Di kalangan Masyarakat Arab telah lahir golongan celek bahasa. Terdapat di kalangan mereka penulis-penulis yang terdiri daripada penyaer-penyaer yang berwibawa. Apabila Islam tersebar terdapat dikalangan mereka yang telah memeluk agama Islam. Baginda Rasulullah s.a.w. sendiri telah mengambil berat dalam bidang ini. Baginda telah membenarkan tahanan-tahanan perang Badar supaya setiap seorang mengajar sepuluh kanak-kanak Islam sebelum mereka dapat dibebaskan.
Terdapat empat puluh orang penulis wahyu di kalangan sahabat ketika itu. Sebahagian besar mereka adalah berasal dari Mekkah. Ada pendapat yang menyatakan di Madinah terdapat seramai 1500 penulis lelaki. Dikalangan wanita juga terdapat penulis-penulis seperti Ummu el-Mukminin ‘Aishah r.a.
Mengikut satu pendapat pada peringkat permulaan hadis-hadis dihafal dan belum ditulis dan tidak disusun kerana para sahabat lebih memberikan tumpuan kepada penulisan al-Quran. Memang terdapat hadis yang melarang sahabat menulis hadis kerana dikhuatiri berlaku campur aduk antara hadis Rasulullah dengan al-Quran. Larangan itu sebenarnya adalah bersifat umum. Bagaimanapun terdapat di kalangan sahabat yang memohon daripada Rasulullah s.a.w. supaya dibenarkan menulis hadis. Baginda telah memberi kebenaran kepada golongan tertentu di kalangan sahabat menulis hadis.
Masyarakat Islam terkeliru tentang larangan Rasulullah itu sehingga beranggapan tiada langsung hadis yang ditulis pada zaman Rasulullah dan penulisan hanya berlaku lewat di zaman selepas Tabiin. Akhirnya membuat kesimpulan bahawa hadis-hadis semua palsu dan rekaan semata-mata. Anggapan ini adalah suatu fitnah yang amat berat yang bercanggah dengan kenyataan sebenar. Ia lebih merupakan isu metodologi kajian hadis. Metodologi yang berbeza tentu akan membuahkan hasil yang berbeza, lebih-lebih lagi apabila ada niat yang tertentu yang tidak jujur.
Ulama berpendapat, terdapat sebahagian sahabat yang menulis hadis di zaman Rasulullah s.a.w. Dikalangan mereka itu ada yang mendapat keizinan dari Rasulullah s.a.w. Ada pendapat yang mengatakan Rasulullah ketika akhir hayatnya telah membenarkan sahabat menulis hadis. Iaitu setelah mendapat kepastian bahawa penulisan hadis itu tidak bercampur dengan al-Quran. Bahkan catatan perseorangan adalah merupakan di antara cara sahabat memelihara hadis. Ini membuktikan pengumpulan hadis telah berlaku dikalangan sahabat sejak zaman permulaan Islam lagi.
Dalam tradisi pembelajaran hadis, terdapat beberapa metodologi di antaranya dengan cara guru membaca nukilan hadis yang telah ditulis, – samada koleksinya sendiri atau orang lain – kepada muridnya. Adakala murid yang mempelajari hadis mengemukakan hadis yang didengarnya dengan membuat catatan untuk disahkan oleh gurunya. Cara imlak adalah merupakan cara yang biasa digunakan dizaman nabi, kerana baginda selalu mengimlakkan hadis kepada sahabat. Cara baginda diikuti oleh sahabat selepas zaman baginda. Wathilah bin Asqa’ telah mengadakan kelas untuk mengajar hadis dengan cara ini. Pembelajaran hadis juga berlaku dalam bentuk correspondence. Iaitu terdapat dikalangan sahabat yang menulis hadis dalam surat mereka dan dikirim kepada rakan mereka, seperti yang dilakukan oleh Ibn Abbas.
Pada peringkat permulaan hadis di sebarkan secara mulut dan ini dikatakan mengambil masa selama seratus tahun. Pada zaman pemerintahan Khalifah Umar b. Abdul Aziz, beliau telah memerintahkan supaya hadis ditulis dengan rasmi kerana bimbang catatan hadis hilang begitu sahaja. Tugas ini telah dimulakan oleh Zahri, seorang ulamak hadis yang terkenal.
Terdapat ramai dikalangan sahabat yang membuat catatan hadis. Di antara sahabat yang mempunyai koleksi hadis adalah Saad bin Ubadah. Beliau meninggal pada tahun 15 Hijrah. Ada pendapat- mengatakan pemilik sebenar naskhah Shahifah itu adalah Abdullah bin Ubay. Dia telah menulis sendiri hadis-hadis tersebut. Dan orang ramai membaca naskhah ini.
Sahabat-sahabat lain yang dikatakan sebagai mempunyai koleksi hadis adalah seperti Abu Hurairah, Ibn Umar dan Anas bin Malik dan begitu juga isteri Rasulullah s.a.w., Ummu el-Mukminin Aishah. Bahkan ramai lagi dan tidak perlu disenaraikan disini. Umar bin al-Khattab ketika menjadi Khalifah selalu memuatkan hadis dalam surat-surat rasmi beliau. Dengan cara begitu banyak hadis-hadis yang direkodkan oleh beliau.
Selain daripada golongan sahabat terdapat ulama di kalangan tabiin yang memberi tumpuan kepada hadis seperti Qatadah. Beliau sangat mengambil berat tentang Sahifah Jabir. Jabir bin Abdullah mempunyai beberapa orang murid yang menceburi bidang pengajian hadis di antaranya Sulaiman bin Qais. Sahifah Jabir ini telah terkenal di kalangan orang ramai kerana mempunyai ramai murid di kalangan tabiin.
Di antara sahifah-sahifah yang ditulis di zaman Rasulullah s.a.w. adalah “al-Sahifah al-Sadiqoh” yang ditulis dan disusun oleh Abdullah bin Umar bin al-Asdad pada Rasulullah s.a.w. Sahifah ini mengandungi sebanyak seribu hadis. Cucu Abdullah bernama Umar bin Suaib telah meneruskan tugas beliau.
Bukti yang paling jelas tentang keizinan Rasulullah supaya menulis hadis adalah apabila baginda menyediakan Sahifah Madinah yang menyatakan hak-hak orang Muhajirin, Ansar, Arab Madinah dan Yahudi di Kota Madinah. Dalam Sahifah Madinah ini terdapat garis panduan mengenai hak asasi manusia dan prinsip kenegaraan dan tanggungjawab sosial masyarakat Madinah.
Di kalangan sahabat yang banyak menulis hadis adalah Abdullah bin Abbas dan muridnya bernama Said bin Jabir yang turut menyalin hadis yang diajar oleh Abdullah bin Abbas. Sahifah Abdullah ini telah tersebar luas beberapa waktu. Anaknya bernama Ali telah meneruskan usaha bapanya.
Abu Hurairah juga mempunyai koleksi hadis dalam suhuf simpanannya. Bagaimanapun kebanyakannya telah musnah. Yang dikenal pasti masih ada ialah sahifah yang diserahkan kepada muridnya bernama Humam. Sahifah ini telah disusun oleh Humam dengan memberi nama “al Sahifah al Sohihah”. Manuskrip sahifah ini ada tersimpan di Berlin, Damsyik dan terdapat dalam musnad Ahmad. Kebanyakan hadis-hadis dalam mashaf ini diriwayatkan dalam hadis Sahih Bukhari.
Percubaan untuk menulis hadis secara sistematik telah bermula sejak zaman khalifah Umar bin Abdul Aziz. Goldzihar berpendapat penyusunan hadis berlaku pada awal kurun kedua Hijrah (dalam bukunya Muhammedenische Stadies – p.241- 250). Penulis ini cuba menimbulkan keraguan tentang kenyataan berlaku penyusunan dan penulisan hadis di zaman Rasulullah. Kerana baginya adalah sukar dipercayai hadis itu boleh dihafal dan disimpan dalam ingatan. Beliau juga berpendapat penyusunan hadis dilakukan mengikut cara penyusun dan membuat penjelasan tentang sesuatu mengikut kaca mata penyusun.
Pendapat Dozy – seorang lagi orientalis, sungguhpun beliau mengakui tentang kebenaran hadis yang telah dihafal dan disusun akan tetapi beliau dengan bongkak mengatakan apa yang berlaku adalah rekaan dan pemalsuan terhadap buku hadis.
Sebenarnya setiap hadis dinilai menurut kaedah-kaedah yang amat teliti dan sistematik, termasuk mengenalpasti diri orang yang membawa hadis dari segala aspek dan kredibilitinya.
Persoalannya adakah kita meragui dan menolak keterangan yang jelas menyatakan bahawa hadis-hadis itu telah dihafal dengan baik oleh sahabat di zaman Rasulullah dan di zaman Tabiin. Bahkan ada di antara hadis-hadis itu telah dibuku dan disusun di peringkat awal lagi. Serta diperjelaskan oleh mereka di zaman itu. Kemudian disambung oleh jenerasi selepasnya. Apakah kajian yang dibuat oleh sarjana Islam itu lemah dan tidak berasas justeru itu mangalih pandangan kepada pendapat orientalis barat dan terpesona dengan analisis mereka. Sebenarnya mereka itu melakukan sesuatu dengan tujuan tertentu. Iaitu untuk menimbulkan keraguan di kalangan umat Islam tentang warisan Islam yang unggul iaitu hadis dan akhirnya supaya umat Islam mudah menolak kerasulan Nabi Muhammad sepertimana masyarakat jahiliyah lakukan dimasa lampau. Dalam hubungan ini Allah S.W.t. berfirman, dalam surah al-Baqarah ayat 120,
Bermaksud:
Orang -orang Yahudi dan Nasrani tidak akan senang kepada kamu hingga kamu mengikuti agama mereka.
Mereka ini ingin meruntuhkan asas aqidah dan institusi sunnah Islam. Seorang Professor dari Harvad University telah mengatakan abad ini adalah abad pertentangan antara dua tamadun dunia itu antara tamadun Barat dengan tamadun Islam. Sejarah telah membuktikan pihak musuh telah berjaya menggunaan orang dalaman untuk meruntuhkan orang Melayu. Sejarah orang dalaman diperalatkan oleh musuh Islam untuk meruntuhkan asas kepercayaan orang Melayu nampaknya telah menunjukkan tanda-tandanya. Langkah perlu diambil untuk mempertahankan asas akidah orang Melayu supaya tidak terjejas dan luntur.