Kongres Ekonomi Bumiputera Keempat yang diadakan di ibu kota baru-baru ini telah mendengar perbincangan secara berterus terang dan agak teliti tentang banyak isu yang menyentuh daya pemikiran, budaya dan ciri-ciri lain yang membentuk mind-set kaum bumiputera, khususnya orang Melayu. Malahan bengkel tujuh yang membicarakan isu agama dan budaya sebagai asas membina insan bumiputera yang berdaya saing juga banyak mendengar pandangan daripada berbagai-bagai pihak tentang keperluan meninjau kembali sejarah dan teras pembentukan budaya mantap, dan asas agama yang membentuk cara hidup orang Melayu yang positif.
Isu agama dan budaya yang pertama kali diketengahkan di dalam agenda Kongres yang memasuki siri keempat ini merupakan satu perancangan terbaik penganjur dalam merencanakan agenda kerja orang Melayu yang merupakan persediaan penting dalam menghadapi cabaran dan peluang alaf baru yang menjelang tiba tidak lama lagi. Agenda ini menjadi penting kerana dengan terhakisnya nilai-nilai budaya agama dan budaya positif orang Melayu, maka terserlahlah kekaburan persepsi kita terhadap nilai agama dan budaya yang selama ini telah berjaya membentuk pandangan dan tindakan serta cara hidup yang baik dan membangun.
Kekeliruan dan kekalutan pemikiran dan persepsi tentang nilai agama dan budaya kita inilah yang digambarkan di dalam mukaddimah resolusi bengkel tujuh yang menyatakan bahawa masyarakat Melayu di Malaysia sekarang ini menghadapi kekacauan pemikiran, persepsi agama dan budaya, sehingga wujudnya aliran pemikiran untuk meruntuhkan institusi dan kepimpinan yang telah berjaya memartabatkan agama dan bangsa selama ini.
Dari kenyataan ini ternyata bahawa isu-isu lain yang dibicarakan di dalam kongres ini mungkin merupakan isu yang lebih mudah dan senang pembicaraannya, terutamanya yang menyentuh kuantitatif, jumlah harta dan wang, pelaburan hartanah dan kebendaan, ringgit dan sen. Pembicaraan tentang pemikiran dan falsafah hidup, tentang nilai agama dan budaya yang membentuk sikap dan tindakan orang Melayu tentulah tidak semudah mengira dan menghitung berapakah jumlah bumiputera yang melabur dan jumlah pelaburan mereka, atau bagaimanakah keuntungan akan dapat dibuat dalam projek perniagaan tertentu.
Ramai peserta bengkel tujuh berbicara tentang perangkap psikologi yang memerangkap orang Melayu sekarang ini, terutamanya dalam menghadapi persaingan teknologi moden, persaingan ringgit dan sen, maka nilai agama dan budaya ini telah diremehkan sebegitu rupa, sehingga teknologi, ringgit dan sen itulah menjadi budaya dan agama bagi kalangan-kalangan yang tertentu.
Sebaliknya orang Melayu juga terperangkap dalam kejumudan pemikiran dan kesalahfahaman tentang agama dan budaya, maka mereka lebih banyak mengurung diri dalam sangkar sempit budaya dan agama yang amat menyekat pergerakan mereka, seolah-olah mereka sedang berada di dalam kurun pertengahan, bukan dalam kurun dua puluh dan jauh sekali akan masuk ke dalam kurun kedua puluh satu.
Perubahan paradigma budaya dan kefahaman agama dengan itu amatlah diperlukan. Budaya dan nilai agama yang selama ini membentuk cara hidup murni orang Melayu haruslah dikaji dan dijadikan asas kehidupan anggota masyarakat seluruhnya. Cara hidup orang Melayu yang berteraskan sifat budiman, penyayang, berlemah lembut di dalam pertuturan dan perhubungan dengan orang lain, tidak tamak dan gelojoh, merupakan beberapa contoh bagaimana bangsa Melayu yang berbudaya tinggi itu telah menunjukkan contoh tauladan yang baik di dalam masyarakat dan negara berbilang kaum selama ini.
Namun begitu, terdapat banyak kenyataan negatif dan kecelaruan hidup yang berlaku di dalam kehidupan orang Melayu, terutamanya sejak akhir-akhir ini akibat dari kekeliruan pentafsiran nilai budaya dan agama yang dicetuskan oleh kekecohan persepsi sebenar tentang agama dan budaya kita. Akibat dari kesalahfahaman tentang keutamaan menuntut ilmu umpamanya, maka seperti yang saya pernah tegaskan di dalam ruangan ini dulu, terdapat pelajar Melayu yang salah faham tentang bidang pelajaran yang harus mereka ikuti. Konsep ilmu menurut Islam telah disempitkan kepada bidang agama dalam pengertian fardu ain dan ibadat khusus, tanpa melibatkan bidang teknologi dan sains dalam berbagai cabangnya.
Di samping itu terdapat pula pelajar yang bertindak meninggalkan bangku pelajaran kerana merasakan bahawa mereka perlu menceburkan diri sepenuhnya dalam organisasi dakwah secara langsung yang memerlukan mereka banyak mengembara ke luar daerah dan ke luar negara. Hal ini bagaimanapun mungkin tidak banyak melibatkan pelajar Melayu, tetapi alirannya haruslah difahami dengan baik supaya kita tidak terperangkap.
Sebaliknya dalam menekankan bidang teknologi, sains, matematik dan bidang teknik lainnya, maka pelajar kita juga merasakan tidak perlu lagi mempelajari budaya dan sastera bangsa, malah bidang ini dirasakan terlalu kecil untuk dilibatkan di dalam kajiannya dalam menghadapi persaingan hidup dunia moden ini. Cabarannya dirasakan akan timbul di dalam ruang-ruang lain yang lebih dekat kepada persaingan material dan kehidupan lahiriah fizikal, bukan mental dan rohani.
Maka inilah antaranya kekeliruan pemikiran yang timbul, ditambah pula oleh aliran politik sempit yang sedang bergolak di dalam masyarakat Melayu pada masa terakhir ini, ketika mana semua suara, gerak geri malah perasaan peribadi telah di politikkan sebegitu rupa, sehingga politik sempit telah menjalar ke segenap nadi dan urat, sekolah dan universiti, kampung dan desa, rumah batu dan rumah atap.
Kegiatan mempolitikkan cara hidup, institusi dan kepimpinan negara dalam aliran sempit dan fanatik, mengakibatkan kekeliruan persepsi dan kekalutan pemikiran orang Melayu sendiri seperti yang dirasakan hari ini. Semangat patriotisma yang memupuk cintakan negara dan bangsa umpamanya telah diremehkan sehingga kepinggiran yang terlalu jauh dari pintu rumah kita. Manifestasi negatif dari kekeliruan persepsi ini ternyata dalam masyarakat kita, umpamanya ketika terdapat kalangan tertentu yang memandang serong terhadap orang lain yang bertindak mengibarkan bendera negara di bangunan atau kenderaan ketika menyambut perayaan hari kebangsaan.
Hal yang sama dapat dirasakan ketika sifat fanatik dan jumud sampai mengelirukan persepsi kalangan yang memandang rendah terhadap kebolehan negara mengatasi kejatuhan ekonomi dengan cara yang amat terhormat dan berteraskan budaya dan nilai agama sendiri yang sering menekankan tentang jati diri dan keyakinan kepada diri sendiri.
Nilai agama dan budaya bangsa yang bersemangatkan gotong royong sesuai dengan konsep bantu membantu dan tolong menolong yang dianjurkan oleh al-Quran juga agak terlalu jauh ditolak dalam kehidupan dan amalan sesetengah kalangan yang lebih mementingkan kefanatikan kelompok dan politik sempit kepartian.
Inilah sebenarnya kekacauan pemikiran dan kesempitan persepsi agama yang dibicarakan oleh Bengkel Tujuh Kongres Ekonomi Bumiputera Keempat, dan inilah kemelut masalah yang perlu dipecahkan sekiranya kita ingin mewujudkan insan bumiputera yang berdaya saing pada alaf baru. Maka tidak hairanlah sekiranya bengkel ini juga merumuskan supaya dipergiatkan agenda penyelidikan dan pembangunan khususnya untuk merangka dasar futuristik dan strategik bagi dasar pendidikan negara yang merangkumi aspek kefahaman, penghayatan dan amalan nilai budaya Melayu dan Islam.