Secara umumnya undang-undang atau hukum-hukum Islam boleh dibahagikan kepada beberapa bahagian:
Pertama: Berhubung dengan akidah, iaitu hukum-hukum yang bersangkut paut dengan keimanan dan tauhid, alam ghaib, hari akhirat, malaikat dan seterusnya. Ia merupakan asas seseorang Muslim.
Kedua: Berhubung dengan akhlak, atau terkenal dengan ihsan dan juga tasawwuf. Ia menitikberatkan pendidikan rohani, dengan tujuan mewujudkan manusia berakhlak tinggi yang sentiasa menghampirkan diri kepada Allah SWT. Selain itu, ia juga bertujuan untuk melahirkan manusia yang sentiasa membersihkan hatinya daripada sifat-sifat tercela dan berhias dengan sifat-sifat yang terpuji.
Ketiga: Berhubung dengan ibadah khas, yang lebih terkenal dengan hubungan hamba dengan Khaliqnya, seperti solat, puasa, menunaikan haji, bersedeqah, nazar dan seterusnya.
Keempat: Berhubung dengan hubungan manusia sesama mereka, yang lebih terkenal dengan ibadah umum. Ia boleh dibahagikan kepada beberapa bahagian seperti berikut:
a) Undang-undang keluarga yang bertujuan untuk mengatur dan menyusun kehidupan berkeluarga , seperti nikah, cerai, ruju’, nafkah, perwarisan dan seterusnya.
b) Undang-undang mu’amalah yang bertujuan untuk mengatur dan menyusun cara pemilikan harta, jual beli, gadaian, sewa-menyewa, pinjam meminjam dan seterusnya.
c) Undang-undang yang berhubung dengan kehakiman, pendakwaan, keterangan, pentadbiran kehakiman dan seterusnya.
d) Undang-undang yang berhubung dengan cara pentadbiran dan pemerintahan, perlembagaan dan kaedah-kaedah sistem negara dan seterusnya.Undang-undang ng berhubung dengan hak rakyat, muslim dan bukan muslim terhadap negara, hak orang yang dilindungi dan kewajipan mereka dan seterusnya.
e) Undang-undang yang berhubung dengan hubungan negara dengan negara, sama ada dalam keadaan perang atau pun damai, atau lebih terkenal dengan undang-undang hubungan antarabangsa.
f) Undang-undang yang bertujuan mencegah jenayah dan menghukum pesalah-pesalah atau terkenal dengan undang-undang jenayah dan keseksaan sama ada yang berdasarkan hudud, qisas, diat ataupun takzir.
Mu’amalah termasuk dalam bahagian yang keempat yang disebutkan di atas tadi, kerana mu’amalah ialah tatacara hubungan antara manusia dengan manusia lain dalam segenap segi kehidupan. Muamalah merupakan perhubungan masyarakat yang mengandungi berbagai-bagai kegiatan ekonomi dan bukan ekonomi. Allah SWT telah mengaturkan satu sistem yang lengkap untuk menjadi panduan kepada umat manusia yang disebut mu’amalah.
Jika diambil dari segi istilah, mu’amalah yang difahamkan oleh ulama’ sebenarnya merupakan salah satu daripada ciri hidup yang merangkumi ekonomi, pengurusan dan perniagaan. Tajuk-tajuk yang biasa dibincangkan dalam bidang ini termasuklah berkenaan harta, cara-cara mengurus harta, takrif kerja, mencari rezeki, perniagaan, cara-cara berurus niaga dan sebagainya. Matlamat atau tujuan mu’amalah itu sudah tentulah berdasarkan maqasid syariah ataupun maksud syariah itu sendiri. Umumnya, sebarang perkara yang boleh mendatangkan keadilan kepada manusia adalah selaras dengan syariah, dan setiap perkara yang boleh mendatangkan kezaliman kepada kita adalah bertentangan dengan syariah. Lima perkara yang memerlukan perhatian ialah agama, jiwa, ‘aql , zuriat dan harta.
Falsafah mu’amalah adalah berdasarkan kebajikan dan matlamatnya untuk meningkatkan ketaqwaan kepada Allah. Ia mengenepikan kepentingan yang bermatlamatkan keuntungan semata-mata, matlamatnya adalah membentuk masyarakat yang bersatu padu dan aman damai. Islam menyuruh umatnya tolong-menolong dalam menambahkan ketaqwaan kepada Allah dan melarang keras umatnya bersubahat dalam perkara kejahatan atau melakukan permusuhan dan kezaliman.
Sebagaimana disebutkan tadi, tuntutan mencari rezeki adalah juga di bawah mu’amalah . Islam menggalakkan umatnya berusaha mencari rezeki agar kehidupan mereka lebih baik dan selesa. Tangan yang memberi lebih baik daripada yang menerima, yang menolong lebih baik daripada yang ditolong. Nabi telah bersabda yang maksudnya:
“Tangan yang di sebelah atas(iaitu orang yang memberi) adalah lebih baik daripada tangan yang di sebelah bawah(yang menerima)”.
Untuk mencapai dan memperoleh sesuatu, manusia perlu berusaha dan bekerja kerana kerja adalah “fitrah” bagi memenuhi keinginan. Tanpa bekerja lazimnya seseorang itu tidak akan dapat memenuhi keperluan ibadah, diri, keluarga, masyarakat dan negara. Segala kejadian di bumi ini adalah untuk memenuhi keperluan hidup manusia. Ia perlu digunakan sepenuhnya demi untuk faedah dan keselesaan manusia. Firman Allah yang bermaksud:
“Dialah Allah yang menjadikan segala yang ada di bumi untuk kamu…”(Surah Al-Baqarah:29).Dalam bidang ekonomi, Allah telah menentukan cara mua’malah yang tertentu untuk menjadi garis panduan kepada manusia. Mu’amalah haruslah berdasarkan kepada asas-asas yang ditentukan oleh Islam itu sendiri. Oleh itu kegiatan ekonomi Islam tidak boleh dipisahkan daripada fiqh mu’amalah, malah kegiatan itu hendaklah dikawal dan dipandu oleh fiqh mu’amalah. Fiqh mu’amalah merupakan peraturan Islam yang berkaitan dengan hukum-hukum perniagaan, dan menjadi rangka kerja yang sah untuk ekonomi Islam. Perniagaan dan perdagangan adalah antara kegiatan terpenting manusia. Manusia dijadikan oleh Allah SWT di dunia ini dengan fitrah saling memerlukan antara satu sama lain. Perniagaan dan perdagangan diperlukan kerana tidak ada seorang pun yang boleh hidup dengan sempurna tanpa bantuan dan pertolongan daripada orang lain. Manusia saling memerlukan antara satu dengan lain, bekerjasama dan tolong menolong sesama mereka. Kerjasama yang dikehendaki oleh Islam adalah yang menjurus ke arah kebaikan dan ketaqwaan yang mendatangkan faedah kepada manusia, ianya tidak mendatangkan kemudaratan kepada mereka dan juga tidak mendatangkan dosa(Surah Al Maidah:2).
Agama Islam memang menggalakkan umatnya berniaga sehingga disebut sembilan persepuluh rezeki adalah daripada perniagaan. Walaupun Islam menggalakkan umatnya berniaga dan hukumnya fardhu kifayah, namun perniagaan ini hendaklah dilakukan berdasarkan hukum syara’. Dalam keghairahan mencari kekayaan, menjalankan perusahaan dan perniagaan umat Islam hendaklah menjadikan Islam sebagai dasarnya, syariah sebagai asasnya dan keredhaan Allah SWT sebagai matlamat terakhir dan utama. Walaupun keuntungan juga menjadi matlamat, tetapi ia janganlah mengatasi matlamat utama tadi. Islam menjadikan perniagaan sebagai ibadat kepada Allah SWT, fardhu kifayah, perkhidmatan kepada masyarakat atas dasar tolong menolong di samping merupakan cara mendapatkan keuntungan sebagai sumber pendapatan. Berdasarkan ketiga-tiga perkara ini tentulah fahaman perniagaan Islam berbeza daripada yang lain, dan inilah yang membezakan perniagaan Islam dengan perniagaan bukan Islam.
Walaupun Islam menggalakkan umatnya berniaga, mengumpul harta tetapi ia menghendaki syariah sebagai landasan dan asasnya. Allah SWT berfirman yang bermaksud:
“(Ibadat itu dikerjakan oleh) orang-orang yang kuat imannya yang tidak dilalaikan oleh perniagaan atau berlumba-lumba daripada menyebut serta mengingati Allah s.w.t. dan mendirikan solat serta memberi zakat, mereka takutkan hari(kiamat). Pada masa itu terbalik-balik hati dan pandangan”.(Surah al-Nur:37).
Ayat di atas bermaksud meskipun mereka menjalankan perniagaan dan kerja-kerjanya, namun ia tidak melalaikan mereka daripada mengerjakan solat pada waktunya dan memberi zakat untuk kebajikan masyarakat yang memerlukan bantuan. Ini bermakna kita hendaklah menguasai dan mentadbir harta dan perniagaan seperti yang dikehendaki Islam, dan bukan harta yang menguasai kita. Jika harta yang menguasai kita bererti kita akan menjadi hina dan rugi di dunia dan akhirat.