 bermaksud: “Dan tiadalah Kami mengutus kamu, melainkan untuk (menjadi) rahmat bagi semesta alam.”
Maksudnya, jika kita melakukan suruhan agama dan menjauhi larangannya, rahmat yang bakal diperoleh bukan saja terhad kepada orang Islam semata-mata. Masyarakat beragama lain, makhluk selain manusia seperti haiwan dan alam sekitar juga turut berasakan keadilan yang dibawa Islam.
Oleh itu, menjadi tanggungjawab kita sebagai seorang Islam untuk memberi kefahaman kepada masyarakat, termasuk bukan Islam, pentingnya memelihara moral dan bertata susila sopan.
Dikhuatiri jika kita bersikap liberal terhadap isu moral, lambat-laun ia akan melahirkan sindrom negatif, yang akhirnya diterima oleh masyarakat sebagai suatu kebiasaan dan tidak dianggap salah atau menyalahi moral.
Maka, kekalutan moral yang berlaku di Barat akan menular ke dalam masyarakat kita. Akhirnya, aspirasi untuk melihat bangsa Malaysia membangun mengikut acuan sendiri tidak dapat direalisasikan. Hal ini kerana wujudnya pertentangan antara konsep yang digariskan kerajaan dalam dasar yang diperkenalkan, dengan hakikat yang berlaku dalam masyarakat.
Dalam usaha mengejar kemajuan, kita tidak seharusnya mengetepikan peranan nilai agama, moral, etika dan budaya. Penyisihan unsur ini akan hanya menyebabkan tamadun sesuatu bangsa itu tidak dapat bertahan lama. Malah, nenek moyang kita sendiri menyedari kepentingan unsur ini dalam pembinaan peradaban bangsa. Sebab itu pepatah Melayu ada menyebut: “Tegak rumah kerana sendi, runtuh sendi rumah binasa, sendi bangsa adalah budi, runtuh budi runtuhlah bangsa.”