Pelancaran Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015-2025 (Pendidikan Tinggi)—ringkasnya, PPPM (PT)—oleh Y.A.B. Perdana Menteri dijadualkan pada 7 April 2015.
PPPM (PT) yang terhasil daripada semakan semula terhadap Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara (PSPTN) dirancang dan diusahakan sebagai lanjutan sekaligus pelengkap kepada Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 (Pendidikan Pra-sekolah hingga Lepas Menengah).
PPPM (PT) mengandungi sepuluh lonjakan: empat lonjakan pertama bersifat hasilan pemegang taruh (stake holders) manakala enam lonjakan berikutnya pula bersifat pemboleh untuk meningkatkan hasil.
Sebagai suatu pelan negara untuk tempoh sepuluh tahun yang akan datang, PPPM (PT) dari segi perancangan dan juga pelaksanaan bukan sahaja perlu sistematik tetapi juga sistemik.
Justeru, lonjakan-lonjakan yang disasarkan itu mesti saling lengkap-melengkapi dan kuat-memperkuat bukan semata-mata antara satu lonjakan dengan lonjakan-lonjakan yang lain tetapi juga antara sesama unsur dalam lonjakan yang sama.
Selain daripada keperluan untuk bersifat sistemik, pelan tersebut juga perlu mempunyai paksi yang kukuh dan kekal.
Falsafah Pendidikan Negara sememangnya patut dijadikan paksi tersebut.
Namun, selain Falsafah tersebut, lonjakan pertama—iaitu: graduan holistik, keusahawanan dan seimbang—juga patut dijadikan paksi bagi sembilan lonjakan lain pelan tersebut.
Kesepaduan menyeluruh dan keseimbangan yang merupakan semangat utama Falsafah Pendidikan Negara kelihatan terus ditekankan dalam PPPM (PT), termasuk yang berkaitan dengan lonjakan pertama.
Jelas dalam lonjakan pertama itu, Aspirasi Pelajar yang merangkum enam sifat (atau atribut) utama abad ke-21 memperlihatkan kesinambungan antara Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 (Pendidikan Pra-sekolah hingga Lepas Menengah) dan PPPM (PT).
Dalam paparan berhubung dengan enam sifat tersebut, tiga sifat berkaitan ilmu (iaitu: kemahiran bahasa; kemahiran berfikir; dan pengetahuan) diimbangi pula dengan tiga sifat berkaitan akhlak (iaitu: etika dan rohani; kemahiran kepimpinan; dan identiti kebangsaan).
Sebagai satu strategi ke arah pencapaian lonjakan pertama itu, penekanan kelihatan diberikan kepada kurikulum yang bukan sahaja berpusatkan pelajar tetapi juga berdasarkan hasil.
Namun, penekanan sedemikian bukan sahaja jelas tidak selari dengan semangat kesepaduan dan keseimbangan yang ditekankan dalam Falsafah Pendidikan Negara tetapi juga turut terjerat dalam aliran dan cara berfikir yang dualistik serta dikotomik.
Untuk mengelak daripada aliran dan cara berfikir yang sedemikian, pelan tersebut perlu merangkum kurikulum yang turut mementingkan para pengajar dan proses.
Bahkan, Islam sendiri menekankan kedua-dua sisi tersebut sekaligus: pengajar dan pelajar; juga hasil dan proses.
Hanya ramuan bersepadu yang adil-beradab antara kedua-duanya sahaja yang dapat menjamin kejayaan tulen.
Juga penting untuk dijelaskan, khasnya dalam perincian pelan tersebut, bukan sahaja setiap satu sifat pelajar yang ditekankan itu tetapi juga jalinan hubungan timbal-balik dinamik antara keenam-enam sifat pelajar itu.
Walau bagaimanapun, sifat-sifat demikian bukan sahaja perlu ada pada para pelajar tetapi, lebih penting lagi, juga perlu wujud pada diri para pengajar mereka.
Bahkan, para pengajar semestinya menjadi contoh-ikutan terbaik perihal sifat-sifat tersebut, sebagaimana yang kelihatan terangkum pada prinsip teras berkaitan lonjakan pertama yang menyatakan “pendekatan terbaik pembelajaran adalah melakukannya — mengajar melalui teladan.”
Perincian terhadap semua yang dinyatakan di atas turut akan menjadi ujian untuk mengukur sejauhmana para perancang dan pelaksana pelan tersebut benar-benar mempunyai jati-diri sambil bersifat berdaya-cipta.
Sebagai contoh, sekiranya dalam menerangkan hakikat, sifat dan bentuk berfikir pun, masih ramai yang tertakluk-terikat dengan taksonomi Bloom atau yang seumpamanya, selain mengabaikan usaha menelaah dan mengolah kembali khazanah hikmah dalam tamadun Islam sendiri, maka semua itu hanya menzahirkan jiwa hamba yang kerdil dan bersifat pak turut.
Dalam Falsafah Ilmu Islam, daya fikir dengan segala bentuk dan wajahnya sebenarnya hanya satu daya kebolehan akal.
Selain daya fikir, akal turut merangkum daya-daya kebolehan yang lain.
Satu daripada daya-daya itu adalah kemampuan muhasabah yang bersifat refleksif yakni: kemampuan menilik dan mengenal diri sendiri sehinggakan insan dapat secara serentak menjadi “yang mengetahui” dan “yang diketahui.
Sekiranya diakui bahawa pendidikan merupakan saluran dan proses utama untuk mengasuh, memupuk dan meningkatkan mutu akal dan ilmu insan, maka pendidikan yang sama juga perlu menggarap dengan wajar dimensi muhasabah.
Garapan sedemikian pasti akan melibatkan tuntutan agar kaedah dan kemahiran pengajaran dan pembelajaran turut bersifat refleksif, khasnya pada peringkat pengajian tinggi, dan melibatkan bukan sahaja para pengajar tetapi juga para pelajar.
Namun begitu, tanpa merangkum mata-mata pelajaran yang lebih bersifat refleksif pada kadar yang munasabah, garapan yang dimaksudkan di atas tidak akan dapat dilaksanakan dengan berkesan.
Mata-mata pelajaran tersebut pula selalunya bersifat falsafah (pemikiran) dan sejarah sekaligus dan seringkali pula bersifat merentas disiplin (interdisciplinary) dan melampaui disiplin (meta-discipline).
Mata-mata pelajaran seperti itulah yang semestinya mendasari pendidikan “seni liberal” yang, menurut pelan tersebut, akan ditingkatkan dalam kurikulum sebagai inisiatif utama berkaitan lonjakan pertama tersebut.
Tanpa semua ini dilaksanakan dengan baik, sistem pengasuhan dan pendidikan kita bukan sahaja tidak dapat menyediakan persekitaran yang dapat menyuburkan budaya muhasabah tetapi yang lebih buruk lagi, menafikan serta memusuhi budaya tersebut.