Peranan Ilmu dan Taqwa di Abad ke-21
Abad ke-21 bakal menyaksikan dunia penuh cabaran. Ini ada kaitannya dengan pergerakan ekonomi dunia menuju globalisasi serta kehadiran kemajuan teknologi maklumat. Globalisasi menekankan kepada konsep perdagangan yang melangkaui batasan sempadan geografi sesebuah negara. Ini bermakna, firma-firma asing bebas untuk melabur dan menjalankan kegiatan perniagaan di negara ini. Begitu juga dengan firma-firma dari Malaysia. Mereka boleh melabur dan menjalankan perniagaan di negara lain. Fenomena ini sudah pun berlaku dengan firma-firma tempatan mula menerokai pasaran negara membangun yang lain seperti di Afrika. Dalam menghadapi cabaran ini, rakyat Malaysia mestilah melengkapkan diri, terutama sekali di bidang teknologi maklumat, agar mampu bersaing di pasaran buruh tempatan atau antarabangsa.
Ini memerlukan setiap rakyat Malaysia untuk terus berusaha meningkatkan tahap ilmu yang dimilikki. Sebagai seorang manusia kita sentiasa dibayangi dengan sifat serba kekurangan. Ini termasuk penguasaan ilmu. Hanya Allah s.w.t. sahaja yang serba mengetahui sebagai mana firmanNya, “Sesungguhnya Allah mengetahui setiap sesuatu.” (al-Ankabut: 62). Oleh itu, proses peguasaan ilmu tidak ada penghujungnya bagi seorang manusia. Rasulullah s.a.w. pernah bersabda, “Dua perkara yang tidak memuaskan iaitu menuntut ilmu dan menuntut dunia.” (Hadith riwayat Ibnu ‘Addi). Rasulullah s.a.w. juga ada bersabda tentang perihal pentingnya ilmu kepada manusia, “Sesiapa yang menghendaki dunia, hendaklan berilmu. Sesiapa yang menghendaki akhirat, hendaklah berilmu dan sesiapa yang menghendaki kedua-duanya, hendaklah berilmu.” Sesungguhnya orang-orang yang berilmu mempunyai kedudukan yang tinggi sebagai mana firman Allah s.a.w., “Allah meninggikan darjat orang-orang yang beriman di antara kamu, dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan agama (dari kalangan kamu) – beberapa darjat.” (al-Mujadalah:11). Perlu difahami bahawa ilmu agama dalam Islam merangkumi semua ilmu yang membawa kepada kebaikan dan tidak semestinya terhad kepada bidang yang berkaitan dengan keagamaan sahaja. Bagi orang-orang yang tidak mahu belajar, Allah s.w.t. menunjukkan kemurkaanNya melalui ayat berikut, “Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk neraka jahanam banyak dari jin dan manusia yang mempunyai hati (tetapi) tidak mahu memahami dengannya (ayat-ayat Allah), dan yang mempunyai mata (tetapi) tidak mahu melihat dengannya (bukti keesaan Allah) dan mempunyai telinga (tetapi) tidak mahu mendengar dengannya (ajaran dan nasihat); mereka itu seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi; mereka itulah orang-orang yang lalai.” (al-“A’raf:179).
Perkembangan teknologi maklumat bakal menyaksikan perubahan di dalam budaya serta kaedah bekerja di abad ini. Dijangkakan akan lebih banyak peluang pekerjaan yang beroperasi dari rumah. Fenomena ini akan menjadi realiti kerana didorong oleh beberapa perkara. Pertama, kemudahan sistem perkomputeran canggih membawa ke arah kerja “kurang kertas” (paperless). Ini disebabkan kerana kebanyakan borang yang sebelumnya dicetak di atas kertas, sekarang boleh diisi di papan layar komputer sahaja dan ini mengurangkan keperluan kerja meja (desk jobs). Kedua, kadar sewa ruang pejabat akan menjadi bertambah mahal dari masa ke semasa. Oleh itu, kadar sewa ruang pejabat bakal menyumbang sejumlah besar kos operasi sesebuah firma. Dengan membenarkan pekerja beroperasi dari rumah (bagi jenis pekerjaan tertentu) akan mengurangkan kos tetap yang terpaksa ditanggung oleh firma berkenaan. Ketiga, peningkatan kos dan persaingan. Selari dengan peningkatan taraf hidup rakyat negara ini, kos pengeluaran atau perkhidmatan akan menjadi lebih tinggi yang berpunca daripada peningkatan kos buruh. Ini seterusnya akan mengurangkan tahap keuntungan. Peluang untuk menaikkan harga jualan juga terbatas kerana syarikat terpaksa menghadapi persaingan yang sengit. Meningkatkan keupayaan teknologi di samping membenarkan pekerja beroperasi dari rumah dijangka boleh mengurangkan kos operasi syarikat. Keempat, faktor sosial dan kekeluargaan ekoran daripada kecenderungan yang meningkat untuk membesarkan sendiri keluarga masing-masing. Ia berpunca daripada dua faktor utama. Pertama, masalah mendapatkan pembantu rumah yang sesuai. Rata-rata pembantu rumah diimpot dari negara asing dan upahnya semakin tinggi. Kedua, sesuai dengan peningkatan terhadap penghayatan Islam, lebih ramai ibu yang bekerja hari ini mahu melakukan sendiri penjagaan anak untuk beberapa tahun sehingga mereka melangkah ke alam persekolahan. Ini memberi mereka lebih banyak peluang untuk menyusukan anak sendiri di samping memberi asuhan keagamaan mulai di peringkat awal lagi. Ini akan menyebabkan negara kehilangan ramai tenaga pekerja wanita yang sebahagiannya adalah tenaga profesional. Mereka boleh menjadi tenaga pekerja yang produktif jika dibenarkan bekerja dari rumah, seterusnya turut menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara. Dalam hal ini, kemajuan teknologi maklumat boleh memainkan peranan.
Oleh itu, walau apa pun yang dilakukan, kita mesti mengambil daya usaha untuk mendalami ilmu teknologi maklumat dan komunikasi. Ini akan meningkatkan daya saing diri di dalam pasaran buruh di abad ke 21 ini. Kita juga harus mengakui bahawa majikan masa kini mempunyai pilihan yang luas ekoran lambakan graduan yang membanjiri pasaran buruh. Calon yang mempunyai kelebihan akan lebih mudah mendapatkan pekerjaan. Jika tidak anda bakal menjadi tambahan kepada statistik graduan menganggur. Kelebihan orang berilmu memang nyata sebagaimana firman Allah s.w.t., “Katakanlah lagi (kepadanya);”Adakah sama orang-orang yang mengetahui dengan orang-orang yang tidak mengetahui?” Sesungguhnya orang-orang yang dapat mengambil pelajaran dan peringatan hanyalah orang-orang yang berakal sempurna.” (az-Zumar:9).
Di dalam keghairahan kita mengejar kemajuan duniawi ini, kita juga mesti melengkapkan diri dengan ilmu keagamaan agar menjadi manusia yang jujur ketika menjalankan kehidupan. Penguasaan ilmu dunia tanpa diiringi oleh ilmu akirat adalah rendah nilainya sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w., “Sesungguhnya Allah membenci orang yang berhati kasar (kejam dan keras), sombong, angkuh, bersuara keras di pasar-pasar (tempat umum) pada malam hari serupa bangkai dan pada siang hari serupa kaldai, mengetahui urusan-urusan dunia tetapi jahil (bodoh dan tidak mengetahui) urusan akhirat.” (Hadith riwayat Ahmad). Ini ada kaitannya dengan fakta bahawa kemajuan teknologi sering diringi oleh potensi untuk berlakunya penyelewengan. Sebagai contoh, kes kecurian wang ATM melalui pengklonan kad ATM pelanggan. Ini merupakan salah satu bukti penggunaan ilmu ke jalan yang mungkar. Rasulullah sa.w. pernah bersabda, “Orang yang paling pedih seksaannya pada hari kiamat ialah seorang alim yang Allah menjadikan ilmunya tidak bermanfaat.” (Hadith riwayat al-Baihaqi). Mudah-mudahan dengan bimbingan agama yang mencukupi kita tidak termasuk ke dalam golongan tersebut. Insya Allah.