Pelantikan Y. Bhg. Dr. Mohd Zaidi Bin Ismail Sebagai Timbalan Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)
KUALA LUMPUR, 1 Okt (Bernama) — Adalah dimaklumkan bahawa Lembaga Pengarah IKIM telah bersetuju melantik Dr. Mohd Zaidi bin Ismail sebagai Timbalan Ketua Pengarah IKIM yang baharu berkuat kuasa pada 1 Oktober 2015.Beliau menggantikan Y. Bhg. Prof. Datin Dr. Azizan binti Baharuddin yang telah dilantik sebagai Ketua Pengarah IKIM yang baharu bermula pada 1 September 2015.Dr. Mohd Zaidi bin Ismail, 47, sebelum ini memegang jawatan sebagai Felow Utama merangkap Pengarah Pusat Kajian Sains dan Alam Sekitar IKIM.Beliau berkelulusan Ijazah Sarjana dalam Bidang Pemikiran Islam (Epistemologi dan Falsafah Minda) pada tahun 1995 dan ijazah Doktor Falsafah dalam Bidang Pemikiran Islam (Ontologi) pada tahun 2006, kedua-duanya daripada International Institute of Islamic Thought and Civilization (ISTAC), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM). Beliau menyertai IKIM pada April 2006 sebagai Felow Kanan.Antara penglibatan luar beliau adalah sebagai Ahli Majlis Bioetika Negara; ahli Jawatankuasa Induk Dakwah Negara; anggota Lembaga Penubuhan Pengajian Program Institut Sains Islam (ISI), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM); anggota Lembaga Akademik Centre for Advanced Studies on Islam, Science and Civilisation (CASIS) UTM – Himpunan Keilmuan Muslim (HAKIM) untuk Siri Penerbitan CASIS berkenaan Islam, Sains dan Tamadun; dan editor bersekutu Afkar: Jurnal Akidah & Pemikiran Islam, terbitan Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya.Karya-karya ilmiah beliau yang telah diterbitkan termasuk Islam & Higher-Order Thinking: An Overview, (selaku editor) Kreativiti dan Imaginasi dalam Psikologi Islami: Pengamatan al-Ghazzālī, al-Baghdādī dan al-Rāzī dan pengarang bersama Good Governance: Adab-Oriented Tadbīr in Islām. Dr. Mohd Zaidi juga sebagai Editor Pengurus TAFHIM: IKIM Journal of Islam and the Contemporary World.
SUMBER: INSTITUT KEFAHAMAN ISLAM MALAYSIA (IKIM)