Dalam karya besarnya, Al-Madinah al-Fadilah, yang merupakan sumbangan amat bernilai dalam bidang siasah, al-Farabi (m.d. 339H./950M.) antara lain menjelaskan ciri-ciri penting negara yang terbaik, iaitu peranan pemimpin yang dilaksanakan dengan sempurna dan cemerlang, akhlak serta nilai yang menjadi pegangan rakyat selain struktur pentadbiran yang utuh. Amat menarik jika diteliti pandangan yang diutarakan oleh tokoh kelahiran wilayah Wasij, Turki itu yang menyamakan ciri-ciri negara terbaik dengan tubuh yang sihat dan sempurna anggotanya. Menurut beliau, pemimpin bagi negara terbaik adalah seumpama hati (qalb) yang merupakan ketua dan sentiasa membimbing anggota tubuh yang lain melaksanakan peranan serta tanggungjawab masing-masing. Pemimpin tersebut menurut al-Farabi, ialah seorang insan kamil yang bertindak sebagai ketua negara dan memimpin seluruh rakyat serta mentadbir urusan negara dengan cemerlang. Setiap lapisan masyarakat (ummah) mempunyai hubungan yang rapat dengan ketua negara dan mereka menjalankan tugas masing-masing selain membantu ketua negara mereka itu. Dalam hubungan ini, insan kamil yang sebenarnya dimaksudkan oleh al-Farabi ialah Nabi Muhammad s.a.w.
Al-Farabi menjelaskan seterusnya bahawa antara nilai yang menjadi pegangan rakyat bagi negara terbaik ialah berkhidmat setulusnya untuk negara dan saling bekerjasama serta bantu-membantu untuk mencapai kebahagiaan. Pada pandangan al-Farabi, apabila masyarakat sudah diikat dengan nilai-nilai kemasyarakatan yang asasi dan baik, maka sebagai hasilnya, masyarakat itu akan melaksanakan tanggungjawab masing-masing, selaras dengan nilai-nilai berkenaan. Al-Farabi juga menegaskan bahawa kerjasama merupakan perkara paling asas bagi sebuah masyarakat yang kuat dan teguh. Justeru itulah beliau menekankan berkali-kali persoalan ta`awun (bantu-membantu) itu kerana ia merupakan kualiti ummah bagi negara terbaik. Dengan yang demikian, dapatlah difahami bahawa maksud sempurna atau terbaik yang sebenarnya menurut al-Farabi bukan terletak pada saiz atau keadaan fizikal negara, sebalikya ia merupakan kualiti ummah dalam negara tersebut. Selain pemimpin dan rakyat, al-Farabi turut menekankan bahawa sistem pentadbiran yang utuh akan menjamin pengurusan cemerlang negara yang terbaik. Bahkan ia juga memberikan kesan yang baik terhadap perancangan serta perkembangan yang dicapai oleh negara berkenaan. Kedudukan pemimpin yang diibaratkan sebagai hati oleh al-Farabi menjelaskan kepentingan peranan, kuasa dan pengaruh seseorang pemimpin, dan hati pula ditegaskan kepentingannya oleh Nabi s.a.w. dalam Hadith Baginda. Bahawa sekiranya ia baik maka baiklah jasad seluruhnya dan sekiranya ia rosak maka rosaklah jasad seluruhnya.
Begitu juga dengan penekanan yang diberikan oleh al-Farabi berkenaan dengan ciri-ciri seorang pemimpin, iaitu insan kamil yang menunjukkan bahawa kelayakan yang perlu dimiliki seseorang pemimpin adalah amat tinggi, sebagaimana yang ada pada Nabi s.a.w. Justeru itu, setiap pemimpin yang memikul tanggungjawab kepemimpinan memiliki tanggungjawab yang begitu besar lagi berat untuk sehabis daya mencontohi kepemimpinan Nabi s.a.w. Beratnya amanah kepemimpinan diberikan peringatan oleh Nabi s.a.w. dan dengan yang demikian, tegas Baginda, ia tidak seharusnya menjadi sesuatu yang diidam-idamkan. Pada hari akhirat kelak, ia hanya akan menjadi kerugian dan penyesalan, kecuali bagi mereka yang menerima atau mengambilnya berasaskan kelayakan lalu seterusnya menunaikan apa yang menjadi tuntutan tanggungjawabnya. Disebabkan amaran yang diberikan Nabi s.a.w. itulah juga, maka Khalifah `Umar ibn al-Khattab r.a. misalnya menegaskan dalam ucapan selepas pelantikannya sebagai khalifah, “Tuan-tuan sekalian, aku ini hanya salah seorang daripada kamu. Jikalah tidak disebabkan cadangan khalifah Rasulullah yang lalu yang tidak dapat ditolak, maka aku tidak akan menerima jawatan ini. Sesungguhnya Allah menguji kamu dengan pelantikanku, sebagaimana Dia mengujiku dengan memimpin kamu….”
Ucapannya itu jelas menunjukkan bahawa Khalifah `Umar ibn al-Khattab r.a. tidak sama sekali menganggap bahawa pelantikannya itu sebagai suatu penghormatan dan pengiktirafan yang diharapkan atau harus dibanggakan, namun sebaliknya ia merupakan ujian sama ada beliau akan melaksanakannya dengan penuh tanggungjawab atau pula sebaliknya. Bahkan beliau juga mengingatkan rakyat yang akan dipimpinnya bahawa pelantikannya itu merupakan ujian bagi mereka. Justeru itulah, beliau memberikan peluang seluas-luasnya kepada mereka untuk menegur dan menasihati dirinya seandainya beliau ternyata melakukan kecuaian atau kesilapan. Keterbukaannya untuk menerima apa juga teguran serta ketidakpuasan hati rakyat terhadap dirinya dan juga pegawai-pegawai kerajaan, iaitu gabenor-gabenor beliau masyhur diceritakan.
Selain beramanah, memiliki kewibawaan tinggi dan kebijaksanaan, melaksanakan keadilan serta mengamalkan keterbukaan untuk menerima pandangan, ciri penting lain yang harus dimiliki oleh seseorang pemimpin ialah sentiasa mengutamakan kepentingan dan kesatuan ummah. Inilah yang dicerminkan oleh Sultan Sulaiman yang dianggap sebagai pemerintah agung Kerajaan `Uthmaniyyah. Tempoh pemerintahannya yang panjang (1520 – 1566M.) dipenuhi oleh pencapaian hebat dalam bidang ketenteraan, sosio politik, ekonomi dan juga kebudayaan. Walau bagaimanapun, baginda terpaksa melakukan pengorbanan yang besar demi memastikan keutuhan kerajaan dan perpaduan kaum Muslimin. Antaranya pada tahun 1536, baginda terpaksa memecat ketua wazir, Ibrahim Pasha, yang juga merupakan sahabat sejak zaman kanak-kanaknya. Baginda juga terpaksa memecat ketua wazir yang dilantik kemudiannya, iaitu Sulaiman Pasha, pada tahun 1544. Pada tahun yang sama, baginda terpaksa pula memecat ketua wazir, Kara Ahmad Pasha. Selain itu, baginda juga mendapati bahawa tindakan terpaksa diambil untuk memecat putera-puteranya sendiri, iaitu Putera Mustafa pada tahun 1553 dan Putera Bayazit serta empat orang puteranya pada tahun 1561.
Perkara yang sama turut menjadi pertimbangan dan asas tindakan Khalifah al-Hasan bin `Ali r.a., iaitu menyatukan kaum Muslimin dan mengelakkan pertumpahan darah daripada terus berlaku. Pada tahun 661M., beliau mengambil keputusan untuk berundur dan menyerahkan jawatan khalifah yang disandangnya hanya dalam tempoh enam bulan kepada Mu`awiyah dengan beberapa syarat tertentu. Antaranya termasuklah, Mu`awiyah tidak boleh menyalahkan penduduk Madinah, Hijaz dan Iraq atas apa yang berlaku semasa hayat bapanya, `Ali ibn Abi Talib k.w. Selain itu, Mu`awiyah juga perlu membayar semua hutangnya. Mu`awiyah menerima semua syarat yang ditetapkan dan perdamaian pun berjaya dicapai. Apabila beliau ditegur kerana tindakannya itu, beliau mengatakan bahawa beliau tidak mahu mengorbankan rakyatnya sendiri hanya kerana mempertahankan kerajaan atau pemerintahannya. Malah menurutnya, ketua-ketua bangsa Arab berada di bawah kekuasaannya dan mereka sentiasa bersedia memerangi sesiapa sahaja yang diperanginya dan berdamai dengan sesiapa sahaja yang berdamai dengannya. Namun, segala-galanya diketepikan oleh beliau kerana mahu mendapatkan keredaan Allah dan mahu mengelakkan pertumpahan darah.
Sebagaimana dijelaskan oleh al-Farabi, rakyat turut memainkan peranan yang amat besar dalam pembinaan negara terbaik, di samping sistem pentadbiran yang cemerlang sifatnya. Rakyat yang sentiasa menghulurkan kerjasama kepada pemimpin akan dapat membantu pemimpin tersebut melaksanakan tugas dengan baik lagi sempurna. Inilah bentuk kerjasama yang akhirnya akan membawa kebaikan terhadap kehidupan mereka dan juga kelangsungannya. Dalam hubungan ini, amat wajar bagi rakyat untuk memilih calon pemimpin yang memiliki ciri-ciri tertentu, sebagaimana yang digariskan oleh al-Qur’an, iaitu yang memiliki quwwah (kekuatan, kelayakan, kemampuan serta kemahiran dalam menjalankan tugas) dan amanah (Surah al-Qasas 28 : 26 dan Surah Yusuf 12 : 54). Oleh yang demikian, hendaklah dipastikan bahawa dalam tindakan melantik individu bagi memelihara kepentingan ummah dan mentadbir negara, garis panduan yang ditetapkan al-Qur’an ini tidak diabaikan sama sekali. Ini kerana ,pengabaian terhadap ciri penting yang ditetapkan oleh al-Qur’an ini bukan sahaja akan menyebabkan masyarakat dan rakyat tidak mencapai kebahagiaan bahkan juga akhirnya akan menyebabkan mereka dilanda kemudaratan, kehancuran dan kemusnahan.