Lebih kurang seminggu lagi, kita akan memasuki tahun baru – tahun 2003. Tahun 2002 yang penuh pengalaman suka duka ini akan pergi meninggalkan kita sama seperti tahun-tahun lain yang telah berlalu. Dalam menunggu kehadiran tahun baru ini, kita wajar memikirkan keadaan hidup kita pada masa ini, apakah sudah sempurna semuanya atau masih ada yang boleh diperbaiki?
Perginya tahun 2002 dan datangnya tahun 2003 menunjukkan telah berlalunya satu tempoh masa dalam hidup kita. Bagi umat Islam yang dididik untuk menghargai masa, sudah pasti kita perlu bermuhasabah atau memeriksa diri untuk melihat bagaimanakah masa setahun itu telah kita gunakan atau habiskan. Usaha memuhasabah diri ini pula perlu diikuti dengan keinginan dan harapan untuk memperbaiki lagi penggunaan masa itu agar ia benar-benar membawa kebaikan kepada diri kita.
Ini selari dengan konsep menilai masa dalam Islam. Menurut al-Qardhawi, dalam bukunya Nilai Masa Dalam Kehidupan Muslim, masa perlu dilihat dalam ketiga-tiga fasa iaitu masa lalu, masa kini dan masa hadapan. Kita perlu menoleh ke masa lalu supaya kita dapat mengambil iktibar dan teladan daripadanya.
Dalam kata-kata lain, masa lalu merupakan sarang segala kejadian dan gudang iktibar dan teladan. Segala kejadian ini bukanlah sia-sia. Malah, Allah mahu kita belajar daripadanya. Ini jelas dalam firman-Nya, dalam surah al-Haj, ayat 46, yang bermaksud:
Oleh itu, bukankah ada baiknya mereka mengembara di muka bumi supaya dengan melihat kesan-kesan yang tersebut – mereka menjadi orang-orang yang ada hati yang dengannya mereka dapat memahami atau ada telinga yang dengannya mereka dapat mendengar (tetapi kalaulah mereka mengembara pun tidak juga berguna) kerana keadaan yang sebenar bukanlah mata kepala yang buta, tetapi yang buta ialah mata hati yang ada di dalam dada.
Dalam konteks kehidupan kita, segala kejadian yang berlaku – baik yang kita lakukan, mahupun yang berlaku kepada kita – perlulah kita nilaikan dan jadikan pengajaran serta panduan untuk kehidupan kita seterusnya.
Melihat kepada masa kini amat penting untuk memastikan di mana kita berada sekarang. Apakah kita berada di suatu kedudukan yang baik atau sebaliknya? Atau apakah kita merasakan sudah boleh berada di suatu kedudukan yang lebih baik dari kini andai sahaja kita berusaha lebih sedikit? Atau, mungkin juga kita boleh berada di kedudukan yang jauh lebih baik andai sahaja kita sanggup berusaha lebih kuat lagi?
Merenung ke hadapan juga penting bagi kita. Menurut al-Qardhawi lagi, manusia mempunyai tabiat semula jadi yang tertarik kepada masa depan. Jika manusia diberi ingatan untuk mengikatnya dengan masa lalu, manusia juga dikurniakan khayalan yang menggambarkan masa depan dan kemungkinan yang berlaku.
Namun, walaupun dianugerahkan dengan khayalan-khayalan itu, manusia tetap tidak tahu apa yang akan berlaku kepadanya di masa hadapan seperti firman Allah yang bermaksud: Dan tiada seorang pun yang betul mengetahui apa yang akan diusahakannya esok (sama ada baik atau jahat.) (Luqman: 34).
Oleh kerana itu, kita perlu membuat persiapan untuk masa depan agar kita lebih bersedia dengan segala yang bakal mendatang. Inilah juga yang dituntut oleh Islam seperti yang termaktub dalam firman Allah yang bermaksud:
Wahai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah (dengan mengerjakan suruhannya dan meninggalkan larangannya) dan hendaklah tiap-tiap diri melihat dan memerhatikan apa yang ia telah sediakan (dari amal-amalnya) untuk hari esok (hari akhirat).
Kalau kita faham maksud amal yang sebenarnya, kita tahu bahawa amal bukan hanya merujuk kepada ibadat-ibadat wajib dan sunat sahaja. Sebaliknya, ia merangkumi banyak perbuatan-perbuatan baik lain yang kita usahakan untuk kehidupan ini. Misalnya, tidak membuang masa, mencari rezeki yang halal, berusaha untuk menjadi seorang ibu yang baik, berusaha untuk menjadi seorang bapa yang bertanggungjawab dan sebagainya.
Dalam konteks tahun baru ini, kita perlu memikirkan apakah persediaan-persediaan dan strategi-strategi yang boleh diambil untuk menjadikan tahun baru ini lebih baik dan bermakna untuk kita, keluarga kita dan orang-orang di sekeliling kita.
Muhasabah diri adalah satu perbuatan yang amat dituntut oleh Islam. Malah, dalam sepotong hadis, disebut bahawa orang yang berakal hendaklah membahagikan masanya kepada empat dan satu daripadanya ialah untuk memeriksa dirinya. Kita digalakkan untuk bermuhasabah diri pada setiap hari sebelum tidur.
Namun, jika kita tidak melakukannya setiap hari, kita digalakkan melakukannya seminggu sekali. Jika itupun tidak kita lakukan, maka lakukanlah sebulan sekali. Tetapi, jika itu juga tidak kita lakukan, ambillah kesempatan perubahan tahun ini untuk memeriksa diri – apa kebaikan yang telah kita lakukan dan apa pula keburukan yang telah kita akibatkan – dan berazamlah untuk membaiki keadaan.
Atau sekurang-kurangnya, kita cuba menilai diri dengan empat kriteria seperti yang termaktub dalam maksud hadis Rasulullah s.a.w. yang berikut:
Tidak akan berganjak kaki anak Adam di hari kiamat hingga dia disoal tentang empat perkara: tentang usianya pada apa dihabiskannya; Tentang masa mudanya apa yang telah diperjuangkannya; tentang hartanya dari mana datangnya dan ke mana telah dibelanjakannya dan tentang ilmunya apa yang telah dibuatnya.
Walau apa pun aspek hidup kita yang ingin kita tingkatkan kualitinya – penggunaan masa, hubungan keluarga, kerjaya, penggunaan wang, ibadat dan sebagainya – kita perlu melihat ke masa kini, di mana kedudukan kita; kita perlu menoleh ke belakang untuk menilai bagaimana perkara-perkara tersebut telah kita guna atau abaikan dan kita perlu merenung ke masa depan untuk memikirkan bagaimana kita mahu ia berlaku bila tiba masanya kelak.
Dengan melihat perbezaan ini – di mana kita berada dan ke mana kita hendak pergi – kita boleh memikirkan strategi-strategi yang sesuai yang dapat membantu kita menikmati kualiti hidup yang lebih baik di masa yang akan datang.