Mutakhir ini, pasaran produk dan perkhidmatan berasaskan halalan thoyyiba (halal lagi baik) dijangkakan bakal mendominasi persada ekonomi dunia. Ekonomi halal bukan sekadar satu penjenamaan, malah menyokong Matlamat Pembangunan Lestari (Sustainable Development Goals-SDG). Walaupun berhadapan berbagai-bagai cabaran, dua norma penting kepenggunaan ini tetap diperlukan dalam keseluruhan ekosistem ekonomi sejagat. Peluang dan potensinya perlu ditekuni dengan strategi berkesan bagi menjayakannya.
Kepenggunaan berasaskan halalan thoyyiba merupakan prinsip yang digagaskan oleh Al-Quran (surah al-Baqarah: 168, al-Mā’idah: 88, al-Anfāl: 69 dan an-Nahl: 114). Menurut Abu Ja’far dalam tafsir At-Thobari, makna halalan thoiyyiba adalah lebih umum (tidak terhad kepada makanan semata-mata), secara mutlak (meliputi seluruh kepenggunaan) dan (apa-apa barang) yang bebas daripada nas pengharaman. Asas ini memperluaskan prinsip halalan thoiyyiba kepada bukan sekadar makanan tetapi meliputi seluruh kepenggunaan produk dan perkhidmatan dalam muamalah Islami. Oleh itu, para Mujtahid merumuskan kaedah fiqh ‘al-aslu fi al-asyiā’ al-ibahah’ yang bermaksud: “hukum asal bagi setiap sesuatu (muamalat) adalah harus”, kecuali apabila terdapat nas yang mengharamkannya.
Maqasidnya pasti untuk membawa maslahah (kebaikan) dan mengelak mafsadah (keburukan) kepada manusia. Populasi masyarakat Muslim dunia yang makin meningkat merupakan sasaran utama di samping wujudnya kecenderungan dalam kalangan masyarakat bukan Islam. Tidak hairanlah kenapa The Central Islamic Committee of Thailand (CICOT) antara negara di Asia yang mempunyai minoriti Muslim menyediakan infrastruktur dan mekanisme persijilan halal yang meyakinkan. Pusat Sains Halal, Universiti Chulalongkorn merupakan antara institusi penyelidikan halal yang makin kehadapan dengan penyelidikan dan kerjasama strategik mereka.
Meninjau Belt and Road Forum (BRF) di China baru-baru ini yang dihadiri oleh lebih 5,000 perwakilan daripada 150 negara, perancangan strategik mengetengahkan konsep, produk dan perkhidmatan berasaskan ekonomi halal mampu membuka jalan dagang laut, darat dan maya di arena antarabangsa. Malaysia terkenal mengatasi negara Islam lain melalui persijilan halal, produk kewangan dan perbankan Islam di persada antarabangsa. Terbaharu ialah usaha mengungguli produk kesihatan, farmasi, kecantikan, pelancongan serta seni dan industri busana patuh Syariah. Syarikat-syarikat dari Indonesia umpamanya mengorak langkah mengungguli produk kosmetik patuh syariah menembusi pasaran Eropah. Persaingan ini mencabar Malaysia agar menjuarai ekonomi halal secara menyeluruh dengan agenda yang lebih terancang.
Bagi mengukuhkan lagi strategik negara didalam bidang ini, Maybank Islamic Bhd. menjangkakan ekonomi halal meningkat kepada US$6.4 trilion berdasarkan unjuran pembiayaan ekonomi halal Negara-negara Teluk-Asia dengan penubuhan cawangan luar negara mereka yang berpusat di Dubai. Perbankan dan kewangan Islam sendiri merupakan bukti tarikan pemain industri dan pelabur bukan Islam dalam ekonomi halal di seluruh dunia.
Perkara utama yang perlu diusahakan ialah satu dasar ekonomi halal yang jelas merangkumi hala tuju, piawaian, sasaran strategik berkala, hak cipta dan perundangan. Revolusi industri keempat (IR4.0) perlu dilihat sebagai peluang pemasaran, jaringan maya, gerbang pemantauan, semakan status dan aplikasi yang lebih cekap dan berkesan. Penyelidikan dan inovasi alat dan teknik pemeriksaan piawaian juga merupakan satu aspek penting yang perlu diberi perhatian. Inisiatif berkaitan pernah dirangsang oleh kerajaan Arab Saudi dengan pengiktirafan global terhadap inovasi ‘Portable Electronic Nose’ pada tahun 2018 atas penciptaan alat mengenal pasti lemak terlarang (rujuk makalah jurnal bertajuk ‘Rapid lard identification with protable electronic nose’-iopscience.iop.org).
Tidak dinafikan, piawaian pematuhan perlu diperkemaskan terutamanya yang melibatkan kebenaran penawaran produk dan perkhidmatan ekonomi halal kepada bukan Islam. Jika kita tinjau, terutamanya sekitar awal tahun 2019, terdapat rangkaian restoran dan produk yang berselindung di sebalik nama Islami, menyalahgunakan tanda dan persijilan halal. Itulah risikonya apabila kepatuhan prinsip kepenggunaan halalan thoiyyiba bukan atas dasar keimanan tetapi orientasi komersial semata-mata. Jika aspek keimanan ini dipermudahkan atau tidak dilindungi, kita bimbang ada pihak yang mengambil kesempatan dan menyalahgunakan sijil/logo halal.
Halalan thoiyyiba merupakan harta intelek dan tanda dagang (trade mark) kepunyaan umat yang mengimani al-Quran. Dasar perlu ditetapkan dengan mensyaratkan pegangan ekuiti Muslim dalam syarikat berkenaan atau paling kurang pelantikan Perunding Syariah. Peluang inovasi produk dan perkhidmatan kategori ekonomi halal boleh diperkemaskan dengan pendaftaran berpusat bertanda dagang (H) untuk halal atau HT (untuk halalan thoiyyiba) (seperti tanda ® atau ™ pada jenama atau syarikat berkaitan).
Dengan mengambil kira semua ini, Malaysia mampu memainkan peranannya dalam membangunkan ekonomi negara dan ummah serta menerapkan roh muamalat Islami dalam menerajui pasaran ekonomi halal yang teras, telus dan lengkap.