Semalam, 10 Mei 2022, dipaparkan satu berita bertajuk “Bukit Persekutuan mula kena gondol.” Tatkala membaca berita tersebut, sesiapa pun akan menghela nafas panjang. Bukan kerana rasa lega tetapi lelah melihat kegilaan manusia mengejar pembangunan fizikal sehingga sanggup mengorbankan “paru-paru dunia.” Hutan ialah “paru-paru dunia” dan ia penting demi kelangsungan hidup manusia. Penggondolan hutan jelas bertentangan dengan harapan yang dibawa bersama sambutan Hari Alam Sedunia 2022 iaitu “Invest in our Planet” iaitu tuntutan agar semua pihak membuat pelaburan ke arah mencapai perubahan positif terhadap alam sekitar melalui inovasi serta kerjasama semua pihak.
Perkataan “melabur” merupakan kata kunci penting dalam pelbagai usaha menangani isu-isu alam sekitar. Ini tidak semestinya melibatkan isu-isu baharu tetapi isu sedia ada yang masih belum nampak jalan penyelesaiannya. Isu-isu seperti pemanasan global, peningkatan sisa, pencemaran plastik, penebangan hutan dan berbagai lagi perlu ditangani segera. Menangani isu ini pastinya memerlukan pelbagai bentuk pelaburan sama ada pelaburan dalam bentuk wang ringgit mahupun pelaburan bukan kewangan (non-financial investment) seperti pendidikan kesedaran alam sekitar, pemindahan teknologi dan sebagainya.
Perbincangan berkaitan pelaburan untuk kesejahteraan alam sekitar menimbulkan persoalan tentang jumlah pelaburan yang perlu dilakukan. Gambaran jumlah pelaburan itu boleh dilihat melalui Laporan State of Finance for Nature yang diterbitkan oleh Program Alam Sekitar Bangsa-Bangsa Bersatu (UNEP) pada 2021. Laporan ini memberi gambaran jumlah pelaburan yang diperlukan untuk menangani masalah alam sekitar sedia ada mahupun masalah baharu pada masa hadapan. Pelaburan yang dimaksudkan di sini ialah pelaburan ke atas usaha-usaha menangani masalah alam sekitar berasaskan alam semula jadi atau “nature-based solution.”
Berdasarkan laporan tersebut, pelaburan yang tinggi diperlukan untuk “menutup jurang pembiayaan kewangan (bagi masalah) iklim dan biodiversiti, dan bagi menangani keperluan untuk mempercepat pemulihan (sumber) tanah di seluruh planet (bumi).” Dalam hal ini, pelaburan semasa perlu meningkat tiga kali ganda menjelang 2030. Laporan ini juga telah memperincikan bahawa bagi menangani tiga krisis alam yang utama iaitu iklim, kemerosotan biodiversiti dan mutu sumber tanah, pelaburan sebanyak USD8.1 trillion diperlukan menjelang 2050. Ini bermakna pelaburan tahunan yang diperlukan ialah sebanyak USD536 bilion. Walaupun jumlah ini bersifat anggaran (hipotesis), namun cukup untuk menggambarkan betapa besar pelaburan yang diperlukan untuk menangani masalah alam sekitar yang telah terjejas.
Apa yang ditunjukkan ini membuktikan bahawa dalam banyak keadaan membaiki semula sesuatu yang telah rosak bukanlah sesuatu yang murah dan mudah. Apatah lagi dalam konteks pemuliharaan alam sekitar. Sumber alam yang telah terjejas kualiti dan kuantitinya sukar dipulihkan kembali. Alam ini merupakan ciptaan Allah SWT dan jika ia terjejas, maka apakah mungkin manusia mengembalikan semula ia dalam keadaan fitrah ciptaannya? Misalnya hutan. Dalam keadaan semasa, hutan primer iaitu hutan asli yang tidak disentuh oleh manusia sukar ditemui ketika ini. Apa yang ada hanyalah hutan sekunder, iaitu hutan janaan hutan primer. Komposisi hutan sekunder itu pula tidak mungkin sama dengan hutan primer.
Selain itu, pengajaran yang perlu diambil daripada keperluan pelaburan yang tinggi tadi ialah, perbuatan mencegah adalah lebih baik daripada mengubati. Dengan kata lain, mencegah kemusnahan alam adalah lebih berbaloi berbanding merawatnya. Selain kos mengubati yang tinggi, sumber alam yang rosak tidak mungkin kembali kepada keadaan asal kejadiannya kerana kualiti sumber itu telah terjejas atau kuantitinya merosot. Lebih malang lagi, terdapat banyak keadaan di mana berlaku kepupusan sumber alam dan sumber tersebut tidak mungkin dikembalikan semula.
Tindakan mencegah sebenarnya selari dengan tuntutan Islam. Kaedah pencegahan penting untuk memastikan manfaat dan menghalang kemudaratan kepada diri, masyarakat dan alam keseluruhannya. Ia menyeru semua pihak ke arah membenci kezaliman, permusuhan dan kerosakan serta akhirnya mencari keredaan Allah SWT. Ini kerana, Allah SWT menyukai orang-orang yang membuat kebaikan dan kasihan belas serta membenci orang-orang yang memberi mudarat kepada orang lain dengan zalim dan melampaui batas. Oleh itu, sebaiknya tumpuan diberikan kepada mencegah kerosakan alam sekitar berbanding “mengubati”nya.
Walau bagaimanapun, dalam konteks dunia pemuliharaan alam sekitar kini, tindakan pencegahan sering dipandang sepi. Menurut Mariarosaria Lombardi dan Marco Constantino dalam penulisan mereka yang bertajuk “A Hierarchical Pyramid for Food Waste Based on a Social Innovation Perspective,” tindakan pencegahan tidak popular dan kebanyakan kegiatan berkaitan pencegahan hanya melibatkan komunikasi atau penyampaian maklumat dan program peningkatan kesedaran masyarakat. Pandangan pengkaji ini ada kaitannya dengan piramid terbalik, hirarki pengurusan sisa (Inverted pyramid of Waste Management Hierarchy).
Hirarki tersebut menunjukkan keutamaan tindakan bagi mengurangkan sisa. Keutamaan tindakan itu bermula dengan usaha pencegahan dan seterusnya guna semula, kitar semula, pemulihan dan pelupusan. Dalam hal ini, pencegahan perlu diberikan tumpuan kerana ia lebih “murah” namun malangnya usaha yang “lebih murah” ini kurang diberi perhatian. Dalam banyak keadaan, tindakan pencegahan lebih mudah dilakukan dan lebih berkesan dalam menangani masalah alam sekitar. Sebaliknya, manusia dengan segala keinginan untuk memenuhi kehendaknya tidak melihat tindakan pencegahan penting malah mungkin tindakan tersebut akan menghalang mereka memenuhi kehendak peribadi yang tiada batas.
Oleh itu, apabila berbicara tentang pelaburan untuk menguruskan alam ini, pelaburan yang paling utama ialah pelaburan untuk mengubah sikap manusia. Dalam hal ini, keutamaan diberikan untuk mencegah berbanding mengubati. Dengan kata lain, hiduplah secara sederhana dan utamakan keperluan berbanding kehendak. Selagi perkara ini gagal diusahakan, maka jutaan wang ringgit yang dilaburkan untuk mengurus alam ini tidak akan pernah cukup malah hanya dibazirkan ke atas usaha-usaha yang sia-sia.