Dalam satu seminar berkaitan pendekatan siasah ‘Islam Hadhari’ yang dihadiri oleh penulis, ada orang bukan Islam yang memberi pandangan bahawa mereka tidak faham apa yang dimaksudkan dengan ‘Islam Hadhari’ itu. Ini kerana tiada usaha yang bersungguh-sungguh dilakukan untuk memperjelaskan pendekatan ini kepada mereka. Akibatnya, mereka berpendapat bahawa pendekatan ini diperkenalkan khusus untuk orang Melayu/Islam semata-mata.
Benarkah pendekatan Islam Hadhari diperkenalkan untuk kaum Muslim sahaja? Apakah mungkin sesuatu pendekatan pembangunan itu diperkenalkan oleh seorang pemimpin negara khusus untuk sebahagian dari rakyatnya sahaja? Akan berjayakah sesuatu pendekatan pembangunan itu jika hanya sebahagian rakyatnya yang berusaha ke arah itu?
Setelah lebih kurang lima tahun diperkenalkan, ada pihak yang cuba menilai keberkesanan pelaksanaan pendekatan Islam Hadhari ini. Beberapa bulan yang lalu, penulis menghadiri sebuah mesyuarat untuk mengenalpasti apakah petunjuk-petunjuk yang boleh dijadikan bukti bahawa pendekatan ini telah terlaksana dan berhasil.
Ketika membincangkan prinsip pertama – ‘Keimanan dan ketakwaan’ – ahli mesyuarat telah berbeza pendapat dan terbahagi kepada dua kumpulan. Kumpulan pertama berpendapat prinsip ini penting kepada semua warganegara Malaysia termasuklah orang bukan Islam di mana untuk mereka, penekanan perlu diberikan kepada ‘kesedaran beragama’. Sebaliknya, kumpulan kedua – yang merupakan suara ramai – berpendapat bahawa prinsip ini khusus untuk kaum Muslim sahaja dan tiada kaitannya dengan orang bukan Islam.
Benarkah kesedaran beragama tidak penting untuk orang bukan Islam? Atau pendekatan Islam Hadhari itu sendiri yang disalahertikan sehingga kesedaran beragama itu dilihat sebagai tidak penting untuk orang bukan Islam? Jika beginilah pandangan kebanyakan golongan Muslim berkenaan pendekatan Islam Hadhari, maka tidak hairanlah jika setelah lima tahun berlalu masih ramai orang bukan Islam yang tidak memahaminya.
Hakikatnya, kesedaran beragama (keimanan dan ketakwaan) adalah penting untuk semua. Ia memandu manusia dalam menjalani kehidupan ini. Ia membantu kita membezakan antara yang baik dengan yang buruk. Ia juga mendorong kita untuk melakukan kebaikan dan keadilan, sekaligus menjauhi kejahatan dan kezaliman.
Warganegara, termasuk ahli siasah, yang memiliki kesedaran beragama akan menjadi harta kepada negara kerana bukan sahaja mereka akan turut sama menyumbang kepada pembangunan negara, tetapi juga memastikan pembangunan yang berlaku itu tidak menjejaskan nilai-nilai keadilan dan kesaksamaan masyarakat.
Maka, pandangan bahawa kesedaran beragama tidak penting kepada orang bukan Islam adalah tidak benar. Malah, prinsip RUKUNEGARA yang pertama mengesyorkan agar setiap warganegara Malaysia memiliki kepercayaan kepada Tuhan.
Jika masih ramai orang bukan Islam tidak memahami pendekatan Islam Hadhari, apakah semua kaum Muslim telah memahaminya?
Memang benar, telah banyak usaha yang diambil untuk menjelaskan pendekatan ini di kalangan rakyat, baik secara lisan, mahupun tulisan. Namun, terdapat kecenderungan untuk menjelaskan prinsip-prinsip ini secara yang terpisah-pisah. Jika kita rujuk kepada buku-buku berkenaan yang telah diterbitkan, kerapkali ia ditulis dalam bab-bab yang berasingan, malah, oleh penulis yang berbeza. Akibatnya, ramai yag tidak melihat perkaitan antara satu prinsip dengan prinsip yang lain, sedangkan pendekatan ini hanya akan berjaya jika kesemua prinsip itu sama-sama terlaksana.
Satu lagi kecenderungan yang ada ialah untuk membincangkan prinsip pertama itu secara terasing dari prinsip-prinsip yang lain seolah-olah prinsip pertama itu sama kedudukannya dengan prinsip-prinsip yang lain, dan seolah-olah prinsip pertama itu tiada peranannya dalam menjayakan prinsip-prinsip yang lain.
Bolehkah pendekatan Islam Hadhari ini difahami dengan cara itu? Bukankah prinsip pertama itu merupakan prinsip teras yang berperanan besar dalam menjayakan prinsip-prinsip yang lain? Hanya dengan keimanan yang ketakwaan (kesedaran beragama) kita akan benar-benar terdorong untuk: mewujudkan kerajaan adil dan beramanah; memiliki jiwa yang merdeka; menguasai ilmu pengetahuan; mewujudkan ekonomi yang seimbang; mewujudkan kehidupan yang berkualiti; membela hak golongan terpinggir dan wanita; memelihara budaya dan moral; memulihara alam semulajadi dan membangunkan kekuatan pertahanan.
Dalam kata-kata lain, ahli-ahli siasah, golongan kerajaan, dan wakil dari semua tradisi agama perlu memberikan maklumat tentang ajaran-ajaran agama mereka berkait dengan prinsip-prinsip yang ada supaya para penganutnya dapat menghayati ajaran-ajaran tersebut dan seterusnya menyumbang kepada pembangunan tamaddun bangsa.
Dengan cara itu, semua warganegara dapat merasakan kepentingan pendekatan ini dalam kehidupan mereka dan merasakan keterikatan dengannya. Bila itu berlaku, barulah ia dilihat sebagai bermakna dan dihargai. Jika tidak, berlakulah apa yang berlaku kini, bukan sahaja orang bukan Islam tidak memahaminya, golongan Muslim sendiri semakin hilang kecenderungan kepada usaha kebaikan.