Sesuai dengan hakikat bahawasanya agama Islam yang mementingkan ilmu dan pendidikan, dalam masa beberapa hari sahaja lagi muslimin sekalian akan berpeluang mengalami/menghadiri madrasah/sekolah Ramadhan semasa mereka menjalankan ibadat puasa mereka. ‘Madrasah’ berasal daripada perkara Arab ‘darasa’ yang bermaksud mengajar dan ‘madrasah’ pertama dalam sejarah Islam adalah rumah Abu Abdillah al-Arqam bin al-Arqam. Di sini ilmu pengetahuan dan amal yang soleh diajar sendiri oleh Rasulullah S.A.W. di kalangan para as-Sabiqun al-Awwalun. Amalan saum – puasa adalah mekanisme terbaik pendidikan orang Islam dalam semua dimensi kehidupan.
Puasa sebenarnya berasal daripada perkataan Sanskrit ‘upavasa’ yang bermaksud antara lainnya menahan diri dari makan, minum dan sifat-sifat rendah yang buruk demi mendekatkan diri kepada Allah S.W.T. Ini juga menggambarkan bahawa puasa adalah satu ibadat yang telah dijalankan oleh umat-umat sebelum kita. Di antara pengajaran asas puasa yang perlu diberi perhatian serius dan mendalam adalah peristiwa turunnya Nuzul/Tanzil al-Quran itu sendiri di bulan yang mulia ini. Ayat yang mula-mula turun adalah Surah al-‘Alaq (1–5), “Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekalian makhluk), Ia menciptakan manusia dari sebuku darah beku; Bacalah, dan Tuhanmu Yang Maha Pemurah; Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan; Ia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya”, menekankan sekali lagi pentingnya ilmu bagi manusia memahami makna kehidupannya. Al-Quran bukan sahaja mu’jizat terpenting Rasulullah bahkan al-Quran adalah pemberitahuan makna dan identiti kita sebagai orang Islam. Seterusnya puasa mendidik kita mempunyai sifat taqwa seperti yang dinyatakan oleh ayat dalam Surah al-Baqarah (21), “Wahai sekalian manusia! Beribadatlah kepada Tuhan kamu yang telah menciptakan kamu dan orang-orang yang terdahulu daripada kamu, supaya kamu (menjadi orang-orang yang) bertaqwa”.Taqwa bukan sahaja diperolehi melalui penahanan nafsu makan dan lain-lain tetapi yang lebih penting lagi ia memerlukan pengawalan deria telinga, mata, lidah, kaki, tangan dan perasaan serta pemikiran yang sememangnya berpotensi melakukan kemungkaran/kerosakan selagi roh dan jiwa tidak sentiasa menyerah dan bergantung (bertaqwa) melalui zikir yang tidak putus-putus yang membolehkan bimbingan Allah berlaku.
Kupasan-kupasan pengajaran berbagai dimensi kehidupan yang dapat kita perolehi melalui ibadat bulan Ramadhan ini merupakan di antara tumpuan para penyelidik IKIM. Sesuai dengan peranannya sebagai institusi penyelidikan, pemikiran dan pemahaman Islam yang lebih mendalam, komprehensif dan holistik, IKIM baru-baru ini mengambil inisiatif menerbitkan dua buah buku mengenai Ramadhan iaitu Madrasah Ramadhan: Pengajaran dari Pelbagai Dimensi dan Madrasah of Ramadhan: Lessons from Different Dimensions. Kedua-dua buah buku ini adalah hasil penulisan ahli-ahli penyelidik/akademik IKIM. Di antara bidang-bidang yang disentuh termasuklah bidang kesihatan fizikal dan mental, ekonomi, keadilan sosial, sains, dan pengukuhan tauhid, akidah serta keimanan. Di akhir bulan pendidikan di dalam Madrasah Ramadhan, muslimin yang berjaya akan diukur kecemerlangannya melalui darjah kefitrahan yang dicapai melalui ibadat puasa yang dilaksanakan. Fitrah merupakan keadaan keseimbangan yang sempurna di antara tuntutan nafsu yang halal serta keimanan seseorang insan yang asal. Pengembalian kepada keadaan fitrah inilah yang diraikan semasa ‘Eid-al-Fitr’/Hari Raya. Sangat besar makna ‘Eid-al-Fitr’ ini kerana mereka yang telah berjaya mencapai kefitrahan yang sepatutnya adalah merupakan orang yang akan dapat membezakan di antara yang hak dan yang batil di dalam kehidupannya lantaran ketaqwaan yang telah diperkukuhkan semasa bulan Ramadhan.