Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) membuka dimensi baharu dalam kehidupan. Ramai yang memanfaatkan aktiviti harian menggunakan kemudahan dalam talian. Selain pemasaran, pembelian, jualan, tempahan dan perbankan, aktiviti yang makin mendapat perhatian ramai ialah perdagangan dalam talian atau online trading. Perdagangan dalam talian melibatkan mata wang asing, nilai indeks saham, komoditi derivatif dan wang kripto sebenarnya tidak menepati ciri-ciri kontrak jual beli Islam malah terdapat unsur-unsur yang tidak diharuskan oleh syarak. Lebih mengelirukan lagi, ada sesetengah ejen syarikat broker memetik pandangan agamawan yang mengharuskannya dalam kempen merekrut pemegang akaun baharu.
Kekeliruan ini wujud disebabkan khilaf dalam membezakan antara pertukaran wang asing (foreign currency exchange) dengan perdagangan mata wang asing (forex trading). Pertukaran wang asing melalui pengurup wang berlesen adalah diharuskan dengan syarat penyerahan dibuat dalam masa yang sama (diistilahkan sebagai lani). Pertukaran ini jelas tidak menyalahi syarak malah diharuskan kerana mata wang asing yang ditukarkan tersebut diserah milik dan digunakan di negara berkaitan. Sedangkan perdagangan mata wang asing tiada tujuan lain kecuali mengaut keuntungan daripada perubahan harga dalam pasaran. Walaupun urus niaga ini satu lumrah bersifat antarabangsa, tetapi ia menyalahi kontrak jual beli yang dibenarkan syarak, serta mempunyai unsur-unsur yang ditegah oleh agama.
Pernyataan keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan (JKMKI ke-98 pada Februari 2012) dan beberapa fatwa negeri seperti Perlis (2016), Negeri Sembilan (2018) dan Sabah (2012) sependapat tidak mengharuskannya kerana muamalah ini melibatkan barang ribāwi (iaitu mata wang) dan dari sudut fiqhiyyah tertakluk di bawah hukum bay’ al-Sarf (jual beli mata wang). Perdagangan mata wang secara dalam talian melalui platform tempatan atau luar negara diharamkan kerana tidak berlaku serah milik, wujud unsur riba (melalui kemudahan leverage), gharar (ketidakjelasan iaitu dengan menggabungkan dua kontrak jual beli dan pinjaman) serta terdapat unsur maisir (judi) melalui aktiviti spekulasi (ramalan) nilai mata wang. Pandangan ini juga selari dengan fatwa Majelis Ulama Indonesia (MUIN, 2002) dan Majma’ Fiqh Islami Sedunia (2006).
Wang merupakan perantara pertukaran bukan komoditi yang boleh dijual beli. Para ulama majoriti sependapat membuat ketetapan bahawa urusan wang adalah sama seperti hukum terhadap barangan ribāwi seperti emas dan perak. Para ilmuan Islam termasuk Imam al-Ghazali, Ibnu Taymiyyah, Ibnu Rusyd, Al-Qarafi dan terbaru Sheikh Taqi Usmani tidak mengharuskan dinar (emas) dan dirham (perak) yang dijadikan mata wang didagangkan seperti komoditi. Dalam perincian beliau, Mufti Taqi Usmani menjelaskan: “…transaksi ini tidak patuh syariah. Syarat utama tidak berlaku pindah milik, apa lagi terdapat unsur yang tidak selari dengan Syariah seperti dalam forward, short sales. Tambahan pula tujuan asal pertukaran wang asing adalah untuk kegunaan di negara yang berkenaan. Menjadikan mata wang didagangkan hanya untuk memperolehi keuntungan menyalahi falsafah ekonomi Islam.”
Berdasarkan dapatan ilmiah dalam banyak jurnal akademik menyimpulkan bahawa perdagangan forex dalam talian hukumnya haram kerana wujud spekulasi melampau yang mengandungi unsur judi, tidak memenuhi ciri qabd (pertukaran/penyerahan) walaupun secara hukmi, mengandungi riba melalui margin dan leverage. Lebih kritikal lagi, sebuah makalah ilmiah dalam kajian khususnya menolak perdagangan mata wang asing yang dimaksudkan walaupun disahkan sebagai Islamic forex trading atau patuh Syariah kerana ia hanyalah permainan istilah jika kontrak dan mekanisme dagangan adalah sama (Jones, 2015). Apa yang dikatakan sama ialah apabila wujud isu qard (hutang), leverage, riba al-nasi’ah, roll over interest, tidak berlaku qabd walaupun secara hukmi (iaitu mampu serah milik—menjual mata wang yang tidak dimiliki dan tidak boleh diserah milik), spekulasi bersifat judi dan tidak memenuhi syarat jual beli mata wang (bay’ al-sarf).
Perdagangan mata wang asing dalam talian dan skim yang seumpamanya dibuat terhadap nilaian indeks saham (Dow Jones, S&P500, Nasdaq), komoditi (Gold, WTICrude/Brent Oil) hanya mengambil posisi dalam Contract for Difference (CFD) tetapi tidak berlaku pindahan hak milik sempurna, mempunyai unsur tidak jelas dan syubhah. Berbeza dengan pembelian saham-saham syarikat antarabangsa seperti Apple, Amazon, TESLA, dan sebagainya diharuskan dengan syarat patuh syariah atau syarikat berkaitan memenuhi kriteria keputusan dan kelonggaran tertentu, secara khusus boleh dirujuk dalam keputusan Majlis Penasihat Syariah Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (31 Disember 2019).
Pandangan-pandangan agamawan yang dikatakan mengharuskan sebenarnya telah dipetik di luar konteks dengan tanpa memperincikan kepada khilaf utama iaitu penggunaan terma “pertukaran wang asing” dan “perdagangan mata wang asing” yang dibincangkan di sini. Terdapat juga pandangan umum tentang keharusan pertukaran wang asing disuntingkan bagi maksud perdagangan mata wang asing. Manakala kenyataan-kenyataan lain, didapati merupakan pandangan umum mereka dalam syarat keharusan iaitu sekiranya tiada tegahan muamalah seperti ghish (tipu), dzulm (aniaya), riba, gharar (tidak jelas) dan maisir (judi).
Kesimpulannya, perdagangan mata wang asing atau skim seumpamanya seperti dagangan nilai indeks, komoditi berbentuk derivatif atau dagangan mata wang kripto dalam talian menggunakan metode yang sama adalah tidak dibolehkan di sisi syarak. Manakala tukaran wang asing dengan pengurup wang berlesen diharuskan dengan syarat penyerahan berlaku segera, dalam masa yang sama. Pembelian dan pemilikan saham-saham patuh syariah juga tiada halangan dari sudut syariat. Tujuan mendirikan syariat dalam muamalah tidak lain daripada memastikan matlamat akhirnya untuk kemaslahatan dan mengelak kerosakan dalam kehidupan.