Perlembagaan Dan Kepelbagaian
Ditulis oleh Prof. Madya Dr. Shamrahayu binti Ab. Aziz . Diterbitkan
Malaysia adalah sebuah negara model perpaduan yang berjaya menjaga hak masyarakat majmuknya secara seimbang. Keseimbangan itu dapat disaksikan dengan keberadaan secara bersama kaum-kaum yang menganut pelbagai agama dalam negara ini yang diikat dengan Perlembagaan.
Perlembagaan Persekutuan yang merupakan undang-undang tertinggi negara mengandungi pelbagai peruntukan yang membentuk teras dalam menangani kepelbagaian fabrik masyarakat Malaysia.
Saya cuba mengetengahkan peruntukan-peruntukan berkaitan untuk kita faham bagaimana Perlembagaan itu adalah satu dokumen yang dapat dimanfaatkan sepenuhnya untuk membentuk negara yang aman, makmur dan sejahtera. Pada minggu ini saya menumpukan kepada peruntukan berkaitan kebebasan agama.
Kepelbagaian di Malaysia merangkum banyak perkara, sama ada secara abstrak atau konkrit, dan ia berkisar sekitar kepelbagaian dari aspek agama, kaum dan budaya. Kepelbagaian dalam aspek-aspek ini diisi melalui pelbagai peruntukan Perlembagaan Persekutuan. Dengan kata lain, Perlembagaan tidak lupa tentang kepelbagaian yang melatari masyarakat Malaysia.
Dalam proses kemerdekaan dan proses menggubal Perlembagaan Perlembagaan telah terzahir kebimbangan dalam pelbagai keadaan dan tentang pelbagai perkara, terutamanya hal-hal berkaitan agama dan kepelbagaian keturunan dan kaum. Dalam usaha menjaga kepelbagaian tersebut, Perlembagaan telah menggaris beberapa dasar utama. Antaranya berkaitan agama.
Mengenai kebebasan menganut dan mengamal agama, Perlembagaan memperkenalkan formula “aman dan damai”.
Formula”aman dan damai” ini disebut dalam Perkara 3(1) yang juga menyatakan tentang kedudukan Islam sebagai agama bagi negara.
Formula ini tidak diberikan penjelasan secukupnya dalam dokumen-dokumen sejarah Perlembagaan. Wapaupun begitu, ia adalah jelas bahawa Islam adalah agama bagi negara, tetapi setiap anutan atau amalan agama lain hendaklah mnghormati agama Islam dan hendaklah sentiasa mementingkan keamanan dan keharmonian atau kedamaian dalam negara.
Antara kebimbangan yang dizahirkan semasa cadangan Parti Perikatan untuk memasukkan Islam sebagai agama bagi Persekutuan dalam Perlembagaan Persekutuan ialah tentang paksaan yang mungkin dikenakan oleh Islam ke atas penganut agama lain. Penzahiran kebimbangan ini telah diambil perhatian oleh Parti Perikatan dengan menyatakan jaminan tentang kebebasan beragama.
Oleh itu kebebasan beragama disebut dalam Perkara 3 yang menyatakan tentang bolehnya agama-agama lain diamalkan. Selain daripada Perkara3, kebebasan beragama juga dijamin oleh Perkara 11.
Sebenarnya penzahiran kepada kebimbangan itu telah dapat menyelesaikan polimik pada ketika itu walaupun apa ajaran agama Islam yang sebenar, masyarakat yang menganut agama lain tidak perlu bimbang kepada “paksaan” kerana agama Islam sendiri tidak membenarkan umatnya membuat paksaan bagi tujuan pemelukan kepada agama Islam. Ini jelas dalam ayat suci al-Quran dalam Surah al-Baqarah ayat 157.
Namun begitu, dengan adanya peruntukan dalam perkara 3(1) dan Perkara 11, penganut agama lain tidak lagi perlu gusar kepada “paksaan” ke atas mereka untuk menganut agama Islam. Hak kebebasan tersebut bukan sahaja dalam ajaran agama Islam, tetapi telah dimaktub dan seterusnya dijamin dalam Perlembagaan Persekutuan.
Perkara 11
Perkara 11 menjamin kebebasan bagi setiap orang untuk menganut serta mengamal agamanya. Tetapi, bagi tujuan menjaga keadaan harmoni Perkara 11(4) Perlembagaan Persekutuan memberi punca kuasa kepada Dewan Undangan Negeri, bagi negeri-negeri dan Parlimen, bagi Wilayah-Wilayah Persekutuan, untuk menggubal undang-undang bagi menyekat atau mengawal pengembangan agama dan doktrin dalam kalangan orang Islam.
Dalam sejarah penggubalan Perlembagaan, tujuan kemasukan peruntukan ini ke dalam Perlembagaan Persekutuan telah disebut dalam Memorandum Raja-Raja Melayu kepada Suruhanjaya Reid. Pertamanya untuk menjaga akidah orang-orang Melayu yang beragama Islam.
Namun begitu, walaupun Perlembagaan tidak meletakkan peruntukan yang sebaliknya, iaitu orang Islam tidak dilarang daripada mengembangkan agamanya dalam kalangan orang yang menganut agama lain, ini tidak bermakna orang Islam itu bebas untuk mengembangkan agamanya dalam kalangan penganut agama lain. Ajaran gama Islam yang sebenar tidak membenarkan Islam disebarkan dalam kalangan orang bukan Islam.
Berkaitan dengan itu, Perlembagaan memberikan kebebasan beragama kepada semua orang walaupun Islam adalah agama bagi negara. Jaminan kepada kebebasan beragama ini dinyatakan dalam Perkara 11 itu menyatakan tentang kebebasan beragama yang merangkum kebebasan untuk menganut dan kebebasan untuk mengamal agama masing-masing. Inilah juga sebenarnya ajaran Islam sebenar.