Kewujudan individu gelandangan adalah kerana pelbagai faktor seperti kesempitan hidup, kemiskinan bandar, konflik keluarga, gejala sosial, gangguan mental, penyalahgunaan dadah, sikap dan lain-lain. Gelandangan juga bukanlah isu terpencil yang hanya menghimpit negara-negara membangun sahaja. Akan tetapi gelandangan merupakan isu universal yang turut dialami oleh negara maju.
Orang gelandangan secara umum bermaksud individu yang tiada perumahan sebenar, kekurangan keperluan asas dan peribadi serta hidup dan tidur di jalanan. Di Malaysia, data berkaitan gelandangan sukar didapati dengan tepat. Namun, Anjung Singgah yang ditubuhkan sebagai pusat transit gelandangan merekodkan seramai 6,936 orang gelandangan telah mendaftar masuk di seluruh Malaysia secara sukarela sejak ditubuhkan pada tahun 2011.
Isu gelandangan adalah lebih daripada sekadar tidak mempunyai rumah dan tidur di jalanan semata-mata. Memang timbul rasa belas dan simpati melihat terutama wanita, kanak-kanak dan orang tua bergelimpangan di kaki lima ataupun di bawah jambatan. Namun sebenarnya, golongan yang dilihat tidak berumah ini ada dalam radar perhatian dan bantuan baik oleh agensi yang berkenaan mahupun badan-badan bukan kerajaan (NGO). Cuma, bagi orang awam, kita kurang memahami kerumitan isu gelandangan ini.
Sebagai contoh, dapur percuma (makanan) yang disediakan oleh agensi dan NGO yang berkenaan bagi individu gelandangan telah mencapai kesepaduan. Jadi, apabila terdapat pihak yang baru bermula dengan kegiatan kesukarelawanan ini tanpa merujuk kepada agensi yang terlibat terlebih dahulu, ia boleh menyebabkan berlakunya pembaziran dan pencemaran sampah sarap di kawasan sekitar.
Kerumitan juga timbul apabila terdapat individu gelandangan yang merupakan penerima bantuan rumah sewa, tetapi masih lagi didapati tidur di jalanan. Akibatnya, ada agensi tertentu telah dituduh tanpa usul periksa kerana tidak memberi bantuan yang sepatutnya. Jadi, sebenarnya isu gelandangan ini bukanlah semudah memberi ikan yang telah ditangkap, kerana walau pancing dan umpan telah diberi, masih ada yang memilih menunggu kosong di tepi air.
Seperti kemiskinan, bukan semua masalah orang gelandangan adalah sama. Ada di antara mereka bukan warganegara yang menjadi orang gelandangan termasuklah pelarian. Bagi warganegara pula, ada yang mempunyai pekerjaan namun tidak mampu menyewa tempat tinggal kerana dihimpit kos sara hidup yang tinggi. Jadi pilihan yang ada, tidur di mana sahaja yang difikirkan sesuai.
Ada juga yang menjadi gelandangan sementara kerana berada dalam proses mendapatkan tempat tinggal setelah berhijrah dari tempat lain untuk mencari pekerjaan. Boleh jadi juga, orang gelandangan ini merupakan individu yang terlibat dalam konflik keluarga seperti ibu yang melarikan diri bersama anak-anaknya daripada insiden keganasan rumah tangga. Tanpa sebarang sumber kewangan, mereka akhirnya bergelandangan di kawasan awam. Jadi pendekatan kepada kumpulan gelandangan ini perlulah mengikut keutamaan mereka.
Sebagai contoh, seorang ibu yang bergelandangan bersama anak-anaknya sukar untuk meneruskan kehidupan jika tiada pengesahan cerai walaupun telah berpisah. Ini termasuklah proses untuk mendapatkan bantuan sebagai ketua keluarga dan sebagainya. Bantuan yang hanya melibatkan makanan atau tempat tinggal sementara juga sukar membawa ibu tadi ke fasa meneruskan kehidupan seterusnya.
Isu dokumentasi begini sebenarnya menjadi salah satu faktor kritikal dan menjadi satu titik kerumitan yang tinggi dalam usaha untuk mengubah nasib orang gelandangan. Masalah dokumentasi ini termasuklah dokumen penting yang telah hilang, musnah, perkahwinan dan kelahiran (walaupun ibu bapa warganegara) yang tidak berdaftar dan lain-lain menjadi hambatan kepada orang gelandangan untuk keluar daripada permasalahan mereka.
Justeru, selain daripada makanan dan tempat tinggal yang selesa, sebenarnya individu gelandangan amat memerlukan bantuan kaunseling, khidmat nasihat guaman dan nasihat kesihatan. Bantuan konsultasi begini dapat membantu orang gelandangan merujuk dan menyelesaikan masalah mereka mengikut agensi yang berkenaan. Sekali gus, mereka boleh mendapatkan perkhidmatan dan bantuan yang selayaknya diterima. Selain bantuan material, orang gelandangan juga perlu dibantu dengan kemahiran hidup termasuklah latihan amali membuat pembelian barangan keperluan, sanitasi diri dan keselamatan.
Tidak dinafikan, kerjasama daripada agensi kerajaan yang berkenaan sangat diperlukan termasuklah dalam aspek keseragaman prosedur bagi membantu petugas sukarelawan dan orang gelandangan sendiri untuk menyelesaikan masalah mereka. Bukan semua orang gelandangan memahami akan kerumitan dan kepentingan birokrasi apatah lagi jika melibat dokumentasi yang selama ini diabaikan. Jadi, kesabaran dan ketekunan yang tinggi sangat diperlukan dalam kemahiran berkomunikasi dengan individu gelandangan.
Bagi masyarakat awam pula, kita diharap tidak terlalu mudah membuat kesimpulan dalam membuat penilaian tentang isu orang gelandangan. Baik kepada agensi tertentu mahupun kepada orang gelandangan itu sendiri. Penampilan diri dalam keadaan tertentu tidak bermakna individu tersebut tidak bermaruah. Tidur di kaki lima tidak bermaksud individu itu tiada pekerjaan dan malas. Anak-anak kecil berlari ke sana sini tidak semestinya diabaikan ibu bapa mereka.
Islam menolak sangkaan buruk kepada yang lain. Firman Allah dalam Surah al-Hujurat ayat 12 yang bermaksud, “Wahai orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan daripada sangkaan, kerana sesungguhnya sebahagian sangkaan itu adalah berdosa…” Perbuatan mencela atau mengeji individu lain berdasarkan penilaian sendiri juga tidak dapat menyelesaikan sebarang masalah.
Pada akhirnya, kerjasama dan saling melengkapi antara agensi kerajaan dan pihak NGO yang berkaitan adalah apa yang diperlukan untuk menangani isu gelandangan ini. Masyarakat awam juga boleh membantu dengan menyalurkan maklumat kepada pihak yang berkenaan agar langkah seterusnya dapat diambil bagi membantu orang gelandangan.