Erti Kebebasan Kewangan
Pengurusan kewangan peribadi banyak memperkatakan tentang “Kebebasan Kewangan” atau “Financial Freedom”. Ungkapan ini sering diperkatakan oleh penasihat kewangan profesional. Apakah ertinya mencapai “Kebebasan Kewangan?”
Menurut pakar kewangan peribadi, kebebasan kewangan konvensional mempunyai maksud berbeza bagi individu yang berbeza. Ada yang menganggap kebebasan kewangan bererti 100% bebas hutang. Ada pula berpendapat kebebasan kewangan bererti banyak wang simpanan dalam bank. Beberapa erti kebebasan kewangan popular ialah menjadi jutawan, berupaya membeli apa sahaja dihajati, tiada tunggakan bil utiliti, gaji besar, tidak perlu bekerja, kaya raya, tidak bergantung keperluan kewangan dengan orang lain, dan kedudukan kewangan bukan sekadar cukup, malah berlebih-lebihan.
Definisi kebebasan kewangan menurut Robert Kiyosaki, tokoh kewangan peribadi tersohor dunia ketika ini, ialah apabila pendapatan pasif seseorang itu melebihi perbelanjaan aktifnya. Pendapatan aktif bermaksud pendapatan melalui penglibatan aktif, contohnya melalui pekerjaan dengan pelbagai imbuhan dalam bentuk upah, gaji, elaun atau bonus, atau pun melalui perniagaan dengan imbuhan dalam bentuk keuntungan. Pendapatan pasif pula bermaksud pendapatan melalui pelaburan tidak terlibat secara aktif. Contohnya pendapatan dividen saham atau pendapatan harta sewaan atau keuntungan daripada simpanan tetap di bank (akaun pelaburan di bank Islam).
Satu lagi pandangan tentang kebebasan kewangan oleh Zig Ziglar agak menarik untuk kita renungkan: “Anda akan mempunyai segala-galanya dalam hidup anda sekiranya anda boleh membantu orang lain untuk mendapatkan apa yang mereka kehendaki dalam hidup mereka.”
Sememangnya, Islam mempunyai pandangan holistik berkaitan kepentingan mencapai kebebasan kewangan. Pandangan Islam bukan sahaja dari sudut materialistik, malahan menekankan kebebasan kewangan dalam hubungan dengan Allah SWT, dan sesama manusia bagi mencapai kejayaan di akhirat.
Anjuran Islam untuk mencapai kebebasan kewangan jelas melalui firman Allah SWT: “Dan segeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan dari Tuhanmu, dan (mendapat) Syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang bertaqwa. Iaitu orang-orang yang mendermakan hartanya pada masa senang dan susah, dan orang-orang yang menahan kemarahannya, dan orang-orang yang memaafkan kesalahan orang lain. Dan (ingatlah), Allah mengasihi orang-orang yang berbuat perkara-perkara yang baik.” (Ali’Imraan : 133 – 134)
Dalam ayat ini Allah SWT menyeru hamba-Nya agar mendermakan harta, baik semasa susah atau senang. Maksudnya, kita bebas menggunakan harta tanpa sekatan atau tuntutan pihak lain, demi mencari keredaan Allah SWT.
Hadis Rasulullah SAW yang berikut menggambarkan betapa kebebasan kewangan dituntut oleh Islam agar kita bebas dari melakukan kemungkaran, umpamaya berdusta. Dari Aisyah RA, Nabi SAW berdoa, “Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung dengan Mu dari azab kubur. Dan aku berlindung denganMu dari fitnah Al-Masih Dajjal. Dan aku berlindung dengan-Mu dari fitnah kehidupan dan kematian. Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung denganMu dari perbuatan dosa dan hutang tertunggak”. Sahabat bertanya, “Mengapakah baginda seruing memohon perlindungan dari hutang, wahai Rasulullah”. Rasulullah SAW. bersabda, “Sesungguhnya seorang lelaki apabila dia berhutang, dia bercerita lalu dia berdusta, dan dia berjanji lalu dia memungkirinya”. (hadis riwayat Bukhari, Muslim, Abu Daud, An-Nasa’i, Al-Baihaqi, Ahmad)