Ketiadaan Sekuriti Makanan Ganggu Kesejahteraan Mental Remaja
Sekuriti makanan kini menjadi isu kritikal yang bukan lagi bersifat lokal tetapi impaknya mencetuskan kebimbangan secara global. Rantai makanan yang bermula dari ladang sehingga ke meja makan telah mewujudkan interaksi yang agak kompleks sama ada di peringkat individu, isi rumah, masyarakat dan negara secara umumnya. Keadaan ini akan menimbulkan kesan dampak bersifat multidimensi yang melibatkan golongan yang berisiko khususnya kanak-kanak, remaja, wanita dan orang tua.
Remaja adalah tempoh perkembangan kritikal yang dicirikan dengan perubahan fizikal, kognitif dan emosi yang pesat. Ketiadaan sekuriti makanan pada masa ini boleh mengganggu perkembangan normal dan mengakibatkan gangguan kesihatan mental yang berpanjangan. Pemakanan amat penting untuk memenuhi keperluan nutrien dan tenaga bagi tujuan tumbesaran dan fungsi tubuh badan remaja dan kanak-kanak yang sedang membesar. Oleh itu, sekuriti makanan merupakan jaminan untuk mengekalkan kehidupan yang aktif dan sihat terutamanya dalam fasa-fasa kritikal tumbesaran golongan tersebut. Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS 2022) menunjukkan kelompok remaja berumur 13 sehingga 17 tahun mengalami beban berganda dalam masalah malnutrisi. Mereka mengalami ketidakseimbangan pengambilan zat makanan (masalah kekurangan zat makanan dan obesiti) akibat isu ketiadaan sekuriti makanan.
Bebas daripada kelaparan dan kekurangan zat makanan (malnutrisi) merupakan hak asasi setiap manusia. Mungkin ramai yang tidak menyedari bahawa terdapat isi rumah di Malaysia yang terpaksa mengharungi situasi ketiadaan sekuriti makanan. Keadaan ini sudah cukup untuk menjerat kehidupan kelompok remaja terutamanya masyarakat miskin bandar dan luar bandar yang berpendapatan rendah kerana kesannya yang mendalam dari sudut kesihatan fizikal dan mental. Ketiadaan sekuriti makanan dikaitkan dengan kualiti diet yang buruk, kualiti hidup yang lebih rendah, dan kadar isu kesihatan mental yang lebih tinggi seperti kemurungan dan tingkah laku cubaan membunuh diri dalam kumpulan umur ini. Menurut Adolescent Nutrition Survey (ANS) 2017, sebanyak 5.7% remaja di Kuala Lumpur yang mengalami kelaparan dan angka ini lebih tinggi berbanding kadar kelaparan di seluruh negeri di Malaysia iaitu 3.9%. Ini menunjukkan remaja bandar atau pinggir bandar lebih berisiko mengalami masalah ketiadaan sekuriti makanan seterusnya mengganggu gugat kesejahteraan mental.
Remaja yang mengalami isu ketiadaan sekuriti makanan mempunyai kadar gangguan mental yang lebih tinggi, termasuk perubahan emosi, kemurungan dan penyalahgunaan bahan terlarang berbanding remaja yang berada dalam status sekuriti makanan yang terjamin. Hal ini dikaitkan juga dengan faktor sosioekonomi yang lain. Tidak dapat dinafikan, keadaan ketidaktentuan bekalan makanan isi rumah yang berpunca daripada masalah kewangan keluarga boleh menyebabkan tekanan perasaan. Anak-anak remaja sedang dalam fasa tumbesaran namun tidak cukup makan. Mereka yang berada dalam kelaparan juga akan menyedari tentang situasi bekalan makanan di rumah tidak mencukupi dan stabil dalam keluarga. Kegusaran ini boleh menjejaskan kesejahteraan mental golongan tersebut yang menimbulkan gejala kemurungan.
Kajian juga membuktikan ketiadaan sekuriti makanan adalah penyebab kepada ketidakcukupan zat pemakanan seterusnya mengakibatkan masalah tingkah laku disebabkan kekurangan pengambilan mikronutrien. Status kesihatan mental yang baik seperti tidak berada dalam keadaan tertekan atau kemurungan memerlukan pengambilan mikronutrien yang mencukupi seperti zat besi, zink, vitamin A, B dan C serta antioksidan.
Sesebuah keluarga yang menghadapi ketiadaan sekuriti makanan sering bergantung kepada makanan yang murah, menjimatkan dan tidak sihat, asalkan dapat mengenyangkan perut dan meredakan kelaparan yang dialami. Kadang-kadang mereka terpaksa menyesuaikan pengambilan makanan dengan mengurangkan saiz hidangan, melangkau waktu makan, atau dengan berlapar. Tiada pilihan lain selain memilih makanan hanya untuk mengekang lapar dan bukan lagi untuk sihat. Bukankah ini meresahkan dan mendatangkan kerisauan bagi kelompok yang berisiko tersebut? Kajian menunjukkan bahawa ketidakcukupan bekalan makanan mempunyai kesan yang sangat buruk terhadap kesihatan mental remaja disebabkan oleh ketidakupayaan di peringkat usia tersebut.
Dalam Islam, keadaan kelaparan dan ketidakamanan (rasa takut dan gelisah) ini merupakan satu ujian daripada pelbagai ujian Allah kepada hamba-Nya. Hal ini telah dirakamkan dalam al-Quran (surah al-Baqarah 2:15) yang bermaksud:
Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar:
Ibn ‘Abbas mentafsirkan bahawa ketakutan sebagai gerun terhadap ancaman musuh dan kelaparan bermaksud kemarau yang menghalang penghasilan makanan. Ketakutan juga ditakrifkan sebagai kesusahan yang melanda jiwa oleh sebab sesuatu yang tidak menyenangkan dan mengganggu jiwa. Manakala kelaparan berlawanan dengan rasa kenyang, dan yang dimaksudkan dengannya ialah kemarau yang menyebabkan ketidakupayaan untuk mendapatkan bekalan makanan dan keperluan mendesak.
Tidak dapat dinafikan bahawa ketiadaan sekuriti makanan dikaitkan dengan fungsi sosial dan psikologi yang lemah kerana individu daripada isi rumah tersebut terdedah kepada perasaan cemas, tidak berdaya, dan hilang kawalan selain akan mengalami gangguan psikologi. Selain itu, ia juga dikaitkan dengan fungsi kognitif dan keupayaan akademik yang lemah di sekolah. Justeru, langkah memperkasakan sekuriti makanan di peringkat keluarga dan menyediakan sokongan kesihatan mental adalah penting untuk remaja dalam isi rumah yang mengalami ketidaktentuan dan ancaman sekuriti makanan. Menangani isu sekuriti makanan pada peringkat awal boleh membantu mencegah timbulnya gangguan mental khususnya semasa tempoh kritikal ini.
Isu ketiadaan sekuriti makanan yang berlaku sejak dari fasa kanak-kanak berkemungkinan akan berterusan dan mendatangkan masalah yang lebih kompleks semasa remaja. Justeru, selain bantuan untuk menjamin bekalan makanan, golongan berisiko ini perlu dibantu dengan perkhidmatan psikososial yang lebih meluas dengan menyasarkan persekitaran keluarga dan sosial bagi memenuhi keperluan akademik dan potensi sosial mereka.
Situasi ini harus diwaspadai oleh semua pihak bagi merancang intervensi dan pendekatan pelbagai aspek untuk menangani isu kesihatan mental dalam kalangan remaja yang menghadapi isu sekuriti makanan di Malaysia. Langkah proaktif penting dengan menggabungkan bantuan segera dan strategi jangka panjang yang bertujuan untuk meningkatkan sekuriti makanan isi rumah dan memberi impak kepada kesihatan dan kesejahteraan kehidupan golongan terkesan.