Dalam bahagian terakhir sebuah hadis berkaitan larangan bersikap sombong, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud “Sesungguhnya Allah itu Maha Indah dan Allah suka kepada keindahan.” (HR Muslim). Hadis ini secara umumnya memberitahu kita bahawa Allah suka kepada keindahan. Maka dengan itu, tidak hairanlah segala ciptaan-Nya juga indah.
Oleh sebab itu, alam sekeliling tempat manusia berteduh ini juga indah. Keindahan alam ini memberikan ketenangan dan kegembiraan. Lihat sahaja di sekeliling kita. Kehijauan hutan membawa ketenangan, warna-warni sang bunga membangkitkan rasa riang di hati, aliran air yang lemah gemalai mengasyikkan jiwa gelora dan sinar cahaya sang mentari membakar semangat untuk memulakan hari.
Alam yang indah ini merupakan satu anugerah kepada manusia. Oleh itu, alam sekitar perlu dijaga. Ini merupakan satu amanah dan tanggungjawab. Lumrah manusia, apabila menerima sesuatu anugerah, maka pasti kita mahu menjaganya sebaik mungkin. Contohnya, menerima piala kemenangan. Pasti, piala itu akan disimpan di tempat yang cantik. Malah, mungkin piala itu digilap setiap minggu. Dengan itu, alam juga wajar menerima layanan yang sama atau mungkin lebih baik kerana jika alam ini musnah, maka sukar kita mendapatkan gantinya.
Sebagai seorang Muslim, seharusnya kita bersyukur. Ini kerana, di dalam Islam, selain tuntutan untuk menjaga alam ini, di dalam agama suci ini terdapat banyak ajaran secara langsung mahupun tidak langsung berkaitan pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar.
Misalnya, tuntutan untuk menjaga kebersihan. Dalam hal ini, bersihnya jiwa-raga seorang Muslim seharusnya dipancarkan juga dengan kebersihan persekitaran hidupnya. Begitu juga dengan tuntutan untuk bersederhana. Dalam dunia yang memberi tumpuan melampau kepada penggunaan (consumption) yang akhirnya menghasilkan jutaan sisa, maka didikan untuk bersederhana mendidik kita mengguna pada tahap keperluan sahaja. Ini akan mengelakkan pembaziran. Dalam hal ini, mengelakkan pembaziran juga merupakan satu tuntutan Islam. Jika tuntutan-tuntutan ini dipatuhi dengan benar dan tekun, maka kemusnahan alam dapat diminimakan atau lebih baik lagi dapat dielakkan.
Namun, keindahan ajaran Islam ini selalunya tidak terpancar dalam bentuk amalan. Dalam dunia masa kini, permasalahan alam sekitar sering dikaitkan dengan Negara Islam atau negara dengan majoriti rakyatnya beragama Islam. Misalnya, Qatar adalah negara dengan pelepasan gas karbon dioksida per kapita tertinggi dunia. Seperti mana yang kita tahu, gas ini adalah penyumbang terbesar kepada masalah pemanasan bumi. Bagi Indonesia pula, antara tahun 1990 dan 2000 serta antara 2000 dan 2005, 1.9 juta hektar hutan musnah. Jumlah ini meletakkan Indonesia sebagai negara kedua selepas Brazil yang mencatatkan kehilangan kawasan hutan tertinggi tetapi pada kadar tiga kali lebih cepat daripada Brazil.
Di Malaysia juga masalah yang hampir sama berlaku. Selain masalah-masalah besar seperti penebangan hutan, pencemaran udara, banjir serta ancaman ke atas kepelbagaian bio (biodiversity), masalah alam sekitar secara kecil-kecilan juga tidak boleh dipandang remeh. Misalnya, masalah kebersihan di surau dan masjid (terutamanya di tandas), masalah pembaziran air ketika mengambil wuduk, pembaziran makanan di bulan Ramadhan dan bulan-bulan perayaan serta masalah pembuangan sampah merata-rata (contohnya, membuang sampah keluar daripada kenderaan).
Jika kita tidak mampu menyelesaikan masalah-masalah kecil ini, masakan boleh masalah-masalah alam sekitar yang besar boleh ditangani. Lebih sedih lagi, masalah-masalah ini merupakan gambaran kepada kefahaman umat Islam yang rendah terhadap peranan serta hubungannya dengan alam ciptaan Ilahi. Ini juga merupakan satu petanda pengabaian amanah yang Allah berikan kepada umat Islam.
Sewajarnya, cara berfikir umat Islam harus diubah. Alam sekitar bukan hak kita untuk digunakan sesuka hati.
Menjaga alam ini juga tidak harus dilihat sebagai satu bebanan. Amanah yang diberikan ini seharusnya dilihat sebagai satu peluang untuk membuat kebaikan dan kebajikan serta mendekatkan diri kepada Maha Pencipta.
Banyak perkara boleh dilakukan untuk memelihara dan memulihara alam sekitar. Mulakan dahulu dengan perkara-perkara yang dekat dengan hidup kita sebagai seorang Muslim. Sebagai contoh, jimatkan air ketika berwuduk. Air wuduk juga boleh dikumpulkan bagi tujuan menyiram pokok atau mencuci lantai. Selepas wuduk, pastikan paip air ditutup rapat. Jika ada kesempatan, ringankan tangan membantu membersihkan kawasan masjid atau surau. Beli apa yang kita perlukan sahaja dan jangan membazir.
Berkaitan dengan makanan, beli apa yang hendak dimakan sahaja dan jika terlebih, sedekahkan kepada orang lain. Makanan itu juga boleh diberikan kepada haiwan seperti kucing yang mungkin kebetulan lalu di hadapan rumah kita. Jika berjoging atau beriadah di taman pada hujung minggu, atau ketika dalam perjalanan ke masjid untuk bersolat jemaah, jangan segan mengutip sampah yang bersepah dan buangkan ke dalam tong sampah. Akhir sekali, tutup suis lampu dan kipas selepas bersolat di surau atau masjid.
Apa yang pasti, dalam kegiatan seharian kita sebagai umat Islam, terdapat banyak peluang untuk kita menterjemahkan tanggungjawab dan amanah menjaga alam ini. Ternyata peluangnya terbentang luas dan tugasan itu juga amat mudah sebenarnya. Apa yang penting, kita haruslah bersedia membuka mata dan hati untuk melihat peluang tersebut. Tidak perlu menunggu orang lain melakukannya tetapi kitalah yang memulakannya dahulu. Jika usaha-usaha kecil ini dapat dijayakan dengan baik, maka usaha-usaha besar untuk menjaga alam ini mungkin juga boleh menjadi kenyataan.