Saban tahun isu tentang status agama Islam sering dipertikaikan malah belakangan ini timbul suara-suara bahawa kerajaan akan meminda kedudukan Islam dalam Perlembagaan yang kononnya untuk mencerminkan Malaysia sebagai negara yang lebih inklusif dan sekular. Tohmahan ini menyimpang sama sekali melihat kepada peruntukan Perlembagaan yang holistik malah tidak terfikir oleh mana-mana individu atau sesiapa pun yang menjadi kerajaan.
Perlembagaan Persekutuan adalah undang-undang tertinggi negara mengikut Perkara 4(1) dan merupakan dokumen penentu takdir mengambil kira kehendak tempatan. Di Malaysia, kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan diiktiraf dalam Perlembagaan Persekutuan, khususnya di bawah Perkara 3(1) yang memperuntukkan bahawa “Islam adalah agama Persekutuan tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana bahagian Persekutuan.” Status dan kedudukan ini bukan sahaja bersifat simbolik, malah ia mempunyai implikasi yang mendalam terhadap identiti negara, struktur sosial dan keseluruhan kerangka perundangan.
Memang benar peruntukan dalam Perlembagaan boleh dipinda dengan majoriti dua pertiga ahli kedua-dua Dewan Rakyat dan Dewan Negara serta mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong tetapi perkara-perkara yang melibatkan agama Islam (Perkara 3(1)), Bahasa Melayu (Perkara 152,), keistimewaan orang Melayu dan penduduk pribumi di Sabah dan Sarawak (Perkara 153) serta kedudukan Raja-Raja Melayu (Perkara 38) tidak semudah itu. Ia mesti terlebih dahulu melalui proses yang ketat dan melibatkan perkenan Raja-Raja Melayu.
Uniknya, agama Islam adalah satu-satunya agama disebutkan dalam Perlembagaan. Tiada agama lain disenaraikan dalam Perlembagaan dan ini berbeza dengan negara seperti Turkiye dan India yang secara jelas menyebut perkataan sekular dalam Perlembagaan mereka. Perkara 3 (2) & (3) juga memperuntukkan berkaitan kedudukan Raja sebagai Ketua Agama Islam bagi negeri-negeri yang Beraja, manakala Yang di-Pertuan Agong pula adalah Ketua Agama Islam bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan, Putrajaya serta negeri tiada beraja seperti Melaka, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak. Antara peruntukan lain dalam Perlembagaan yang mengesahkan lagi kedudukan istimewa agama Islam ialah Perkara 12(2) yang membenarkan kerajaan membelanjakan duit negara bagi pembangunan agama Islam: “tetapi adalah sah bagi Persekutuan atau sesuatu Negeri menubuhkan atau menyenggarakan institusi Islam atau mengadakan atau membantu dalam ajaran dalam agama Islam”
Perkara 38 dalam Perlembagaan menetapkan bahawa Majlis Raja-Raja mempunyai peranan penting dalam proses legislatif yang melibatkan agama dan adat. Ini menunjukkan betapa serius dan pentingnya kedudukan agama dalam konteks Malaysia yang berbilang kaum dan budaya. Lantaran itu, Raja-Raja Melayu bukan sahaja berfungsi sebagai ketua agama Islam, tetapi juga sebagai penjaga kepada keharmonian dan kestabilan sosial negara.
Memandangkan latar belakang sejarah, institusi Raja-Raja Melayu telah lama dianggap sebagai simbol perpaduan dan kekuatan masyarakat Melayu. Oleh itu, tidak timbul sama sekali cubaan untuk meminda status agama Islam sebagai agama Persekutuan kerana ia perlu melibatkan Raja-Raja Melayu. Sebarang tindakan tanpa mendapat perkenan Baginda-Baginda Tuanku adalah merupakan satu tindakan yang berlawanan dengan Perlembagaan serta tidak menghormati warisan dan kepercayaan rakyat Malaysia. Sebagai contoh, peruntukan mengenai agama Islam dalam Perlembagaan Persekutuan mencerminkan kontrak sosial yang dicapai oleh pemimpin-pemimpin negara ketika merangka perlembagaan ini, di mana agama Islam diberikan pengiktirafan tetapi pada masa yang sama, kebebasan beragama bagi penganut agama lain turut diakui.
Jika dilihat dalam Perlembagaan, perkataan “agama” itu sendiri diulang tidak kurang daripada 20 kali. Agama diberikan penekanan dan kedudukan tinggi, sekali gus membuktikan Perlembagaan bukan sekular kerana sekular bermaksud mengasingkan urusan duniawi dengan hal keagamaan. Namun, adalah penting untuk memahami bahawa mencadangkan pemindaan sedemikian bukan sahaja merugikan kedudukan Islam, tetapi juga boleh mengundang risiko ketidakstabilan sosial masyarakat Malaysia khususnya. Malaysia adalah negara yang dibina atas asas kepelbagaian agama dan etnik. Sebarang cadangan pindaan terhadap status agama Islam berpotensi untuk menimbulkan ketegangan antara pelbagai kaum, bangsa dan agama.
Kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan seharusnya dilihat dalam konteks yang lebih luas dan terbuka, di mana ia bukan sahaja mencerminkan identiti Melayu dan Islam, akan tetapi secara tidak langsung memberikan jaminan kepada penganut agama lain bahawa mereka dapat mengamalkan kepercayaan mereka tanpa rasa takut atau diskriminasi.
Pandangan oleh pihak-pihak tertentu bahawa kerajaan akan meminda peruntukan mengenai kedudukan agama Islam sebagai agama Persekutuan adalah ibarat jauh panggang dari api kerana ia tidak berpijak di atas bumi nyata. Selain itu, ia boleh menimbulkan konflik antara penganut Islam dan bukan Islam yang mungkin merasakan bahawa hak mereka terancam. Dalam konteks Malaysia yang berbilang agama dan kaum, adalah sangat penting untuk mengelakkan sebarang tindakan yang boleh menimbulkan rasa tidak puas hati dan kemarahan di kalangan masyarakat. Di samping itu, sebarang proses pindaan Perlembagaan terhadap empat Perkara asas seperti yang disebut di awal rencana ini tanpa melibatkan Raja-Raja Melayu boleh dilihat sebagai satu tindakan tidak berperlembagaan dan tidak menghormati struktur perundangan dan tradisi negara. Raja-Raja Melayu sebagai simbol perpaduan, berperanan penting dalam mengekalkan keseimbangan dalam masyarakat yang berbilang budaya. Tanpa penglibatan Raja-Raja Melayu, sebarang usaha pindaan boleh dianggap sebagai cubaan untuk mengubah landskap perundangan dan sosial negara secara sepihak.
Intihanya, status agama Islam sebagai agama Persekutuan di Malaysia adalah satu aspek yang perlu dijaga, dipelihara dan dihormati oleh semua golongan tidak mengira latar belakang kaum, bangsa, entiti politik dan agama. Peruntukan Islam dalam Perlembagaan Persekutuan, bersama dengan peranan Majlis Raja-Raja Melayu, menggariskan pentingnya kerjasama dan konsensus dalam mempertahankan kedudukan ini. Sementelahan mencadangkan pindaan terhadap status ini tanpa persetujuan Raja-Raja Melayu adalah perkara yang dangkal dan tindakan yang tidak hanya bertentangan dengan prinsip perlembagaan, malah juga boleh mengancam keharmonian dan kestabilan kehidupan sosial di Malaysia. Justeru itu, adalah penting bagi semua pihak untuk menghormati dan memahami kedudukan agama Islam dalam Perlembagaan. Ini adalah tanggungjawab bersama untuk memastikan bahawa Malaysia kekal sebagai negara yang aman dan harmoni, di mana semua rakyat dapat hidup bersama dalam semangat perpaduan, menghormati satu sama lain serta melindungi hak-hak setiap individu tanpa mengira latar belakang agama atau etnik. Dengan cara ini, kita bukan sahaja menghormati warisan kita, tetapi juga memastikan masa depan yang lebih cerah untuk generasi akan datang. Andai status agama Islam sebagai Agama Persekutuan di Malaysia pada hari ini tidak dipertahankan, maka agenda mengangkat keadilan sosial sukar untuk kita capai dan nikmati bersama seperti yang digagaskan dalam Malaysia MADANI.