Kenyataan Timbalan Perdana Menteri tentang krisis moral dan gejala sosial yang melanda para remaja dan anak-anak muda kini adalah tepat pada waktunya.
Kenyataan itu yang menyarankan supaya “jangan salah menyalahkan antara satu dengan lain” atau “hanya mencari kesalahan orang lain” atau “tabiat menuding jari” kepada pihak lain dengan melupakan tanggungjawab dan kesalahan sendiri adalah merupakan satu panduan yang seharusnya diambil secara serius oleh semua pihak dalam menghadapi keadaan perkembangan gejala sosial yang menggawatkan ini.
Pada saya, banyak institusi yang seharusnya menyedari tanggungjawab masing-masing dan sewajarnya cuba menjalankan tanggungjawab itu dengan sebaik-baiknya. Menyalahkan anak muda semata-mata merupakan satu langkah melarikan diri dari tanggungjawab. Menyalahkan institusi keluarga sahaja, juga merupakan satu kepincangan dalam masyarakat.
Pihak yang menyalahkan institusi pendidikan dan sekolah juga sudah tentulah meletakkan tanggungjawab sepenuhnya kepada institusi tersebut tanpa bantuan dari institusi yang lain terutamanya institusi keluarga.
Menyalahkan media sahaja, juga merupakan kepincangan pembahagian tanggungjawab di antara institusi keluarga, institusi pendidikan dan sebagainya.
Pendeknya untuk mewujudkan agenda bersepadu bagi menangani dan mengatasi gejala sosial ini semua institusi yang berkenaan haruslah mempunyai visi dan wawasan bersama yang seharusnya dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab.
Satu perkara penting yang seharusnya dibincangkan bersama ialah persoalan mendidik masyarakat umumnya dengan nilai-nilai moral dan akhlak yang baik. Untuk menjalankan program pendidikan yang berkesan, maka masyarakat terlebih dahulu haruslah menjadi masyarakat yang berilmu pengetahuan.
Ibu bapa tidak akan dapat menjalankan peranannya secara berkesan sekiranya mereka tidak mempunyai pengetahuan yang mencukupi untuk menangani masalah anak-anaknya pada semua peringkat umur, terutamanya dari sudut kejiwaan dan kepekaan semasa.
Anak dibesarkan menjadi agresif dan kasar, sekiranya pendidikan ibu bapa berasaskan kekasaran dan agresif. Anak akan menjadi musuh ibu bapa, sekiranya ibu bapa memberi pendidikan kepada anak-anak dalam bentuk pemusuhan dan konfrantasi.
Demikianlah seterusnya, anak akan menjadi kawan yang akan membuka hatinya kepada ibu bapa, sekiranya dari kecil lagi ibu bapa membuka hatinya kepada anak-anak.
Saya teringat firman Allah yang menegaskan “Dan janganlah kamu memaki sembahan-sembahan yang mereka sembah selain Allah, kerana mereka nanti akan memaki Allah dengan melampaui batasan tanpa pengetahuan.” (6/108)
Ayat ini jelas memberi pengajaran tentang aksi dan reaksi yang merupakan satu ciri penting dalam tingkah laku manusia, termasuk dalam ilmu jiwa pendidikan.
Para remaja dan anak-anak muda mungkin mendapat pendidikan yang baik di rumah berkat kepekaan ibu bapa terhadap kaedah dan psikologi pendidikan, juga berbekalkan kemahiran keibu bapaan yang cukup.
Tetapi sebagai pohon yang baru tumbuh, maka anak-anak juga senang dihinggapi penyakit sosial akibat dari gigitan serangga-serangga yang berkeliaran dengan banyaknya pada zaman kini, sehingga dengan itu segala unsur-unsur positif pendidikan di rumah menjadi luntur dan akhirnya terhakis sama sekali.
Maka ketika inilah unsur “luaran” dari rumahtangga harus memainkan peranan dalam mendidik anak-anak didik yang kelihatan amat cenderung meniru model-model di luar rumah yang lebih menarik dan menawan.
Tidak syak lagi bahawa dalam keadaan ini institusi pendidikan formal dan tidak formal serta institusi sosial seharusnya dapat bertindak sebagai pembantu dan penyokong yang kuat terhadap institusi keluarga.
Role-model dan “idola” anak-anak remaja biasanya pada masa sekarang beralih dari ibu bapa kepada orang lain, iaitu mungkin guru, mungkin “orang-orang glamour” bintang filem, penyanyi, artis sama ada dari dalam atau luar negara.
Anak-anak muda yang kurang berpendidikan mungkin memuja “idola” dalam negara, dan anak-anak muda yang lebih berpendidikan, yang memahami bahasa Inggeris dengan baik, tentulah memuja “idola”nya dari Barat.
Apabila role-model ini terdiri dari kalangan yang tersebut, maka amat mudah mereka terpengaruh dengan segala tingkah laku, kisah-kisah di sekeliling dan segala gossip yang mereka dengar tentang idola mereka itu.
Kalau idola mereka terdiri dari guru-guru yang baik, maka besar kemungkinan mereka akan terpengaruh dengan sifat yang baik. Tetapi sekiranya idola mereka terdiri dari kalangan yang buruk, maka amat mudah juga mereka terikut-ikut dengan gejala buruk idola mereka itu.
Oleh itu saya sekali lagi ingin membangkitkan tentang perkara yang telah saya tuliskan di sini minggu lalu, bahawa media kita haruslah lebih bertanggungjawab dalam membentuk moral dan akhlak pembaca, terutamanya generasi muda. Keutamaan janganlah hanya diberikan kepada keuntungan kebendaaan dengan memaparkan seribu satu kisah buruk dan menyiarkan gambar-gambar yang menjolok mata tentang “idola” anak-anak muda, kerana hal itu akan mengorbankan nilai-nilai murni anak-anak muda itu sendiri, dan mengakibatkan kepincangan yang serius dalam pembangunan masyarakat bangsa kita.
Apa yang disebutkan di atas hanya merupakan secebis pandangan dan sebahagian kecil sahaja tentang isu dan agenda bagi menangani masalah gejala sosial sekarang.
Masih banyak isu lain yang harus dibicarakan dalam agenda ini, seperti peranan agama, pendidikan kerohanian, sosio-budaya, ekonomi dan sebagainya yang menjadi isu yang harus dianalisis dengan sebaik-baiknya dalam menangani hal ini.
Bagaimana pun, kenyataan Timbalan Perdana Menteri di atas sekali gus membuka mata masyarakat bahawa sama juga keadaannya seperti kemelut ekonomi yang melanda negara kita sekarang, maka kemelut sosial juga memerlukan kesepaduan tenaga dan daya juang masyarakat secara kolektif dan ijmak untuk berusaha bersama-sama bagi mengatasi masalah itu.
Dasar perjuangan yang digariskan oleh Allah SWT ternyata dari ayat berikut “Sesungguhnya Allah mencintai orang-orang yang berjuang pada jalanNya dalam satu barisan seolah-olah mereka itu seperti satu binaan yang kukuh.” (61/4)