Melangkah ke tahun baru dengan azam yang baru, sudah menjadi kata sepakat bagi setiap insan yang menginginkan perubahan dalam hidup. Sesungguhnya dengan azam dan semangat yang kental, setiap insan mampu mengubah perjalanan hidup mereka menjadi lebih berjadual dan bermakna. Sesungguhnya, setiap hati menganggap bahawa mendepan ke tahun baru sama ada tahun hijri atau masehi, ia penuh dengan larikan cita- cita dan impian yang mungkin akan dicapai dan dilaksanakan pada tahun tersebut. Walaupun begitu, terpulang kepada hati masing- masing untuk menilai sejauh mana perubahan yang bakal dicorakkan dalam diri sama ada menginjak kepada kebaikan atau sebaliknya.
Muhasabah menyoroti diri adalah lebih utama agar dapat diselak kekurangan diri dan ia juga dapat memperbaiki keadaan diri dari semasa ke semasa. Setiap daripada kita perlu melihat jauh ke dalam diri agar kekurangan sebelum ini dapat ditampung dengan kelebihan pada hari yang mendatang dengan mengamalkan konsep hari ini adalah lebih baik dari semalam.
Begitu juga jika kita tinjau dari sudut kesihatan. Berapa ramai yang menyematkan dalam hati sebagai azam tahun baru untuk menjaga pemakanan agar kesihatan tidak terabai? Mungkin setelah berhadapan dengan ujian kesakitan, barulah seseorang merasakan bahawa kesihatan itu merupakan harta yang amat bernilai. Justeru, ia perlu dijaga. Sesungguhnya telah pun disabdakan oleh Junjungan Besar kita yang telah diriwayatkan oleh Imam Bukhari, Tirmidzi dan Ibn Majah iaitu ” Dua nikmat agung yang diabaikan kebanyakan orang ialah kesihatan dan masa lapang”. Kadangkala, setelah sesuatu yang berharga itu tiada, barulah seseorang menghargai betapa bernilainya nikmat tersebut. Begitu juga dengan nikmat kesihatan, setelah kita diuji dengan kesakitan, barulah terasa beruntungnya dengan nikmat yang kita miliki selama ini.
Sejajar dengan itu, menginjak ke tahun baru, bukan setakat kita menyimpan azam dan impian dari segenap segi kehidupan tetapi usahlah dilupakan juga dengan kesihatan diri yang bakal menjamin kita menterjermahkan segala impian dan azam menjadi kenyataan. Cuba kita muhasabah kembali, bagaimana gaya hidup kita sebelum ini? Adakah telah mengamalkan gaya hidup yang sihat atau masih lagi memandang mudah tentang kesihatan? Seandainya kita telah pun mengamalkan gaya hidup yang sihat, menjaga keseimbangan pemakanan, bersyukurlah kerana kita diberi kesedaran tersebut dan masih memiliki nikmat kesihatan sehingga ke saat ini. Justeru itu, tatacara hidup tersebut perlu dikekalkan atau diberi penambahbaikan agar kesihatan jasmani dan rohani menjadi lebih mantap. Contohnya, jika sebelum ini, kita telah pun mengamalkan pemakanan sempurna tapi kita masih belum berkesempatan mengamalkan senaman atau amalan jasmani yang lain, jadi inilah masanya kita menambahkan senarai azam dan niat agar tahun mendatang, amalan tersebut juga menjadi keutamaan agar kesihatan tetap dapat dipelihara dan ditingkatkan. Begitu juga dengan perokok tegar, jika sebelum ini pernah menghisap rokok berkotak- kotak, tahun baru ini perlu dijadikan titik perubahan agar dapat mengurangkan kekerapan merokok sedikit demi sedikit dan akhirnya mungkin dapat meninggalkan terus tabiat merokok. Bilakah lagi untuk kita tanamkan keazaman tersebut jika bukan sekarang? Ia bukanlah boleh berubah secara langsung tetapi memerlukan keazaman yang kental dan seharusnya lebih memikirkan akan peri pentingnya kesihatan diri berbanding dengan ketagihan tersebut.
Telah terakam dalam sabda Nabi Muhammad SAW yang diriwayatkan oleh Imam Muslim yang berbunyi: “Orang beriman yang kuat lebih baik dan dicintai oleh Allah SWT berbanding orang beriman yang lemah”. Ia melambangkan kepada kita bahawa Nabi Muhammad SAW menyarankan umat Islam secara individu mahupun masyarakat mementingkan kesihatan agar dapat menjalani kehidupan yang lebih baik. Oleh itu, setiap Muslim hendaklah berusaha sedaya upaya untuk memperbaiki hidup secara sihat dan memperbaiki kesihatannya agar menjadi seorang manusia yang kuat. Dengan kesihatan itulah, kita sebagai manusia mampu mengubah nasib dan meraih kehidupan agar menjadi lebih baik kerana di tangan kitalah terletak kekuatan untuk mengubah apa yang ada pada diri kita sepertimana yang telah difirmankan dalam surah ar Ra’d ayat 11.
Apa yang penting adalah istiqamah yang menjadi pencorak ke hadapan sekiranya selama ini kita telah banyak melakukan perubahan yang terbaik untuk kesihatan diri. Ini kerana, mutakhir ini bukan sedikit yang menderita sakit dengan penyakit- penyakit yang sebenarnya boleh diatasi dengan langkah pencegahan sedari awal. Oleh itu, kepentingan langkah pencegahan juga tidak boleh dinafikan dalam pemeliharaan kesihatan kerana ia terangkum dalam aliran hidup yang sihat. Langkah pencegahan juga adalah langkah berjaga- jaga bagi memastikan penyakit dapat dihindari di samping dengan langkah pemantauan kesihatan. Sekiranya semua segi ini dapat kita penuhi, tidak hairan sekiranya kesihatan jasmani dan rohani itu kita terus nikmati.
Langkah pencegahan yang boleh kita amalkan sebagai contoh dalam memelihara kesihatan ialah pemakanan seimbang, kebersihan penyediaan makanan, kebersihan persekitaran dan sebagainya mungkin sebagai persediaan awal untuk mengelakkan daripada pelbagai penyakit. Namun, ia perlu istiqamah dalam setiap amalan agar keberkesanannya terus terasa di samping bertawakkal kepada Allah. Jalan usaha dan ikhtiar telah kita lakukan, akhirnya seharusnya kita berserah kepada penentuan Allah. Oleh itu, kita tidak akan rugi jika bermula dari saat ini, perubahan dapat dilakukan, anjakan pemikiran perlu dimulakan agar kelangsungan hidup yang diteruskan ini dapat dirasai dengan nikmat kesihatan yang berkekalan.
Kita memulakan perubahan adalah untuk diri sendiri, masyarakat, agama dan negara. Perubahan yang dilakukan mestilah berteraskan ilmu. Dalam ruang lingkup perbincangan ini, membuat perubahan untuk kesihatan sempurna juga perlu bermula dengan ilmu di samping iltizam yang teguh. Jika hanya ikut- ikutan dan bukan bermula daripada kesedaran diri, ia mungkin tidak mampu bertahan dengan lebih lama. Sesuatu yang dilakukan berdasarkan kekuatan dalaman disertai dengan pengetahuan yang cukup akan membuahkan hasil yang memberangsangkan kerana ia adalah natijah yang terbit dari keikhlasan. Jika pada tahun baru ini, kita ingin mengubah gaya hidup menjadi lebih tersusun, sihat dan bermakna, ia perlu bermula dari dalam diri. Tanya dahulu hati, adakah perlu membuat perubahan, adakah perlu mengekalkan tabiat hidup yang lama, apa yang perlu diubah dan apa yang perlu dicapai? Berdasarkan ilmu dan pengetahuan yang ada, sesungguhnya setiap orang akan mempunyai pelbagai jawapan untuk mendapat natijah akhirnya ialah nikmat yang tiada ternilai iaitu kesihatan. Usah disiakan ilmu yang dimiliki tapi gunakanlah ia sebagai panduan untuk kita terus mengekalkan kesihatan dan ia bukanlah menjadi satu omongan kosong tanpa penterjemahan yang mendalam dalam kehidupan. Jadikanlah tahun baru ini sebagai satu titik tolak dalam kita membuat perubahan dalam kehidupan khususnya dalam mengekalkan kesihatan agar impian kita yang dijadualkan terus terlaksana dengan adanya kesihatan yang kita pelihara sekarang.