Kod Amalan Untuk Mencegah dan Membasmi Gangguan Seksual di Tempat Kerja telah dilancarkan pada 17 Ogos 1999 yang lalu. Sejak itu, berbagai reaksi telah dikemukakan oleh berbagai pihak terhadap kod amalan ini.
Kod amalan tersebut telah menggariskan beberapa bentuk perlakuan yang disifatkan sebagai gangguan seksual. Ia membahagikan gangguan seksual kepada dua. Pertama, pengenaan syarat berbentuk seksual ke atas pekerjaan atau istilahnya quid pro quo. Kedua, tingkah laku yang menimbulkan suasana tempat kerja yang tidak tenteram kepada mangsa. Secara mudah, gangguan seksual bentuk kedua ini bolehlah disimpulkan sebagai tingkahlaku seksual yang tidak diingini dan tidak disenangi oleh mangsa.
Menurut Salleh Buang, contoh gangguan seksual bentuk pertama adalah seperti, “Apabila X (seorang majikan) berkata pada Y (pekerjanya): ‘Jika kamu ingin naik pangkat, bersedialah untuk melayan kemahuanku’, manakala perkara yang dikehendaki oleh X itu adalah satu sexual favour (iaitu kesediaan Y untuk membuat hubungan seks atau berasmara dengan X)…”.
Gangguan seksual bentuk kedua boleh berlaku secara lisan, isyarat, visual, psikologi dan sentuhan fizikal. Secara lisan, termasuklah kata-kata, komen, gurauan, usikan dan bunyi yang bersifat seksual. Secara isyarat termasuklah isyarat tangan atau bahasa isyarat yang membayangkan perlakuan seks serta tingkah laku mengurat yang berterusan. Secara visual termasuk menunjukkan bahan-bahan lucah, melukis gambar lucah, menulis surat berbentuk seksual serta mendedahkan tubuh termasuk berpakaian seksi. Secara psikologi termasuk mengulangi jemputan sosial yang telah ditolak, memujuk rayu secara berterusan untuk keluar bersama atau bercumbu. Secara sentuhan fizikal pula termasuklah sentuhan yang tidak diingini seperti menepuk, mencubit, mengusap, menggesel badan, memeluk, mencium dan serangan seksual seperti meraba.
Walaupun Kod Amalan ini bertujuan untuk mencegah dan membasmi gangguan seksual di tempat kerja, ia juga terpakai ke atas sebarang gangguan seksual yang berlaku di luar tempat kerja sekiranya kejadian itu berlaku dalam satu urusan kerja seperti majlis-majlis sosial, majlis-majlis yang dianjurkan oleh majikan, dalam perjalanan yang melibatkan urusan pejabat, latihan, mesyuarat atau melalui telefon atau media elektronik yang lain.
Apa yang juga menarik, Kod Amalan ini tidak diasaskan kepada jantina. Ini bermakna kod ini terpakai dalam hubungan lelaki-wanita, wanita-lelaki, wanita-wanita dan lelaki-lelaki. Jadi, jika selama ini anda rimas dengan sentuhan-sentuhan yang tidak diingini dari rakan sekerja yang sama jantina, anda ada saluran untuk menghentikannya.
Walaupun Kod Amalan ini wujud, ia sebenarnya tidak mempunyai sebarang implikasi undang-undang sekiranya ada majikan yang tidak mahu melaksanakannya. Dalam kata lain, pelancaran kod amalan ini tidak mewajibkan semua majikan mematuhinya. Ia hanyalah satu garis panduan bagi majikan untuk menggubal satu kenyataan dasar mengenai gangguan seksual. Bagi majikan yang prihatin lalu menggubal satu kenyataan dasar berkaitan dengannya, ia akan menjadi mesej kepada pekerja tentang komitmen majikan untuk mewujudkan suasana yang selamat di tempat kerja. Bagi majikan yang tidak berminat, tiada undang-undang yang boleh dikenakan kepada mereka. Oleh kerana itulah, Salleh Buang, dalam kolum mingguan beliau, mempersoalkan keberkesanan Kod Amalan ini.
Walau bagaimanapun, satu berita baik untuk para pekerja, walaupun majikan tidak menunjukkan komitmen mereka, para pekerja masih boleh mendapat pembelaan. Ini kerana, mereka masih boleh mengadu tentang gangguan seksual yang dialami kepada Jabatan Buruh yang terdekat.
Kod Amalan ini mendapat berbagai reaksi dari masyarakat. Noor Azam Shairi misalnya menyebut bahawa ramai yang beranggapan dengan terlaksananya kod amalan ini di tempat kerja, suasana bekerja di pejabat tidak lagi akan seceria sekarang.
Ada juga ahli masyarakat yang bimbang Kod Amalan ini akan menimbulkan masalah yang lain seperti dakwaan yang salah akibat dari salah tafsiran terhadap sesuatu tingkahlaku.
Tidak dapat dinafikan salah tafsiran boleh saja berlaku. Menurut Y. Bhg. Datin T. D. Ampikaipakan, kata-kata dan perbuatan seseorang boleh ditafsir dengan berbagai cara bergantung kepada persekitaran pada ketika itu, taraf pendidikan pelaku dan yang kena laku, pengalaman mereka serta cara mereka memahami hidup ini. Oleh itu, bagi Y. Bhg. Datin T. D. Ampikaipakan, yang penting ialah untuk mendidik tenaga kerja yang ada tentang perkara ini. Pertamanya, mereka perlu dididik untuk membezakan antara gangguan seksual dan yang bukan. Kedua, mereka perlu dimaklumkan tentang hak mereka iaitu jika mereka merasa telah menjadi mangsa gangguan seksual tindakan perlu diambil untuk mengatasinya. Mereka perlu disedarkan bahawa gangguan-gangguan tersebut perlu dihentikan, dan tidak hanya menerina atau bertolak ansur dengannya. Ketiga, warga kerja juga harus tahu bahawa jika mereka dimaklumkan tentang sesuatu gangguan seksual, bantulah mangsa tersebut dan janganlah mengambil sikap tidak peduli atau menganggap sikap mangsa sendiri yang mengundang gangguan-gangguan itu.
Selain menggariskan perbuatan-perbuatan yang boleh dianggap gangguan seksual dan yang bukan, Datin juga menasihatkan jika wanita telah menjadi mangsa gangguan seksual tetapi tidak mahu mengambil tindakan undang-undang, memberi amaran kepada pelaku mungkin boleh membantu menghentikan perbuatannya itu.
Salleh Buang pula berpendapat, untuk menentukan sama ada sesuatu perbuatan itu merupakan gangguan seksual ataupun tidak, dua perkara perlu diberi perhatian. Pertama, niat orang yang menggangu. Kedua, sejauhmana perbuatannya itu mewujudkan satu hostile environment bagi orang yang diusik?
Menurut Salleh Buang, jika perbuatan itu (gurauan, misalnya) hanya sebentar (pada keadaan tertentu – hari jadi, misalnya) dan di tahap yang paling minima, maka niatnya hanyalah untuk menimbulkan kemesraan sesama rakan sekerja. Sebaliknya, jika gangguan tersebut berlaku dengan kerap, disengajakan kerana mempunyai motif tertentu dan pengganggu tahu bahawa orang yang diusik tidak senang dengan perbuatan tersebut, maka perbuatan itu boleh dianggap sebagai gangguan seksual.
Saya bersetuju dengan Datin bahawa penjelasan tentang gangguan seksual, Kod Amalan, hak-hak mangsa serta cara untuk membezakan antara gangguan seksual dan bukan gangguan seksual perlu diberi kepada pekerja. Ini penting kerana jika tidak, kita bimbang mereka merasakan fenomena itu adalah sesuatu yang lumrah lalu menerima keadaan tersebut seadanya. Kita juga bimbang jika mereka tidak tahu tentang kewujudan Kod Amalan tersebut, ada pekerja yang berhenti kerana memikirkan tiada saluran untuknya mengatasi masalah yang dialaminya itu. Cara untuk membezakan antara gangguan seksual dan bukan gangguan seksual juga penting agar tiadanya salah tuduhan akibat salah tafsiran yang berlaku.
Jika kita lihat kepada apa yang disebutkan oleh Salleh Buang tentang gangguan seksual, perkara utama yang harus diberi perhatian ialah, ‘…pengganggu tahu orang yang diusik tidak senang dengan perbuatan tersebut…’. Oleh yang demikian, jika kita merasa kurang senang dengan perbuatan tersebut, kita perlu menunjukkan sikap tidak senang itu dan bukannya berdiam diri, atau lebih teruk lagi, terseyum simpul semata-mata ingin menjaga hati orang yang telah mengganggu ketenteraman kita.
Bagi mangsa dan golongan yang membela nasib wanita, tentunya Kod Amalan ini merupakan berita baik untuk mereka. Di pihak mangsa, mereka boleh berasa lega kerana tidak lagi perlu bertolak ansur dengan gangguan-gangguan seumpama itu di tempat kerja. Manakala golongan yang membela nasib wanita melihatnya sebagai satu saluran bagi mangsa mendapatkan pembelaan. S. Manohary, Penyelaras Khidmat, All Women’s Action Society (AWAM), berpendapat bahawa Kod Amalan ini memberi wanita kuasa dan saluran untuk mengambil tindakan terhadap pesalah.
Jadi, sekiranya pihak kerajaan merasakan perlu mengadakan Kod Amalan ini dan pihak tertentu mengalu-alukannya, sejauhmanakah seriusnya masalah ini di negara kita? Berdasarkan kepada kajian yang dijalankan oleh Sabitha di 60 jabatan kerajaan di empat buah negeri, 43.9% daripada pentadbir pernah mengalami sekurang-kurangnya satu daripada tingkah laku yang berunsur gangguan seksual, baik secara fizikal (meraba, menggesel, mencium), lisan (kata-kata, komen, gurauan, usikan dan bunyi yang bersifat seksual), bahasa isyarat (melerek, merenung dengan cara lucah), mahupun secara visual (edaran atau paparan melalui e-mel atau surat yang bersifat seksual).
Dari segi jantina mangsa, walaupun yang membuat laporan kepada Kementerian Sumber Manusia itu semuanya wanita, ini tidak bermakna bahawa lelaki tidak mengalaminya. Kajian Sabitha menunjukkan hampir setengah dari responden lelaki (43.4%) mengakui pernah mengalami sekurang-kurangnya satu bentuk gangguan seksual. Namun, mereka agak keberatan untuk membuat laporan kerana takut dilabel sebagai ‘perasan’, ‘syok sendiri’ atau ‘tidak macho’.
Jadi, ternyata bahawa masalah ini memang berlaku di negara kita cuma tidak ramai yang melaporkannya. Ini mungkin kerana malu, takut menyalahtafsirkan sesuatu perbutan, tiadanya saluran atau kerana pemangsa adalah orang yang berwibawa. Jadi, dengan adanya Kod Amalan ini, mungkin banyak halangan-halangan tadi yang telah diatasi. Maka, seperti masalah-masalah lain, kita mungkin boleh menjangkakan bilangan kes yang dilaporkan akan meningkat bermula tahun ini.
Sebagai seorang wanita, saya mengalu-alukan kehadiran Kod Amalan ini kerana dengan adanya kod ini, kaum lelaki tidak boleh dengan sewenang-wenangnya melakukan sesuatu terhadap saya. Bagi yang degil pula, saya berasa tenang kerana saya tahu saya ada saluran untuk menghentikan gangguannya itu.
Berkaitan dengan kebimbangan masyarakat bahawa Kod Amalan ini akan mengurangkan keceriaan di pejabat, jika anggapan ini benar, saya berasa agak bimbang dengan maksud `suasana pejabat yang ceria’ seperti yang difahami sekarang ini. Apakah suasana ceria yang ada sekarang termasuk gurauan-gurauan lucah, pengedaran gambar lucah, komen-komen yang berbau seks, bertepuk-bertampar tanpa batasan dan seumpamanya? Memang tidak dinafikan keceriaan di pejabat merupakan satu faktor utama untuk memotivasikan pekerja tetapi apakah keceriaan seperti ini yang dimaksudkan? Jadi, berkaitan dengan suasana tidak ceria ini, saya merasakan ia tidak perlu difikirkan sangat. Yang penting ialah untuk mewujudkan persekitaran tempat kerja yang membuatkan semua pekerja merasa aman dan tenteram.
Sebenarnya, apa yang disebutkan dalam Kod Amalan itu tidak lari dari etika Islam dalam berhubungan, terutamanya antara lelaki dan wanita. Islam sebenarnya mempunyai garis panduan tentang etika pertemuan antara lelaki dan wanita. Walau bagaimanapun, dalam artikel ini, saya akan mengenengahkan empat etika yang paling utama iaitu a) serius dalam pertemuan; b) menahan pandangan; c) menghindari khalwat; dan, d) menghindarkan pertemuan lama yang berulang-ulang.
Etika pertama ialah serius dalam pertemuan. Ini bermakna, bila lelaki dan wanita bertemu untuk sesuatu urusan mereka perlu berhubung secara serius. Etika ini berdasarkan kepada ayat al-Quran, Surah al-Ahzab (33), ayat 32 yang bermaksud, “Wahai isteri-isteri Nabi, kamu semua bukanlah seperti mana-mana perempuan yang lain kalau kamu tetap bertaqwa. Oleh itu, janganlah kamu berkata-kata dengan lembut manja (semasa bercakap dengan lelaki asing) kerana yang demikian boleh menimbulkan keinginan orang yang ada penyakit dalam hatinya (menaruh tujuan buruk kepada kamu), dan sebaliknya berkatalah dengan kata-kata yang baik (sesuai dan sopan).”
Walaupun ayat ini ditujukan kepada isteri-isteri Nabi, oleh kerana tujuannya baik, maka ia boleh dijadikan panduan oleh wanita biasa demi untuk mengelakkan kejadian buruk terhadap diri mereka. Ini bermakna topik perbicaraan dalam pertemuan antara lelaki dan wanita haruslah dalam batas-batas yang baik dan tidak mengandungi kemungkaran. Menurut Abdul Halim, pertemuan yang banyak dihiasi dengan senda-gurau membuka jalan menuju kemungkaran.
Etika kedua ialah menahan pandangan. Ini bermakna, dalam pertemuan antara lelaki dan wanita, mereka perlu menjaga pandangan agar tidak timbul niat yang tidak baik dan untuk mengelakkan fitnah. Etika ini berdasarkan ayat 30 – 31, Surah an-Nur yang mana Allah mengingatkan kaum lelaki dan wanita agar menyekat pandangan mereka dari melihat yang haram dan menjaga kehormatan dari melakukan zina. Bagi wanita pula ditambah arahan agar tidak mendedahkan tubuhnya kepada lelaki yang bukan mahram kecuali anggota tubuh yang zahir – iaitu bulatan muka dan kedua tapak tangan. Ada ulama yang mengatakan muka dan tapak tangan inipun boleh dilihat dengan syarat pandangan itu tidak mencurigakan. Pandangan syahwat dikatakan haram, meskipun tertutup pakaian. Ini bermakna dalam pertemuan antara lelaki dan wanita, mereka perlu menjaga aurat di samping menjaga pandangan agar pertemuan itu tidak menimbulkan keinginan lain dalam hati keduanya.
Etika ketiga ialah menghindari khalwat. Ini berdasarkan kepada sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud, “Janganlah seorang lelaki berkhalwat dengan seorang wanita kecuali disertai mahramnya” (Riwayat Bukhari). Jadi, bila bertemu antara lelaki dan wanita untuk sesuatu urusan, mereka hendaklah mengelakkan dari berdua-duaan. Dalam keadaan kini, agak sukar untuk mengelakkan keadaan di mana lelaki dan wanita berdua dalam melakukan urusan kerja, misalnya. Walau bagaimanapun, kita perlu tahu membezakan antara khalwat dan bukan khalwat. Abdul Halim Abu Syuqqah di dalam bukunya menyebut keadaan-keadaan yang tidak dikategorikan sebagai khalwat. Lelaki dan wanita itu tidak dikatakan berkhalwat bila:
a) Mereka berdua berada di depan orang ramai;
b) Dua atau tiga orang lelaki berkhalwat dengan seorang wanita. Ini berdasarkan sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud, “Sesudah hari ini, seorang lelaki tidak dibolehkan masuk menemui wanita yang suaminya tiada, kecuali dia bersama seorang atau dua orang lelaki lain.” Ada ulama yang berpendapat bahawa hadis ini merujuk kepada sekumpulan orang yang tidak mungkin melakukan perbuatan keji kerana kesolehan dan kealiman mereka.
c) Seorang lelaki berkhalwat dengan sejumlah wanita. Ini kerana apabila bersama sekumpulan wanita lelaki tersebut tiada peluang untuk melakukan sesuatu yang mungkar.
Etika keempat ialah menghindari pertemuan yang lama dan berulang-ulang. Ini merujuk kepada kunjungan yang berulang-ulang dengan jarak waktu yang sangat dekat antara kerabat mahupun teman, apatah lagi jika pertemuan itu berlaku berjam-jam. Menurut Abdul Halim, etika ini perlu dijaga kerana dalam pertemuan seperti ini amat sukar untuk menjaga pelbagai etika seperti menahan pandangan, serius dalam berbicara atau bertingkahlaku yang sopan. Apa yang sering berlaku dalam pertemuan seumpama ini ialah nilai-nilai malu dan kesopanan itu semakin menipis. Oleh itu, adalah lebih baik menghindarkan diri dari pertemuan seperti ini.
Jadi, jika kita bandingkan Kod Amalan serta etika ini, kita dapati betapa Kod Amalan tersebut mencerminkan etika Islam yang telah lama diutarakan oleh agama Allah ini. Dengan mengamalkan etika Islam dalam pertemuan antara lelaki dan wanita, tentunya tiada bentuk gangguan seksual yang boleh berlaku, baik dalam bentuk lisan, isyarat, visual, psikologi, apalagi fizikal. Bagi pekerja dalam sesebuah organisasi Islam, mereka tidak perlu bimbang sekiranya majikan tidak menunjukkan komitment terhadap kod amalan ini, asal sahaja di tempat kerja tersebut mengamalkan etika Islam yang disebutkan tadi. Kod Amalan ini mungkin lebih perlu dalam persekitaran kerja yang menggabungkan pekerja Islam dan bukan Islam kerana dalam persekitaran begini, salahfaham tentang budaya dan ajaran agama serta salah mentafsir tingkahlaku rakan sekerja boleh sahaja berlaku.
Pada masa yang sama, mereka yang terlibat secara langsung dengan kod amalan ini mungkin ingin memikirkan kemungkinan kod amalan ini disalahgunakan. Mungkin ada di antara kita yang masih ingat, beberapa tahun yang lalu, dalam filem Disclosure (Hal) yang dilakonkan oleh Demi Moore dan Micheal Douglas, heroin tersebut telah menuduh heronya melakukan gangguan seksual terhadapnya. Oleh kerana ia wanita dan pada kebiasaannya mangsa adalah wanita, tuduhan tersebut dipercayai dan tindakan diambil terhadap lelaki tersebut. Sebenarnya, heroin itulah yang melakukan gangguan tersebut dan bila godaannya tidak dilayan, beliau menuduh lelaki tersebut yang menganggunya. Lumrah hidup, yang baik akan sentiasa berjaya, lelaki tersebut akhirnya berjaya membuktikan bahawa ia tidak bersalah. Dalam zaman yang serba canggih ini, tidak mustahil perkara yang sama berlaku di Malaysia.
_____________________________________________________________
Rujukan
1. Noor Azam Shairi, “Gangguan Seksual Tempat Kerja” dalam Mingguan Malaysia, 22 Ogos 1999.
2. Sabitha Marican, “Punca Gangguan Seksual di Tempat Kerja” dalam Utusan Malaysia, 2 September 1999.
3. T. D. Ampikaipakan, “Making a stand on sexual harrasment”, dalam The Star, 13 September 1999.
4. Salleh Buang, “Kod Amalan bukan undang-undang”, dalam Utusan Malaysia, 7 September 1999.
5. Lee Yuk Peng dan Jane Ritikos, “Code gives victims an avenue”, The Star, 19 Ogos 1999.
6. Abdul Halim Abu Syuqqah, Kebebasan Wanita, Jilid 2, Perniagaan Jahabersa, Johor Bahru, 1998 (Tajuk Asal: Tahrirul Mar’ah Fi `Asyrir Risalah, terjemahan Chairul Halim Lc. Penyunting Edisi Malaysia: Abu Muhammad Izzuddin).