Islam meletakkan kedudukan wanita seiring dengan lelaki dalam banyak perkara. Lazimnya, banyak ayat-ayat al-Quran menyebut lelaki dan wanita dalam satu-satu ayat mencerminkan bahawa Islam tidak mendiskriminasi golongan hawa. Bahkan kejadian lelaki dan wanita tidak ada perbezaan kecuali taqwa.
Firman Allah SWT: “Hai manusia! Sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang lelaki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling mengenali. Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu ialah orang yang paling bertaqwa di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal”. (al-Hujurat:13)
Malangnya, walaupun agama Islam mengiktiraf kedudukan dan hak wanita, sebaliknya, sesetengah pihak mendiskriminasi wanita dengan menggunakan alasan agama. Sedangkan pada hakikatnya, ia hanya merupakan adat dan amalan yang tidak berlandaskan agama.
Kedatangan Nabi Muhammad SAW mengangkat darjat wanita, memberi hak yang sewajarnya dan meletak mereka di tempat yang sesuai dengan fitrah. Malah terdapat satu surah khusus yang dinobatkan dalam al-Quran iaitu surah al-Nisa’.
Dalam aspek kepimpinan wanita, terdapat beberapa tokoh-tokoh wanita yang disebut dalam al-Quran, antaranya, Puteri Balqis Malikah al-Saba’, seorang raja perempuan yang bijaksana. Begitu juga Asiah, isteri Firaun dikenali sebagai wanita unggul, mukminah dan solehah. Malah Siti Maryam, wanita terpilih dan suci yang melahirkan Nabi Isa AS. Manakala tokoh-tokoh lain seperti Hawa, Sarah, Hajar dan Ummu Musa yang dianggap ummu mithali dan ibu kepada para anbiya’.
Rasulullah SAW ada menyatakan bahawa status Fatimah sebagai penghulu di syurga (kecuali ke atas Maryam AS). Siti Khadijah sebagai wanita terbaik di kalangan umatnya. Manakala Aishah pemberi manfaat ilmu pengetahuan kepada umat Islam secara keseluruhannya.
Walaupun semenjak abad ke ketiga Hijrah, banyak perbincangan mengenai kepimpinan diperkatakan, namun ia berkisar ke atas kepimpinan lelaki sahaja.
Kepimpinan wanita disentuh sepintas lalu kerana terdapat ayat al-Quran yang bermaksud: “ Kaum lelaki itu adalah pemimpin ke atas kaum wanita” (al-Nisa 4:34)
Tambahan pula terdapat Hadis yang mengatakan wanita itu kurang pada akal dan agama dan ketetapan Syarak yang mewajibkan wanita berhijab. Realitinya, kurang pada akal bukan bermaksud kecerdikan wanita itu rendah dan lemah berbanding dengan lelaki yang lebih mantap, matang dan berdaya fikir.
Tetapi sebenarnya, ketetapan Syarak yang menentukan nisbah bilangan kesaksian dua wanita menyamai satu lelaki. Kurang pada agama pula bukan bermaksud tiada wanita mukminah, solehah, warak dan bertaqwa kepada Allah. Tetapi kurang pada agama mempunayi makna disebaliknya, iaitu wanita terpaksa meninggalkan solat dan puasa ketika haid dan nifas.
Dari sudut pandangan Islam, adalah disepakati oleh seluruh ulama bahawa dalam melaksanakan solat, wanita tidak boleh menjadi imam bagi lelaki. Ini telah diterima oleh wanita Islam kecuali dalam satu kes terpencil di mana Aminah Wadud mengetuai solat Jumaat di Amerika Syarikat.
Adapun hukum bagi seseorang wanita menjadi ketua negara, terdapat dua pendapat di kalangan ulama. Majoriti berpendapat bahawa wanita tidak boleh menjadi pemimpin negara berdasarkan satu ayat al-Quran: “Lelaki itu pemimpin bagi wanita” (al- Nisaa: 34).
Manakala pandangan minoriti percaya bahawa wanita boleh menjadi pemimpin sesebuah negara. Sebabnya ialah ayat ini tidak boleh difahami secara literal. Sebagai contoh Prof Haleem seorang pakar tafsir Quran menyatakan bahawa ayat di atas hanya bermaksud bahawa “suami perlu menjaga isteri-isteri mereka ….”
Mengikut Imam Hasan al-Banna, wanita tidak boleh menjawat jawatan dalam wilayah ‘ammah atau wazarah tafwid seperti pemimpin tentera, wilayah hisbah, wilayah kehakiman, wilayah haji, wilayah kharaj dan lain-lain bentuk umum.
Ini merujuk kepada dalil-dalil yang diambil dari al-Quran seperti “Kaum lelaki adalah pemimpin bagi kaum wanita oleh kerana Allah telah melebihkan sebahagian mereka (lelaki) ke atas sebahagian yang lain (wanita)” (al-Nisa 4:34) dan Hadis: “Tidak berjaya sesuatu kaum itu yang dipimpin oleh wanita”.
Dalam sejarah, Rasulullah SAW tidak pernah melantik kepimpinan umum dari kalangan wanita. Para sahabat juga tidak melantik ahli syura dari kalangan wanita.
Meskipun begitu, menurut Prof. Dr Yusof al-Qardhawi, harus wanita memegang semua jawatan termasuk perdana menteri.
Antara hujah-hujah beliau ialah:
1. Kepimpinan Ratu Balqis sebagai pemimpin wanita tertinggi negara yang berwibawa dan mampu membawa kaumnya kepada kebaikan dunia dan akhirat (al-Naml 27:33 dan 44).
2. Mempersoalkan Hadis di atas kerana ada pertikaian penerimaannya.
3. Mengambil kaedah fiqhiyyah “al-’Adah Muhakkamah” dan berdasarkan fiqh waqi’ di mana ramai wanita menyumbang kebaikan kepada negara, malah ada yang lebih berkelayakan.
4. Dalam sistem demokrasi, wanita yang memegang jawatan tertinggi tidak memimpin keseorangan. Kepimpinannya adalah secara kolektif.
Melihat kepada perkembangan terkini di negara Malaysia, buat julung-julung kali seorang wanita dilantik sebagai Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM). Tidak timbul persoalan jantina bagi memimpin sebuah institusi Islam yang besar dan penting, malah JAKIM menjadi sekretariat kepada Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) dan sebagai paltform penyeragaman bagi hal ehwal Islam termasuk perundangan Islam di negeri-negeri. Pelantikan Datuk Hakimah Mohd Yusoff adalah berdasarkan merit kecemerlangan dan kekananan perkhidmatan 30 tahun beliau berkhidmat di JAKIM.
Perlantikan ini selari dengan peruntukan di bawah Perkara 8(1) Perlembagaan Persekutuan yang memberi hak sama rata antara jantina kerana peruntukan ini melarang sama sekali diskriminsai atas agama agama, keturunan, tempat lahir dan jantina. Ia juga adalah selari dengan Konvensyen Bagi Menghapuskan Segala Bentuk Diskriminasi Ke atas Wanita (Convention on the Elimination of All Forms of Discrimination against Women – CEDAW) 1979 yang diterima pakai oleh Malaysia pada Jun 2005 walaupun ada beberapa reservasi. Jelas sekali di bawah Perkara 7 (b) CEDAW, ia memberi jaminan kesaksamaan antara jantina dalam memegang jawatan tinggi dalam penjawat awam.
Memandangkan wanita adalah majoriti dalam masyarakat di Malaysia, kehadiran mereka hendaklah bergerak pantas mengikut arus perdana. Terdapat lebih 70% pelajar di universiti dan lebih daripada 60 % pekerja wanita di negara ini. Tambahan pula, polisi kerajaan mahu melihat 30% wanita memegang jawatan pengurusan tertinggi dalam sektor swasta negara menjadi kenyataan dan ini hendaklah juga dizahirkan dalam sektor perkhidmatan awam termasuk di institusi Islam.