Menjaga Keamanan Peranan Besar Angkatan Bersenjata Negara Islam
Sebagaimana diriwayatkan dalam Sirah Rasulillah oleh Ibn Hisham, Nabi Muhammad s.a.w. semasa mudanya pernah mengambil bahagian dalam perjanjian Hilf al-Fudul–sebuah perjanjian murni yang bersungguh-sungguh untuk memerangi segala bentuk penindasan dan membela golongan yang tertindas.
Dalam riwayat lain, Rasulullah s.a.w. bersabda, “Buatlah perjanjian untuk mengembalikan hak kepada pemiliknya sehingga tidak ada penindas yang mempunyai kekuatan atas orang yang dizalimi” (Al-Sunan al-Kubra, hadith no. 10380).
Tentera Islam telah memainkan peranan penting dalam menjaga keamanan dan mengekalkan ketenteraman sepanjang zaman. Semasa fasa awal perluasan pengaruh Islam di abad ke-7 dan ke-8 terutamanya bawah Khilafah Rashidin (632–661), angkatan bersenjata membawa kestabilan di wilayah yang baru ditakluki.
Mereka berusaha memenangi hati dan fikiran justeru dapat mengekalkan keamanan dan kestabilan selain menarik minat rakyat jajahan takluk untuk memeluk Islam, berbeza dengan Rom dan Parsi sebelumnya yang hanya berminat menumpahkan darah, memperhambakan orang, dan menjarah hasil mahsul sesebuah wilayah.
Penaklukan bersejarah di Syria, Palestin, Iraq, Mesir, Iran, dan Granada banyak melibatkan perjanjian yang dimeterai dengan penguasa tempatan–raja-raja Parsi dan para bangsawan Visigoth–yang memberikan mereka hak mentadbir sendiri sebagai balasan untuk pengiktirafan dan penghormatan. Dengan itu, orang Islam dapat menubuhkan sistem pentadbiran yang menegakkan keadilan dan mewujudkan ketenteraman, yang kadangkala lebih menguntungkan daripada rejim sebelumnya.
Empayar Uthmaniyyah (1299–1922) ialah satu lagi contoh di mana tentera Islam memainkan peranan penting dalam mengekalkan keamanan merentasi empayar yang luas dan pelbagai. Uthmaniyyah melaksanakan sistem yang dipanggil millet yang membenarkan pelbagai komuniti agama untuk mentadbir di bawah undang-undang mereka sendiri sambil mengekalkan kesetiaan kepada empayar.
Di zaman moden, negara-negara majoriti Islam seperti Pakistan, Bangladesh, Indonesia, dan Turki telah memberikan sumbangan besar dalam mengekalkan keamanan dan keselamatan di zon konflik melalui misi pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di seluruh dunia termasuk di Lubnan, Congo, Kosovo, dan wilayah lain.
Pasukan-pasukan pengaman berperanan penting dalam mengekalkan kestabilan global di samping menyampaikan bantuan kemanusiaan dan kebendaan bagi membina semula di kawasan pasca konflik. Sumbangan ini menyerlahkan kesungguhan negara Islam terhadap keamanan dan keselamatan sedunia melalui penyertaan yang begitu giat dalam misi pengaman PBB.
Kesemua ini menggambarkan peranan penting tentera Islam dalam mewujudkan dan mengekalkan keamanan sepanjang zaman dan di wilayah yang berbeza.
Malaysia tidak ketinggalan turut giat terlibat dalam pelbagai misi pengaman sejak 1960 lagi. Pada 2019, Malaysia menerima ucapan khas terima kasih daripada PBB atas khidmat dan pengorbanan pasukan pengamannya.
Kesungguhan negara melaksanakan misi pengaman terserlah dengan lebih 40,000 orang pengaman dikerahkan dalam lebih daripada 38 misi di seluruh dunia, antaranya di Congo, Bosnia Herzegovina, Somalia, Timor Timur, Lubnan, Afghanistan, Mindanao, dan Sudan.
Penyertaan Malaysia dalam misi pengaman membawa beberapa faedah kepada negara. Antaranya termasuklah meningkatkan kedudukan sesebuah negara dan mempamerkan kesungguhannya terhadap keamanan dan keselamatan antarabangsa; memberikan pengalaman sebenar yang berharga untuk anggota tentera dengan itu membantu mereka mengembangkan kemahiran dalam penyelesaian konflik, bantuan kemanusiaan dan kerjasama dengan pasukan antarabangsa; dan meningkatkan pengaruh negara dalam organisasi antarabangsa seperti PBB justeru membolehkan negara itu memainkan peranan yang lebih penting dalam penentuan hala tuju hubungan antarabangsa.
Dengan mengambil bahagian dalam misi pengaman, negara menyumbang kepada kestabilan dunia dan usaha kemanusiaan oleh itu membantu melindungi orang awam dan menyokong pemulihan pasca konflik. Sumbangan pengaman membantu mengekalkan kestabilan dan keselamatan, yang bermanfaat untuk keselamatan negara-negara yang mengambil bahagian.
Misi pengaman sering melibatkan latihan dan kerjasama dengan negara lain, yang membawa kepada bertukar-kongsi amalan terbaik dan peningkatan dalam keupayaan ketenteraan dan awam. Misi sedemikian bukan sahaja membantu mengekalkan keamanan sedunia tetapi juga membawa manfaat besar kepada negara-negara yang mengambil bahagian.
Kini terdapat keperluan yang amat mendesak untuk mewujudkan suatu perikatan sedunia yang merangkumi semangat keberanian Hilf al-Fudul. Perjanjian yang seumpamanya boleh menangani keperluan segera rakyat Palestin di Gaza yang sedang diasak dengan begitu dahsyat oleh tentera rejim Zionis Israel.
Selain itu, ia juga boleh mewujudkan rangka kerja untuk menangani krisis masa depan yang mungkin timbul di mana-mana sahaja di dunia justeru mengembalikan peranan besar, kebolehpercayaan, dan kebertanggungjawaban angkatan bersenjata negara Islam seperti Malaysia dalam menjaga keamanan.