Konsep Malaysia Madani yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim terdiri daripada enam tonggak utama, iaitu kemampanan, kesejahteraan, daya cipta, hormat, keyakinan dan ihsan. Keenam-enam tonggak dasar yang digariskan ini merupakan asas penting dalam memeta hala tuju ke arah Malaysia yang sejahtera dari pelbagai sudut, tidak terkecuali dalam aspek alam sekitar.
Tiga daripada enam tonggak dasar Malaysia Madani, iaitu kemampanan, kesejahteraan dan ihsan dilihat begitu sinonim dengan alam sekitar. Kemampanan misalnya menjurus kepada kesejahteraan dan keseimbangan, atau dalam erti kata lain saling menghormati dan mengasihi sesama makhluk di atas muka bumi yang merangkumi manusia, alam sekitar, ekosistem dan segala komponen yang ada di dalamnya termasuklah flora, fauna dan kepelbagaian organisma hidup yang lain.
Menerusi konsep kemampanan, sesuatu aktiviti pembangunan fizikal yang hendak dilaksanakan perlulah diteliti dengan sebaik-baiknya agar menepati konsep pembangunan mampan yang telah digariskan oleh pihak berwajib dan mengambil kira tuntutan pembangunan sebagaimana yang dianjurkan oleh Islam. Hal ini penting agar setiap pembangunan yang hendak dilaksanakan tidak mengabaikan kepentingan alam sekitar dan ekosistem serta dalam masa yang sama memastikan kesejahteraan hidup manusia sejagat tidak tergugat.
Oleh yang demikian, mengimbangi antara aktiviti pembangunan dengan kemampanan alam sekitar dan ekosistem bukan lagi suatu pilihan, sebaliknya ia merupakan keperluan yang mendesak dalam menangani krisis alam sekitar yang kian berleluasa pada hari ini. Umpamanya, isu pemanasan global, pencemaran dan kemerosotan sumber biodiversiti ekoran daripada sikap dan akhlak yang tidak berpaksikan ajaran Islam yang sebenar yang menganjurkan nilai kecintaan dan kasih sayang terhadap alam sekitar dan segala komponen yang ada di dalamnya.
Islam merupakan agama syumul yang meletakkan alam sekitar sebagai sebahagian elemen yang tidak terpisah daripada keimanan dan ketakwaan manusia terhadap pencipta-Nnya. Dalam konteks ini, tahap keimanan dan ketakwaan dapat dilihat daripada tingkahlaku dan akhlak manusia selaku khalifah terhadap alam sekitar dan segala komponen hidupan yang menghuni di dalamnya.
Akhlak merupakan aspek yang begitu dititikberatkan oleh Islam sebagai teras hubungan antara manusia, alam dan pencipta-Nya. Akhlak merupakan aspek penting dalam memacu pembangunan dan pengurusan alam sekitar yang lestari. Hal yang demikian ini kerana akhlak yang mulia ialah akhlak yang menjurus kepada kebaikan, kesejahteraan dan keharmonian. Selain itu, menjaga keseimbangan dan kelestarian alam sekitar juga merupakan satu ibadah kerana dapat menjamin kesejahteraan manusia dan planet bumi secara keseluruhannya.
Bagi istilah kesejahteraan pula, bermaksud keseimbangan kehidupan sejagat yang mencakupi segala aspek. Dalam konteks alam sekitar, kesejahteraan dan pemeliharaannya amat penting untuk dititikberatkan kerana sekiranya berlaku kemusnahan ke atasnya, ia akan mengundang malapetaka dan bencana yang berterusan ke atas planet bumi. Ini sekali gus akan memberi dampak yang besar kepada kelangsungan hidup generasi pewaris pada masa akan datang.
Justeru, menjadi tanggungjawab manusia selaku khalifah di atas muka bumi untuk memastikan kesejahteraan dan keharmonian alam sekitar terjamin. Tanggungjawab pelestarian alam sekitar telah disebut dengan jelas dalam surah Hud, ayat 61 yang bermaksud: “Dialah yang menjadikan kamu daripada bahan-bahan bumi dan menghendaki kamu memakmurkannya”.
Seterusnya, konsep ihsan pula merujuk kepada tingkah laku yang baik, jujur, bersikap simpati, bekerjasama, pendekatan yang berperikemanusiaan dan ikhlas, menjaga dan mementingkan hak sesama insan dan makhluk lain, dan memberi sesuatu melebihi daripada yang sepatutnya. Ihsan juga turut didefinisikan sebagai memperhatikan, menyayangi, merawat, menghormati dan kasih sayang.
Sekiranya sifat ihsan ini tidak wujud dalam amalan hidup bermasyarakat, baik dalam konteks hubungan sesama manusia atau sesama makhluk lain, maka tidak akan wujud rasa cinta, kesyukuran, kejujuran, pengorbanan, dan kasih sayang. Tanpa nilai yang penting ini tidak akan ada kemesraan dan keindahan dalam kehidupan manusia dan mustahil untuk manusia membina dan mengembangkan kehidupan yang baik dan sempurna.
Begitu juga, sifat ihsan amat penting dalam kehidupan manusia, dan ia sangat diperlukan dalam konteks interaksi manusia dengan alam sekitar. Justeru, menjadi kewajipan kepada manusia untuk memperlakukan alam sekitar secara adil dan ihsan, melindungi dan memeliharanya, menyayangi dan melestarikannya, serta menyantuninya dengan penuh kasih sayang. Sekiranya sifat ihsan menjadi asas penting dalam kehidupan seharian, pastinya alam sekitar tidak dieksploitasi secara rakus dan kejam sehingga membawa kepada kemusnahannya.
Hal ini sebagaimana yang telah dinukilkan dalam surah al-Qasas, ayat 77 yang bermaksud: “Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat, dan janganlah engkau melupakan bahagianmu (keperluan dan bekalanmu) dari dunia; dan berbuat baiklah (kepada hamba-hamba Allah) sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu (dengan pemberian nikmat-Nya yang melimpah-limpah); dan janganlah engkau melakukan kerosakan di muka bumi; sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang berbuat kerosakan.”
Konsep ihsan menganjurkan pertimbangan yang adil terhadap pihak lain. Oleh yang demikian, tuntutan Islam menerusi konsep ihsan ini adalah dengan berusaha membentuk suatu perhubungan yang berasaskan kejujuran, kesejahteraan, pengorbanan dan interaksi yang positif. Hal yang demikian ini kerana, menerusi sifat-sifat tersebut akan mewujudkan sebuah masyarakat yang benar-benar berperikemanusiaan dalam segala aspek kehidupan. Apabila terjalinnya hubungan yang seumpama ini antara manusia dengan alam sekitar, maka pastinya masa depan alam sekitar juga akan lebih terjamin dan selamat.