Persidangan Meja Bulat “Matawang Kripto dan Sistem Kewangan Digital”
Persidangan meja bulat yang diadakan pada 28 Februari ini diadakan bagi melihat isu kontemporari berkaitan mata wang kripto (cryptocurrency) dalam sistem kewangan yang berbentuk maya, digital dan atas talian. Ia juga cuba menghimpunkan pakar-pakar berkaitan bagi membincangkan secara mendalam dan saksama seterusnya mengusulkan satu pendirian yang selari dan harmoni demi kemaslahatan bersama. Objektif persidangan ini iaitu untuk untuk memperhalusi konsep mata wang kripto dan sistem transaksi kewangan digital; menilai sudut kepatuhan dan tadbir urus syariah dalam mata wang kripto & kewangan digital; serta menggariskan panduan syariah dalam mengawal selia mata wang kripto, transaksi dan urusniaga berkaitan industri berasaskan tekno-wang.
Datuk Dr. Syed Othman Al-Habshi, Ahli Lembaga Pengarah IKIM telah merasmikan persidangan ini manakala Datuk Dr. Mohd. Daud Bakar, Pengasas/Pengerusi Amanie Group telah menyampaikan ucaptama yang bertajuk “Sistem Kewangan Digital: Cabaran dan Hala Tuju”. Para peserta persidangan terdiri daripada pemain industri perbankan dan kewangan, para cendekiawan, penasihat syariah, ahli akademik, pengamal undangundang, pegawai-pegawai majlis agama dan jabatan berkaitan kefatwaan serta para pemain industri serta orang perseorangan yang berminat.