Kuala Lumpur 1 Julai – Dato’ Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak menggesa setiap organisasi memberikan keutamaan kepada prestasi berasaskan nilai yang dilihat mampu memaksimumkan pendapatan masing – masing.
Menurut Timbalan Perdana Menteri, dengan berpegang kepada konsep mengutamakan nilai, setiap organisasi mampu mengatasi masalah etika dan moral yang kurang diberi penekanan dalam urusan perniagaan konvensional.
Najib turut menggesa agar setiap organisasi memberi keutamaan kepada unsur berkaitan pengurusan, kebajikan pekerja, hubungan pelanggan dan kepentingan pemegang saham yang menjadi asas kepada prestasi menyeluruh sesebuah organisasi itu.
“Apabila setiap aspek dan prestasi organisasi terikat kepada nilai tertentu, isu-isu prinsip moral dapat diatasi dan dengan itu boleh menghalang merebaknya amalan rasuah.
“Apabila rasuah dapat dihapuskan, kerajaan boleh memberi tumpuan ke arah perkembangan ekonomi secara berterusan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian seminar antarabangsa mengenai Prestasi Menyeluruh Berasaskan Nilai anjuran Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) di sini.
Menurutnya, ekonomi boleh tumbuh dengan pantas sekiranya persekitaran perniagaan yang tenang dapat dipupuk di samping mengelak penyelewengan yang boleh menjejaskan pertumbuhannya.
Katanya, kerajaan juga telah lama memperkenalkan agenda nasional bagi menerap nilai-nilai dan etika mulia di kalangan anggota masyarakat.
Selain itu, kerajaan juga memberi tumpuan kepada usaha menggalakkan urus tadbir yang baik dalam perkhidmatan awam serta memperkenalkan Kod Tadbir Urus Korporat Malaysia bagi sektor swasta.
Beliau memberikan contoh pengenalan Program Latihan Khidmat Negara dan Pelan Integriti Nasional diperkenalkan kerajaan dalam usaha mengembangkan nilai-nilai positif sedemikian.
Beliau percaya dengan pelaksanaan amalan sedemikian, Malaysia mampu menjadi negara contoh di kalangan membangun serta masyarakat antarabangsa.