Dalam Titah Diraja Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong sempena pembukaan penggal ke-3, Parlimen ke-14 pada 18 Mei 2020 lalu, ada menyebut tentang keperluan kerajaan untuk merangka pendekatan komprehensif dalam menangani kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI). Perkara ini termasuklah usaha-usaha mengekang laluan rentas sempadan yang perlu terus diperkukuhkan.
Ia jelas, kerana kemasukan tidak terkawal PATI ini boleh menimbulkan pelbagai masalah dari aspek ekonomi, sosial dan keselamatan negara. Ketiadaan rasa patriotik, halangan komunikasi, persaingan buruh murah, pertembungan budaya, kurang perasaan hormat dan tanggungjawab ke atas negara yang didatangi menyebabkan kedatangan PATI menjadi satu cabaran di peringkat global yang bukan hanya dihadapi Malaysia.
Mengikut statistik dari Jabatan Perangkaan Malaysia, untuk suku pertama tahun 2020, penduduk di Malaysia adalah seramai 32.73 juta. Sebanyak 29. 62 juta daripadanya adalah penduduk warganegara. Manakala 3.12 juta selebihnya pula ialah bukan warganegara. Jumlah penduduk bukan warganegara ini termasuklah pekerja asing yang mempunyai permit kerja yang sah, pasangan rakyat tempatan dan individu-individu lain yang mempunyai dokumentasi yang sah.
Jika dilihat dalam Laporan Tahunan Bank Negara Malaysia (BNM) 2017, hanya 5.2% penghijrah ke Malaysia mempunyai latar belakang pendidikan tinggi. Berdasarkan hakikat ini, dapat disimpulkan bahawa kebanyakan penghijrah ini merupakan buruh asing berkemahiran rendah. Sehingga Jun 2019 pula, statistik pekerja asing aktif di Malaysia adalah seramai 2.002 juta orang (data.gov.my). Jumlah ini bagaimanapun tidak termasuk bilangan PATI, pelarian dan individu asing lain yang bekerja tanpa mempunyai dokumen yang sah.
Ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit, warga asing secara umumnya turut disaring sekiranya mereka ini adalah terdiri daripada kumpulan berisiko tanpa melihat kepada aspek dokumentasi. Mereka juga diberi rawatan yang sepatutnya jika didapati mempunyai virus Covid-19 ini. Tindakan yang dilakukan ini bagi mengekang penularan wabak berbahaya Covid-19 dalam masyarakat dan sebagai satu langkah kemanusiaan yang diambil oleh negara.
Dalam surah al-Mumtahanah ayat 8 Allah berfirman dengan maksud “Allah tidak melarang kamu untuk berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agama (kamu) dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu. Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang berlaku adil.”
Ayat ini secara umumnya merujuk bahawa melakukan kebaikan dalam perspektif Islam tidak terbatas hanya kepada golongan tertentu. Bahkan kebaikan itu harus disebarkan kepada semua makhluk tanpa mengira kaum, budaya, agama dan termasuklah juga haiwan serta alam ini. Maka tindakan untuk membuat penyaringan dan memberi rawatan kepada semua yang berkenaan termasuk PATI merupakan satu tindakan yang selari dengan prinsip Islam.
Sungguhpun demikian, sebagai sebuah negara berdaulat, Malaysia tidak dapat membenarkan warga asing tanpa dokumen yang sah untuk terus bergerak bebas dalam negara apabila telah dapat dikenal pasti. Oleh itu, tindakan perlu diambil kepada mana-mana individu daripada kumpulan ini yang mempunyai kesalahan imigresen.
Tindakan ini bagaimanapun dikritik sesetengah pihak yang mengatakan pengumpulan warga asing termasuk PATI dan pelarian boleh mengundang penularan wabak Covid-19 di kem tahanan. Selain itu juga, ia boleh menimbulkan rasa takut kumpulan ini untuk mendapatkan rawatan yang berkenaan sekiranya mereka bergejala.
Walaupun berdepan dengan kritikan dan juga tindakan balas kumpulan warga asing yang membuat provokasi, melarikan diri daripada saringan atau kuarantin dan lain-lain, Malaysia tetap meneruskan tindakan berdasarkan peruntukan undang-undang. Ini antara lain bertepatan dengan konsep adil dan prinsip untuk memelihara negara daripada diperangi secara tidak langsung oleh individu yang berniat untuk menikmati hak sebagai warganegara secara tidak sah.
Isu tentang warga asing ini juga sebenarnya banyak berkaitan dengan pasaran buruh. Kehadiran terlalu ramai buruh asing sama ada secara sah atau tidak sah telah memberi persaingan yang sengit kepada buruh tempatan dalam sektor pekerjaan berkemahiran rendah berdasarkan dapatan jumlah penghijrah oleh BNM sebelum ini.
Model perniagaan di Malaysia yang banyak menumpukan kepada penggunaan buruh berkemahiran rendah telah mewujudkan permintaan kepada buruh asing yang ramai. Bekalan buruh asing yang banyak ini juga sekaligus tidak memotivasikan firma perniagaan untuk menukar model perniagaan kepada menggunakan teknologi dan buruh mahir. Selain itu juga, ia menekan paras gaji sektor pekerjaan ini untuk kekal rendah.
Akibat daripada itu, sebahagian sektor pekerjaan sukar melonjak paras gaji ke tangga yang lebih baik biarpun produktiviti telah meningkat. Sebahagian rakyat tempatan mendapati diri mereka sukar untuk meningkatkan taraf hidup apabila gaji yang diterima ini kekal rendah dalam tempoh yang lama. Akhirnya, negara menerima kesan tersebut apabila pembangunan yang dirancang tidak dapat dicapai sepenuhnya kerana sebahagian besar rakyat masih bergelut dengan keadaan ekonomi mereka.
Status undang-undang terhadap seorang individu pendatang asing adalah salah satu faktor kepada kerentanan ekonomi. Hal demikian kerana, warga asing termasuk PATI mempunyai potensi untuk mengurangkan pertumbuhan dan pendapatan negara melalui pengaliran wang ke luar negara, pengelakkan pembayaran cukai, penggunaan kemudahan dan subsidi awam dan penekanan upah yang rendah kepada pasaran buruh.
Namun, dalam masa yang sama pendatang asing khususnya PATI di mana-mana negara terdedah kepada ekploitasi majikan, pemerdagangan manusia bahkan bahaya akibat tidak dilindungi undang-undang selayaknya. Oleh yang demikian, tindakan terhadap PATI khususnya, bukan hanya berkaitan melindungi kedaulatan negara, tetapi ia juga sebagai satu bentuk tindakan kemanusiaan demi mendapatkan rekod mereka yang sah. Seterusnya diproses untuk tindakan selanjutnya mengikut peruntukan undang-undang.
Sesungguhnya isu berkaitan lambakan warga asing di Malaysia bukanlah satu perkara yang baharu. Bahkan negara ini semakin menjadi pilihan pelarian antarabangsa dek kerana keamanan dan tatasusila penduduknya yang mudah berasimilasi. Namun, Malaysia masih belum terlewat untuk menangani isu ini dengan tindakan yang komprehensif demi mendukung kedaulatan negara di samping mengekalkan nilai kemanusiaan sejagat.