Walaupun keseluruhan ekonomi mencatatkan pertumbuhan bagi suku tahun kedua 2019, negara masih berhadapan dengan cabaran yang membimbangkan. Jika setiap cabaran ini tidak ditangani segera, ia bakal memberi kesan jangka panjang yang memudaratkan sosioekonomi negara.
Kita menyaksikan peningkatan berlaku terhadap kadar kemiskinan, jurang pendapatan dan hutang negara. Begitu juga kemerosotan nilai mata wang dan harga komoditi, pasaran saham dan pelabur asing merupakan petanda tidak sihat dalam sesebuah ekonomi.
Pakar ekonomi mengakui bahawa jurang pendapatan merupakan satu lumrah dalam sistem pasaran bebas. Pandangan ini selari dengan Al-Quran (43: 32) bahawa agihan rezeki pada kadar yang berbeza-beza supaya berlaku proses agihan. Keperluan dan kelebihan sesama manusia dapat dipenuhi melalui jalan perniagaan, pemberian, pewarisan dan sebagainya. Jika semua orang kaya atau semua orang miskin, aktiviti ekonomi tidak akan berfungsi.
Kita dikejutkan dengan penemuan yang dilaporkan oleh wakil PBB Philip Alston baru-baru ini bahawa Malaysia menggunakan cara pengiraan yang tidak tepat bagi mengukur tahap kemiskinan sebenar. Tahap kemiskinan di Malaysia dilaporkan pada kadar 0.4 peratus sebelum ini menyaingi kadar kemiskinan di Amerika Syarikat (17 peratus) dan Jepun (16 peratus). Gambaran ini seolah-olah Malaysia telah berjaya membasmi kemiskinan sedangkan hakikatnya berbeza sama sekali.
Perbezaan yang ketara ini disebabkan Malaysia menggunakan kadar lampau RM980 sebagai kadar asas sedangkan sepatutnya mengambil kadar semasa RM3,136 iaitu purata pendapatan semasa (berdasarkan statistik terkini yang diperolehi pada tahun 2016). Malah jika berdasarkan sumber data yang sama, kadar kemiskinan di Malaysia dianggarkan sekitar 20 peratus.
Data dan maklumat yang benar sangat penting bagi menyokong pemulihannya. Pentadbiran kewangan perlu dimurnikan dengan petunjuk-petunjuk ekonomi sebenar, statistik yang mudah diperolehi dan cara pengumpulan dan pengiraan yang meyakinkan. Petunjuk ekonomi tidak boleh dirahsiakan, diubahsuai atau dicuaikan. Statistik dan fakta yang salah memberi gambaran yang tidak tepat. Apatah lagi apabila maklumat ini digunakan untuk menggubal dasar dan perancangan sosioekonomi negara. Dasar menjadi tidak kukuh dan matlamatnya akan tersasar.
Simptom-simptom yang disebutkan di atas merupakan signal bahawa kita berhadapan dengan cabaran yang berisiko tinggi. Jika dibiarkan, ia akan menimbulkan ketidakpuasan hati dan impak kepada sosioekonomi rakyat. Untuk menyeimbangkannya, mekanisme kawalan melalui campur tangan kerajaan, ketelusan pemegang taruh dan kecekapan pasaran perlu diutamakan. Pihak berwajib perlu buat semakan semula terhadap sistem, dasar dan strategi berkaitan.
Salah satu pendekatan berkesan berdasarkan dapatan ilmiah ialah dengan mengamalkan sistem ekonomi dan kewangan Islam secara menyeluruh dan adil. Malaysia yang terkenal di peringkat dunia dengan ekonomi halal, sistem perbankan dan kewangan Islam boleh mengambil manfaat dalam bidang ini bagi memulihkan kemelut ekonomi yang berlaku. Tambahan pula, dilaporkan kedua-dua sektor ini berkembang dengan positif sekali kebelakangan ini.
Sekadar tinjauan awal, tahap perlaksanaan sistem ekonomi dan kewangan Islam di Malaysia masih terbelenggu dalam kerangka konvensional dan budaya kapitalis. Beberapa ujian asas boleh dilakukan untuk mengetahui sama ada sistem ekonomi dan kewangan Islam sebenar dilaksanakan dengan memperhalusi asas kontrak dan bentuk urusniaga.
Ekonomi halal bukan sekadar penjenamaan bagi tujuan pemasaran tetapi penghayatan halal lagi baik (halalan thoiyyiba) yang sebenar dengan semangat mencari keberkatan dalam aktiviti ekonomi. Gelombang inilah yang menjadi teras kempen. Keberkatan wujud apabila pemain industri faham dan imani konsep halal seterusnya merealisasikan dalam produk dan perkhidmatan mereka. Dengan cara ini, perniagaan bukan mencari keuntungan semata-mata sehingga menghalalkan penipuan dan menyalahgunakan kehalalannya.
Fenomena yang sama berlaku dalam sesetengah sistem kewangan dan perbankan Islam. Sistem kewangan Islam sekadar hiasan luaran dengan nama dan warna keislaman tetapi tidak dari sudut prinsipnya. Sistem ini masih berada dalam belenggu konvensional yang menjadikan amalan riba, industri hutang dan faham ekstrem kapitalisme yang mengejar keuntungan semata-mata. Allah berfirman mafhumnya: “Demikian itu adalah disebabkan sesungguhnya dahulu mereka telah berkata bahawa jual beli adalah sama dengan riba. Sementara Allah menghalalkan jual beli dan mengharamkan riba” (Surah al-Baqarah: 275).
Pada dasarnya sistem konvensional memindah risiko kepada pihak lain sedangkan sistem Islam pula berkongsi risiko sesama rakan kongsi atau pemodal. Oleh itu, kontrak pembiayaan kewangan umpamanya, perlu ada unsur perkongsian risiko. Apa yang berlaku dalam sistem perbankan konvensional atau Islam ialah aktiviti ‘menjual’ wang untuk mendapatkan wang dan faedah tambahan. Ini menjadikan sistem perbankan dan kewangan Islam hanyalah pintu belakang amalan riba.
Islam juga mewajibkan zakat bagi menyeimbangkan agihan pendapatan dan mengurangkan ketidakpuasan hati orang miskin terhadap orang kaya. Apabila orang kaya mengeluarkan zakat, kekayaan mereka bertambah kerana negara yang bebas dari kekacauan memakmurkan lagi urusniaga mereka. Jurang pendapatan yang mengecil boleh mengurangkan jurang perselisihan dan meningkatkan kestabilan sosioekonomi.
Selain jurang pendapatan, jurang ilmu pengetahuan dan ketelusan juga memainkan peranan penting memulihkan negara. Islam menekankan peri penting mengurangkan jurang ilmu, amanah dan tanggungjawab termasuklah ilmu pengetahuan tentang mengumpul data, perkiraan dan laporan.
Bagi menjamin pertumbuhan ekonomi berterusan, agenda dan aturannya perlu adil, telus dan mengutamakan kepentingan bersama secara bersepadu. Keberkesanan sistem ekonomi dan kewangan Islam bergantung kepada penghayatan sepenuh dari sudut konsep dan perlaksanaan. Mengorak langkah ke hadapan, sudah sampai masanya semakan semula sistem ekonomi yang diamalkan di Malaysia dibuat agar selari dengan tuntutan dan prinsip sebenar.