Tahun baru Hijrah telah sekali lagi menjengah kita buat kali yang ke 1426. Semasa menyambutnya sembilan belas hari yang lalu, di sana-sini soal penghijrahan dan perubahan ke arah yang lebih baik keadaannya sibuk diperkatakan. Alangkah bermaknanya jika semua cita-cita dan hasrat memperbaiki kehidupan dan pencapaian itu benar-benar dapat dikotakan.
Semangat melakukan perubahan dan mencapai peningkatan dalam apa juga yang diceburi sememangnya sangat digalakkan oleh Islam. Al-Qur’an sendiri berulang kali menggesa hamba-hamba Allah agar memiliki daya saing yang tinggi untuk melakukan kebaikan. Sifat suka bersaing melakukan kebaikan akan membawa banyak kebaikan kepada sesebuah masyarakat secara umumnya. Dengan sifat dan semangat terpuji ini, pasti banyak permasalahan masyarakat dapat diselesaikan dengan lebih mudah dan pantas.
Sifat bersaing dan mencintai kebaikan serta amal jariah ini amat ketara dalam pelbagai ibadah yang difardukan dalam Islam seperti zakat dan juga yang menjadi amalan sunat seperti wakaf. Zakat umpamanya melatih setiap Muslim bertanggungjawab menyucikan harta mereka dengan menyerahkan bahagian daripada harta yang dimiliki kepada individu yang layak menerimanya. Demikian juga dengan amalan wakaf yang memperlihat kedermawanan individu atau pertubuhan yang merelakan sesuatu benda atau harta malah juga haiwan miliknya digunakan oleh orang lain demi memenuhi keperluan mereka dan mengharapkan keredaan Ilahi. Pendek kata, inilah caranya Islam mendidik umatnya agar sentiasa bersedia mengorbankan kepentingan diri dan mengutamakan keperluan orang lain berbanding dengan kepentingan diri sendiri. Ini ditegaskan dalam ayat, “dan mereka juga mengutamakan orang yang berhijrah itu lebih daripada diri mereka sendiri, sekalipun mereka dalam kekurangan dan sangat-sangat berhajat. Dan (ingatlah), sesiapa yang menjaga serta memelihara dirinya daripada dipengaruhi oleh tabiat bakhilnya, maka merekalah orang yang berjaya”. (Surah al-Hasyr 59 : 9)
Bencana Tsunami yang melanda negara-negara Asia pada 26 Disember 2004 yang lalu sesungguhnya menguji kita semua; bukan sahaja mangsa yang terlibat tetapi juga kita yang hanya dapat melihat dan mendengar betapa hebatnya tragedi yang mengorbankan sedemikian banyak nyawa serta harta benda. Tiada siapa dapat menjangka bencana Tsunami yang tidak pernah melewati rantau Asia dan Afrika akhirnya tiba juga dan hanya dengan kali pertama ini sahaja bencana ini datang, ia telah membawa kehancuran yang sedemikian besar. Ketika menonton TV sekitar jam 9.30 pagi 26 Disember 2004, penulis mengikuti laporan berkenaan dengan kesan gempa bumi yang berukuran 8.9 pada skala Richter di utara Sumatera bagi negara ini hanyalah berupa gegaran kecil yang dapat dirasai di beberapa buah tempat seperti di Rawang dan Klang serta utara tanah air. Pengalaman seumpama ini juga yang dialami oleh penulis ketika menuntut di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (P) Almashoor, Pulau Pinang (menumpang bangunan Sek. Men. Keb. Agama (L) Almashoor yang terletak di Jalan Ayer Itam) pada tahun 1983 dan diarahkan turun dari bangunan setinggi empat tingkat akibat gegaran sederhana yang dirasai berikutan gempa bumi yang berlaku di Kepulauan Sumatera.
Namun, berita yang diperoleh daripada keluarga yang berada di Pulau Pinang pada tengahari 26 Disember itu amat mengejutkan. Banyak mangsa, khususnya yang berada di pantai Batu Feringghi dikhabarkan hilang, lemas dan meninggal dunia. Berita demi berita yang mengejutkan dan menyayat hati diperoleh seterusnya daripada berita TV. Rupa-rupanya gegaran kecil yang dilaporkan pada pagi 26 Disember itu di negara ini yang disangka seumpama peristiwa yang pernah dialami sebelas tahun yang lalu, benar-benar satu bencana yang kehebatannya tidak terungkap dek perkataan. Bencana yang keempat terbesar di dunia sejak tahun 1900 itu telah mencatat satu lagi sejarah kemusnahan dunia.
Hari-hari selepas 26 Disember itu menyajikan kita pelbagai laporan tentang kematian, kehilangan, kedukaan dan kesengsaraan yang dialami oleh mangsa Tsunami di semua negara yang terlibat, khususnya negara-negara yang amat teruk terjejas seperti Aceh, Sri Lanka, India dan Thailand. Pun jua pada saat-saat seperti inilah kita diberitakan tentang betapa pantasnya organisasi, pertubuhan, kumpulan dan individu tertentu berkorban nyawa, tenaga, kepakaran dan masa serta wang ringgit untuk menghulur bakti, membantu meringankan kesengsaraan yang dialami oleh mangsa.
Penderitaan dan kesengsaraan hampir dalam semua keadaan dapat menyatukan manusia, tanpa mengira bangsa, kaum dan agama. Inilah yang dapat dilihat dalam tragedi alam sejak 26 Disember yang lalu sehingga hari ini. Selain negara-negara Islam yang segera mengambil tindakan menghulurkan bantuan, negara-negara bukan Islam turut menghulurkan pelbagai bentuk sumbangan sebagai tanda sokongan serta prihatin yang tiada batasan atau sempadannya. Bagi Malaysia sendiri meskipun turut terbabit dalam bencana yang melanda, namun masih bersedia menghulurkan bantuan kemanusiaan kepada negara-negara lain yang menjadi mangsa ombak besar Tsunami. Mercy Malaysia, pasukan penyelamat khas (SMART), pasukan bomba dan Persatuan Bulan Sabit Merah telah bertindak pantas memberikan bantuan, khususnya ke Aceh bagi menjalankan pelbagai tugas seperti menyelamatkan dan merawat mangsa. Tindakan pantas Malaysia ini jelas menepati nilai budaya sebangsa serta serumpun yang sekian lama tersemai dan inilah yang dinyatakan oleh Presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono ketika berkunjung ke negara ini pada 14 Februari yang lalu.
Selain Malaysia, Arab Saudi menghulurkan bantuan berupa makanan, khemah, selimut, ubat-ubatan dan peralatan perubatan. Saudi juga melaksanakan program pengumpulan dana bagi mangsa Tsunami yang disiarkan oleh televisyen tempatan dan berhasil mengumpulkan sebanyak 100 juta dolar Amerika. Dalam rancangan khas sebuah stesen televisyen swasta bersempena dengan Ma`al Hijrah baru-baru ini, Presiden Bulan Sabit Merah Arab Saudi, Abdullah Abdul Rahman al-`Alim Usai yang diiringi beberapa orang anggota persatuan ini ke Aceh menyatakan bahawa kerajaan Saudi dan rakyatnya telah memberikan sumbangan sekitar 800 juta dolar Amerika sebagai hibah kepada rakyat Aceh dan beberapa buah negara lain, bagi meringankan bebanan penderitaan akibat dilanda Tsunami.
Negara-negara Islam lain, sebagaimana yang dilaporkan oleh wikipedia.org. juga tidak ketinggalan menghulurkan bantuan atas dasar persaudaraan Islam dan kemanusiaan. Antaranya termasuklah :
Emiriyyah Arab Bersatu : Memberikan sumbangan sebanyak 20 juta dolar Amerika dan menghantar tiga buah pesawat yang membawa bantuan makanan serta ubat-ubatan ke India, Indonesia dan Sri Lanka;
Iran : Negara yang turut mengalami kejutan akibat bencana gempa bumi setahun yang lalu ini menghantar 221 tan bantuan kemanusiaan seperti ubat-ubatan, khemah, pakaian dan makanan ke Indonesia dan menyumbang 675,000 dolar Amerika kepada Persatuan Bulan Sabit Merah;
Kuwait : Memberikan sumbangan dalam bentuk kewangan sebanyak 10 juta dolar Amerika;
Oman : Menghantar bantuan bernilai 3 juta dolar Amerika;
Pakistan : Menghulurkan pakej bantuan bernilai 0.2 juta dolar Amerika kepada Sri Lanka;
Qatar : Menghulurkan bantuan sebanyak 25 juta dolar Amerika dan ia tidak termasuk bantuan makanan serta perubatan yang diberikan segera;
Turki : Negara yang turut mengalami beberapa buah gempa bumi pada tahun 1999 ini mengumumkan derma sebanyak TRY 1.7 juta untuk bantuan pembinaan semula infrastruktur kepada India, Indonesia, Malaysia, Maldives, Sri Lanka dan Thailand.
Bencana yang ditimpakan Allah ke atas hamba-hamba-Nya, walau dalam bentuk apa pun jua, perlu diterima dengan penuh reda serta berasaskan sangkaan yang baik. Sesukar mana sekalipun kita menelan hakikat bahawa tragedi ini menyimpan rahmat di sebaliknya, kita tetap perlu meyakinkan diri bahawa rahmat Allah menanti manusia yang tabah hati serta teguh imannya melalui taqdir ini. Maka antaranya kita dapat melihat bagaimana perubahan sikap politik di Aceh berlaku, sama ada disedari oleh manusia mahupun tidak. Jikalah tidak kerana bencana Tsunami, tiada orang asing yang dapat menjejakkan kaki ke Aceh sebagaimana halnya sekarang. Pemerintah Indonesia sebelum ini mengharamkan kedatangan orang asing ke Aceh di bawah perintah daruratnya, kecuali jika memperoleh kebenaran atas sebab-sebab yang khusus. Larangan ini secara- tiba-tiba termansuh akibat bencana yang juga datang secara tiba-tiba. Orang asing; sukarelawan dan penyelamat dibenarkan memasuki Aceh untuk menyampaikan segala bentuk bantuan kepada rakyatnya yang menjadi mangsa. Maka dengan ini jugalah, semangat persaudaraan Islam dan hubungan kemanusiaan begitu ketara dalam menangani bencana yang menimpa.
Sumbangan yang besar jumlahnya tidak mungkin dapat mengembalikan insan yang terkorban ke pangkuan mangsa yang masih hidup dan mangsa-mangsa ini terpaksa pula meneruskan kehidupan berasaskan kekuatan semangat yang masih bersisa, namun kesepakatan dan amal bakti yang dicurahkan oleh saudara seagama mahupun yang bukan kepada mangsa-mangsa ini, benar-benar menjadi rahmat yang tidak terhitung nilainya.
Nilai yang jelas terpamer dalam tragedi ini seperti menghulurkan apa sahaja yang termampu, berkorban apa sahaja yang dimiliki dan berkongsi penderitaan serta kedukaan, membuktikan bahawa tragedi yang zahirnya membawa kehancuran rupa-rupanya telah juga mengundang limpahan rahmat. Apakah lagi yang lebih bererti daripada kekuatan yang diperoleh daripada musibah besar ini untuk sama-sama berganding bahu membina semula apa sahaja yang telah hancur, hilang atau musnah dengan sekelip mata dalam tragedi 26 Disember itu? Siapakah yang dapat menyangka kehancuran dan kemusnahan itulah yang menyatukan kita dengan sedemikian rupa sehingga memungkinkan kita menyahut seruan al-Qur’an, “Dan hendaklah kamu tolong-menolong untuk membuat kebajikan dan bertaqwa” (Surah al-Ma’idah 5 : 2)
Seruan agar saling bantu-membantu inilah yang pastinya menjadi penggerak usaha pelbagai pertubuhan serta individu untuk membantu mangsa tanpa mengira bangsa atau agama, walau di mana sahaja mereka berada. Kita menyanjung tinggi pelbagai usaha termasuk oleh Mercy Malaysia yang merupakan salah satu kumpulan terawal berada di Aceh bagi menghulurkan misi kemanusiaannya. Mercy Malaysia khabarnya telah pun berjaya melaksanakan misinya, meskipun dalam keadaan serba kekurangan. Kini pertubuhan bukan kerajaan yang telah banyak memberikan sumbangan di peringkat antarabangsa, termasuk di negara-negara yang terbabit dengan peperangan ini telah diberikan kepercayaan daripada pihak berkuasa Aceh untuk membina semula serta menguruskan sekolah kejururawatan serta farmasi yang telah musnah. Malah, Mercy Malaysia juga merupakan satu-satunya badan bukan kerajaan (NGO) dari Asia yang telah diberikan kepercayaan untuk melatih kaunselor bagi memberikan kaunseling kepada mangsa-mangsa Tsunami di Aceh. Selain Mercy Malaysia, Pusat Pungutan Zakat Wilayah Persekutuan dan ABIM Outreach juga telah membentuk misi khas, iaitu untuk mengambil alih pesantren di Banda Aceh dan melengkapkannya dengan pelbagai keperluan serta kemudahan asas untuk menjadi tempat perlindungan bagi kira-kira 120 orang anak yatim yang menjadi mangsa Tsunami.
Kita berasa lebih gembira lagi dengan pengumuman OIC pada 19 Februari yang lalu untuk menghulurkan bantuan melalui dana bernilai AS$145 juta (RM551 juta) yang disediakan oleh IDB bagi melaksanakan segera lima projek utama membantu anak-anak yatim mangsa Tsunami seramai lebih 38,000 orang di Aceh. Antara projek pertama yang akan dilaksanakan dalam tempoh tiga bulan akan datang ialah pembangunan rumah-rumah anak yatim yang saiz dan lokasinya sedang dikenal pasti oleh kedua-dua pihak serta kerajaan Indonesia. OIC dan IDB juga akan membantu menyediakan dana dalam bentuk skim bantuan bagi membolehkan keluarga-keluarga di Indonesia menerima sebahagian daripada anak-anak yatim mangsa Tsunami sebagai anak angkat.
Sesungguhnya kita mengharapkan agar musibah, ujian dan dugaan yang ditimpakan Allah ke atas kita akan diiringi kesenangan dan kemudahan sebagaimana yang dinyatakan dalam Surah al-Insyirah 94 : 5-6. Mudah-mudahan kehancuran yang berlaku enam puluh empat hari yang lalu itu membolehkan kita bangkit semula dengan keazaman yang tinggi. Keazaman serta tekad untuk meningkatkan kemakmuran hidup dan kekuatan dari segala aspek. Hanya dengan cara inilah kita akan dapat berdiri dengan sendiri tanpa perlu bergantung harap serta bantuan pada orang lain. Juga yang dapat dipastikan, kita akan berupaya membantu sesama kita, khususnya ketika diuji dengan bencana yang tidak terduga oleh akal kita yang terbatas jangkauannya. Semoga kehadiran tahun baharu 1426H. ini benar-benar membawa erti perubahan yang sebenar bagi kita semua.