Al-Quran menceritakan tentang penciptaan secara terperinci serta menjelaskan asal usul kejadian manusia daripada Adam. Manusia dijadikan daripada benih dan jenis yang sama, iaitu daripada tanah (turab), daripada air mani (main mahin), daripada segumpal darah beku (al-alaq). Dan seterusnya Allah s.w.t. dalam surah an-Nisa ayat 1 menyatakan yang bermaksud:
Wahai sekalian manusia, bertakwalah kepada Tuhan kamu yang telah menjadikan kamu (bermula dari diri yang satu (Adam) dan yang menjadikan daripada (Adam) itu pasangan (isterinya Hawa) dan juga yang membiakkan diri keduanya zuriat keturunan lelaki dan perempuan yang ramai.
Manusia telah ditunjukkan bagaimana zuriat itu diteruskan iaitu dengan perkahwinan. Dan perkahwinan itu hendaklah antara lelaki dan perempuan. Daripadanya akan melahirkan keturunan yang sah. Inilah cara Islam memberikan zuriat manusia dan berkembang. Manusia tidak dihalalkan untuk membentuk kekeluargaan tanpa ikatan perkahwinan yang sah.
Sudah pasti melahirkan keluarga di luar tabii boleh menghapuskan nasab yang sah dan menjejaskan kemuliaan manusia. Walaupun manusia boleh mengambil anak angkat, akan tetapi taraf dan kedudukannya tidak seperti anak sendiri. Implikasi hukum berbeza antara anak sendiri dengan anak angkat. Pertentangan antara undang-undang dan hukum syarak dalam perkara ini, hukum syarak hendaklah dipakai.
Untuk mengetahui keturunan seseorang itu ada dijelaskan proses dalam kandungan seperti maksud ayat 15 surah al-Ahqaf:
Ibunya telah mengandungnya dengan menanggung susah payah dan telah melahirkan dengan menanggung susah payah. Sedang tempoh mengandungnya beserta dengan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa tiga puluh bulan.
Inilah proses tabii kejadian kelahiran manusia ke dunia. Manusia tidak dibenarkan mengadakan zuriat yang bertentangan dengan cara demikian.
Apabila seseorang itu telah mencapai umur baligh atau taklif, dia mulai dibebankan dengan tanggungjawab, sama ada tanggungjawab keagamaan atau sosial dan lain-lain.
Dalam melaksanakan tanggungjawab keagamaan, manusia terikat dengan ketetapan-ketetapan dan aturan-aturan. Dalam hubungan ini manusia tidak bebas untuk menentukan bentuk ibadat dan cara melaksanakannya. Jika dilakukan mengikut ciptaan dan kemahuan yang difikirkan munasabah oleh logik semata-mata, ia boleh membawa kepada kesesatan dan kebatilan.
Oleh yang demikian, ibadat tidak boleh direka-reka atau dicipta. Ia perlu kepada nas dan dalil yang jelas. Orang Islam tidak boleh melakukan sesuatu ibadat sesuka hati. Sembahyang ada cara melaksanakannya begitu juga dengan ibadat haji. Suruhan atau sesuatu bentuk tuntutan ibadat tidak semuanya boleh dirasionalkan kewajarannya.
Islam menghendaki umatnya patuh atau taat kepada perintah agama. Kita diberi kebebasan melakukan sesuatu ibadat, akan tetapi ia hendaklah dalam batas-batas yang ditetapkan.
Dalam surah al-Jumuah ayat 9 bermaksud:
Wahai orang-orang yang beriman, apabila diserukan azan untuk menunaikan sembahyang pada hari Jumaat maka segera kamu pergi (ke masjid) untuk mengingati Allah (dengan mengerjakan solat Jumaat) dan tinggalkan jual beli (pada saat itu) yang demikian adalah baik bagi kamu jika kamu mengetahui.
Orang Yahudi bermegah-megah dengan hari Sabtu sebagai hari besar mingguan mereka. Ayat di atas menetapkan hari Jumaat sebagai Sayyid al Ayyam bagi orang Islam dengan menetapkan supaya didirikan sembahyang yang khusus menandakan kebesaran hari Jumaat.
Ayat tersebut juga memerintahkan orang Islam segera ke masjid sebaik sahaja mendengar seruan azan dengan meninggalkan urusan kerja masing-masing seperti jual beli dan tugas di pejabat supaya dapat bersama mendengar khutbah dan mendirikan sembahyang Jumaat berjemaah.
Hari ini terdapat aktiviti jual beli semacam pasar mini di sesetengah kawasan masjid atau sekitarnya yang berhampiran. Daripada jualan ketayap sampai ke nasi minyak. Pelanggan sememangnya ramai dan mereka menikmati makanan yang menyelerakan dan mengenyangkan pada harga yang berpatutan.
Kepada peniaga-peniaga ini, elok kita contohi suasana sekitar di Mekah, di Madinah dan Jedah apabila azan berkumandang, mereka segera menutup perniagaan. Mereka boleh membuka semula perniagaan apabila selesai solat Jumaat. Janganlah setelah azan Jumaat berkumandang, masih ramai yang sibuk dengan urusan jual beli. Kita lakukan yang dituntut oleh ayat tersebut.
Dalam pergaulan dan sosial ada batas-batas tertentu. Manusia jika diberikan kebebasan tanpa sempadan nescaya akan menuntut sesuatu yang bukan haknya. Ajaran Islam telah memberikan beberapa peraturan menghalang manusia mengikut hawa nafsu dan keinginan tanpa batasan. Mereka yang melakukan sesuatu hanya mengikut pertimbangan nafsu semata-mata akan cenderung kepada melakukan kemungkaraan dan kerja yang keji.
Dalam pergaulan, kita perlu menghormati hak orang lain. Begitu juga menghormati maruah orang lain. Kehormatan seseorang tidak boleh dicemarkan. Islam memandang setiap orang walau berbeza keturunan dan kepercayaan, mereka ada maruah. Tidak boleh memperhambakan orang yang dilahirkan merdeka. Dalam sejarah Islam walaupun terdapat hamba, mereka yang memilikinya digalakkan membebaskan golongan tersebut. Bahkan dalam sesetengah bentuk hukuman kaffah seperti sumpah dikehendaki membebaskan hamba. Ini jelas dalam surah al-Maidah ayat 89.
Baginda Rasulullah s.a.w telah memerdekakan seramai 63 orang hamba, begitu juga dengan sahabat-sahabat baginda. Golongan hamba diberi peluang untuk membebaskan diri mereka. Islam menentang perhambaan sejak dahulu lagi. Sebagaimana yang kita ketahui perhambaan telah dilarang secara menyeluruh dan total seperti dalam Deklarasi Hak Asasi Manusia.
Umat Islam terutama mereka yang berilmu tidak dihalang mengeluarkan pendapat mereka. Ini adalah tradisi yang berlaku dalam sejarah tamadun Islam. Ilmu yang diturunkan dalam bentuk dokumentasi dan disusun dalam bentuk buku akan menjadi khazanah yang tidak ternilai harganya. Bagaimanapun tradisi ini nampaknya tidak begitu menyeluruh.
Ahli cendekiawan lebih banyak mengeluarkan pendapat di kaca TV atau radio dan pentas-pentas ceramah, kurang dalam penulisan yang sistematik dan ilmiah. Jika pergi ke pustaka buku atau kedai-kedai buku, kita merasai ketandusan dalam aspek ini.
Kalau ada pun lebih terjurus dalam bentuk buku teks untuk kegunaan golongan pelajar tertentu dan lebih fokus kepada perkahwinan dan ibadat tertentu. Jika pun terdapat bahan-bahan ilmiah tetapi pemasarannya pula amat terbatas. Cubalah kita pergi ke toko-toko buku besar, buku-buku ilmiah dalam bidang agama amat sedikit.
Sebahagian kita lebih suka menyuarakan hak kebebasan bercakap dan mengeluarkan pendapat dalam perkara yang memberi kesan negatif dan menimbulkan kontroversi. Dengan cara begini, sebenarnya kita telah menyalahgunakan kebebasan. Dalam Islam ada etikanya. Sememangnya sesama orang Islam, mereka dibenarkan memberi nasihat. Akan tetapi bukan mengikut nafsu marah atau mempunyai kepentingan. Cara sedemikian boleh mendatangkan niza atau perbalahan dan ini dilarang oleh Allah seperti firman dalam surah al-Anfal ayat 46 bermaksud:
Dan taatlah kepada Allah dan Rasulnya dan janganlah kamu berbantah-bantahan kelak nescaya kamu menjadi lemah dan hilang kekuatan kamu.
Apa yang berlaku dalam masyarakat Islam di negara kita bukan khilaf pendapat, kerana khilaf pendapat ada kebaikannya seperti yang berlaku di kalangan ulama-ulama besar dahulu. Berlainan dengan kita sekarang. Kita sebenarnya berada dalam keadaan niza atau berbantah-bantahan yang merugikan. Pada hal perkara yang berbantah-bantahan itu hanya mengenai cara dan pengisian bukan matlamat.
Setiap orang Islam mestilah mempunyai matlamat yang sama. Dalam konteks negara, sudah pasti kita mahu melihat negara Islam ditegakkan. Malaysia telah pun diisytiharkan sebagai negara Islam. Akan tetapi bantahan masih dicanang oleh orang Islam sendiri. Begitu juga dalam beberapa perkara yang menyentuh kepentingan umat Islam. Nampaknya kini kedudukan orang Islam khususnya Melayu di Malaysia tidak seperti dahulu.
Dahulu kita bangsa dan rumpun yang kuat dan dihormati dan menjadi tempat bernaung. Tapi kini kekuatan bangsa kita dan agama Islam semakin tercabar kerana kita berbantah-bantahan sesama sendiri dan tidak bersatu padu. Kita boleh berkhilaf pendapat akan tetapi jangan berniza kerana itu boleh melemahkan kita.