Perniagaan adalah amalan ekonomi yang penting dalam menyusun dan membangun sesebuah masyarakat dan negara. Bahkan keutuhan sesebuah tamadun masyarakat berkait rapat dengan amalan perniagaan dalam masyarakat terbabit. Nabi s.a.w. mengingat umat Islam tentang pentingnya amalan perniagaan. Baginda ada bersabda bahawa sembilan puloh peratus punca rezeki di dunia adalah dari amalan perniagaan.
Memahami peringatan Nabi s.a.w. tersebut, umat Islam perlu memberi tumpuan yang penting kepada sektor perniagaan. Dalam hubungan tersebut Malaysia berhasrat untuk mewujudkan masyarakat peniaga dan perindustrian bumiputra yang cemerlang dan berjaya. Dalam usaha ke arah pencapaian tersebut kita perlu membangun satu pendekatan dalam amalan perniagaan yang berdaya maju secara berterusan. Disamping itu pendekatan tersebut perlu menghala kepada keharmonian kehidupan masyarakat keseluruhannya semoga tamadun yang dibina pada akhirnya menepati keredhaan Illahi – iaitu sebuah masyarakat atau negara yang memperolehi keampunan dan Rahmat berpanjangan dari Illahi.
Dalam usaha memantapkan budaya perniagaan semoga usaha gigih golongan tersebut terus cemerlang dalam suasana globalisasi ekonomi masa kini, pendekatan perniagaan yang unggul perlu di ketengahkan. Untuk rencana ini, satu pendekatan perniagaan ialah Keuntungan Perniagaan Melalui Tanggungjawab Sosial. Pendekatan ini jika dihayati dengan tepatnya pasti akan membawa hasil yang positif bukan sahaja kepada prestasi perniagaan mereka tetapi sekali gus dapat membangun keadilan sosio ekonomi dan tamadun masyarakat. Pendekatan ini menganjurkan kepada keharmonian di antara kepentingan atau hak peniaga melalui amalan kebajikan masyarakat. Pendekatan ini turut menjadi asas kepada penyusunan dan pembinaan sesebuah tamadun masyarakat manusia.
Dalam teori perniagaan semasa, pendekatan stakeholder adalah pendekatan yang paling hampir dengan pendekatan tersebut. Pendekatan ini memberi tumpuan kepada kebajikan hasil dari perniagaan di nikmati oleh kesemua yang terlibat, seperti pemilik modal, pekerja, pemerintah, pelanggan, alam persekitaran dan sebagainya dalam membangun sektor perniagaan.
Prinsip hidup berharmoni ini menjelaskan bahawa sesebuah sistem pengendalian perniagaan dalam negara jika ingin maju dan terus membangun, kepentingan peniaga dalam usaha kegiatan dalam apa bentuk perlu mendapat ganjaran atau pulangan yang adil kepada peniaga terbabit. Keuntungan yang berpatutan dari usaha perniagaan dan perdagangan kepada peniaga adalah sesuatu hukum yang tabii serta adil. Prinsip ini menghormati individu peniaga dan sekali gus menjaga kepentingan keutuhan hidup bermasyarakat.
Keuntungan dalam perniagaan adalah hasil dari usaha yang gigih serta berkesan oleh seseorang peniaga. Setiap kegiatan perniagaan tidak semestinya menghasilkan keuntungan. Adakala peniaga terpaksa menghadapi kerugian. Untung dan rugi adalah hukum yang lumrah. Justeru itu memperoleh keuntungan bukan sesuatu yang perlu di pandang serong. Jika kegiatan perniagaan tidak menyalahi agama dan keuntungan berpatutan diperolehi, ia menggambarkan satu kejayaan yang mulia dan boleh dibanggakan. Ini adalah kerana pendekatan ini mampu membawa kepada perolehan keuntungan berpanjangan.
Mengakui hukum pulangan ini sebagai sesuatu yang lumrah akan membina semangat setiap peniaga semoga halus dan rapi dalam menjalankan sesuatu kegiatan perniagaan dan perdagangan mereka semoga di dalam pengiraan awal mereka, kerugian perlu sentiasa cuba dijauhi.
Keuntungan akan diperolehi apabila jumlah hasil mengatasi jumlah kos. Jika sesuatu perniagaan di urus dan dilaksana secara positif jumlah hasil mampu ditingkatkan melalui jumlah jualan barangan terlibat. Dalam dunia yang tidak berbatas sekarang ini, jumlah jualan tidak terhad. Yang membatasi ialah persaingan yang sengit dari pengusaha dan peniaga dalam dan luar negara. Ruang untuk mengembangkan jumlah jualan, luas terbentang. Berjaya menembusi pasaran antarabangsa mencermin kemampuan peniaga menguasai dalam saham pasaran barangan tersebut.
Mengikut hukum perniagaan, mutu kegunaan dan harga adalah dua faktor yang utama yang menentukan permintaan kepada barangan tersebut. Untuk mencapai kejayaan secara berterusan untuk jangka panjang, strategi penguasaan pasaran untuk sesuatu barangan perlu menjadi strategi sesebuah organisasi perniagaan. Pencapaian kepada matlamat ini memerlu syarikat tersebut melibatkan dengan usaha kajian dan penyelidikan yang maju dan berterusan semoga mutu penghasilan barangan syarikat terbabit terus menerus meningkat dan sentiasa sesuai dengan keperluan dan kebajikan pengguna. Matlamat ini tidak mungkin diperolehi melalui jalan mudah bahkan ia memerlukan kepada wawasan dan usaha yang jujur serta gigih pihak pengeluar dan perniaga pada setiap masa. Usaha-usaha yang positif ini memerlukan kepada akhlak kepimpinan syarikat yang jitu semoga kejayaan tersebut berterusan, demi kepentingan bersama peniaga serta kebajikan pengguna.
Melalui barangan perniagaan yang bermutu serta harga yang berpatutan, jumlah besar jualan akan diperolehi dan akan dapat dipasarkan bukan sahaja dalam negara bahkan di peringkat pasaran antarabangsa. Kejayaan tersebut dapat meningkat jumlah keuntungan syarikat. Harga yang berpatutan juga akan dapat meluaskan faedah kegunaan barangan terbabit kepada golongan pengguna yang berpendapatan rendah. Kebajikan dari kepenggunaan barangan makin meluas.
Dari aspek kos kepada syarikat, beberapa bentuk kos perlu ditanggani semoga jumlahnya dapat dikurangkan. Kos, membabitkan kos modal, pengurusan penyelidikan, pengeluaran dan pemasaran. Melalui perancangan dan kepakaran yang tinggi serta sentiasa menanamkan sikap untuk mengurangkan pembaziran daripada berlaku, nescaya usaha-usaha tersebut akan menghasilkan penurunan kos. Jika nilai akhlak Islam disepadukan dalam pengawalan kos tersebut, kos sosial tidak langsung seperti keruntuhan akhlak pekerja dan pencemaran alam persekitaran turut akan diambil kira. Kos sosial ini adalah faktor negatif yang turut menjejas kemajuan prestasi syarikat terbabit dalam jangka masa panjang. Tanpa akhlak pekerja yang tinggi serta alam persekitaran yang sihat, prestasi syarikat akan menurun dalam jangka panjang. Suasana negatif tersebut jelas akan meruntuhkan kestabilan dan kebajikan masyarakat.
Kos langsung dan kos tidak langsung seperti kos sosial perlu diambil kira dalam pengurusan kos oleh sesebuah syarikat. Ia sangat menepati semangat pendekatan keuntungan perniagaanmelalui tanggungjawab sosial. Kejayaan mengurangkan kos oleh sesebuah syarikat mengikut perspektif di atas adalah suatu kejayaan yang memaparkan tahap kepakaran pengendalian perniagaan terbabit sudah dapat ditingkatkan. Ia juga menggambarkan bahawa usaha mengurangkan kos meliputi amalan akhlak pekerja serta alam persekitarannya.
Dari logik analisis di atas jelas bahawa keuntungan melalui pendekatan yang berakhlak ini adalah suatu pendekatan yang berdaya maju yang menjelaskan sifat tanggungjawab yang tinggi dihayati oleh syarikat terbabit dalam kegiatan perniagaan mereka. Pendekatan ini rata-rata menjadi budaya kepada syarikat swasta yang berjaya pada masa ini yang beroperasi diperingkat sejagat.
Prinsip keuntungan perniagaan melalui tanggungjawab sosial jika dihayati melalui perspektif di atas akan menghasilkan sebuah budaya perniagaan yang sihat yang mampu memperolehi kejayaan syarikat serta sekali gus dapat membangunkan taraf dan mutu hidup masyarakat.
Dengan pengenalan pendekatan perniagaan ini, semangat juang dan amalan pertanggung jawaban sosial mulai dapat dicetuskan. Membina budaya yang positif bukan perkara yang mudah dan dapat dihasil dalam masa yang pendek. Tambah lagi dalam budaya pendekatan perniagaan semasa dimana kepentingan individu menjadi teras utama. Memupuk kesedaran kepada golongan yang berjaya dalam perniagaan untuk sama-sama menangani persoalan sosio ekonomi masyarakat adalah usaha untuk membabit dan meletakkan sektor swasta sebagai teras dalam membangunkan sebuah negara yang maju. Jika usaha ini berhasil, ia merupakan satu kejayaan yang besar.
Pendekatan Islam yang bercorak syumul (holistic) seperti perbincangan di atas menyarankan kepada pendekatan keuntungan perniagaan melalui tanggungjawab sosial hendaklah difahami dan dihayati dalam rangka yang syumul dan berdaya maju. Ia seharusnya dilihat sebagai salah satu garis panduan pendekatan dari awal sehingga penghujung kegiatan perniagaan sesebuah syarikat. Pendekatan ini bukan sekadar untuk mencapai peningkatan keuntungan sesebuah syarikat dan pembangunan ekonomi negara sahaja, bahkan ia hendaklah diyakini sebagai usaha untuk memantap nilai kemanusiaan dalam membina sebuah tamadun yang mulia.
Disamping itu, pendekatan perniagaan seperti yang dianjur di atas ingin membudayakan usaha meningkat kecekapan dalam mengurus kegiatan perniagaan. Kecekapan yang tinggi dalam mengurus perniagaan sangat-sangat dituntut oleh Islam. Tanpa usaha yang gigih dan berkesan ke arah pencapaian kecekapan dalam mengendalikan urusan perniagaan, peniaga Muslim mustahil akan dapat berperanan di arus perdana ekonomi negara dan antarabangsa.