KETIKA Abdullah Tarmugi, Menteri Pembangunan Masyarakat dan Sukan, merangkap Menteri Hal Ehwal Masyarakat Islam, Singapura melawat Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) Selasa lalu, di antara perkara yang menjadi kebimbangannya ialah isu krisis pemikiran yang dihadapi masyarakat Islam dari sudut yang membawa kepada sikap fanatik, minda yang tertutup, konservatif, tidak peka dengan aliran-aliran semasa seperti isu globalisasi, teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dan sebagainya. Beliau bimbang bahawa gejala ini tidak membawa masyarakat Islam ke arah kecemerlangan di dalam bidang kehidupan moden pada zaman teknologi ini.
Pada hari yang sama, IKIM menganjurkan satu majlis diskusi buku tentang penonjolan negatif tentang Islam dan umatnya di dalam cerita rekaan Inggeris berdasar satu kajian yang dijalankan oleh Jabatan Bahasa Inggeris, Universiti Islam Aligarh , India dalam program penyelidikannya yang bertajuk Stranger Than Fiction: Images of Islam and Muslims in English Fiction (Aneh daripada Cereka: Imej-imej Islam dan orang Islam dalam Cereka Inggeris).
Kedua-dua isu yang ditimbulkan di atas iaitu oleh seorang menteri Islam dari Singapura dan kajian tentang imej Islam dan Muslim di dalam karya-karya sastera Inggeris mempunyai hubungan yang rapat tentang gambaran dan persepsi umum terhadap Islam dan penganutnya di dalam dunia moden hari ini.
Gambaran yang diberikan tentang tertutupnya pemikiran orang Islam dan terpencilnya cara berfikir mereka dari dunia global dan industri serta teknologi yang penuh cabaran ini sering menolak mereka ke belakang, jauh daripada kemajuan dan ketrampilan masyarakat dunia lain yang berlumba-lumba mengejar tempatnya di dalam dunia ini.
Cara berfikir orang Islam yang menolak kemajuan dunia dalam serba kecanggihannya kerana berpandangan bahawa hal ini boleh membawa kepada kerugian di akhirat sebenarnya menjadikan mereka mundur dan tidak mendapat sesuatu di dunia ini, sedangkan dunia ini adalah ladang akhirat.
Kerana kemunduran dan ketinggalan zaman dan kelemahan yang amat ketara di dalam masyarakat Islam, ditambah pula dengan tekanan-tekanan yang menjadikan umat Islam sering bersikap agresif dan ganas, maka hal ini amatlah mudah dipergunakan oleh media antarabangsa untuk memprojekkan Islam dan umatnya dalam gambaran yang amat negatif dan buruk.
Gambaran negatif ini akhirnya bukan hanya tergambar di dalam berita-berita dunia dan tulisan-tulisan yang dibawakan oleh media cetak, malah menjadi lebih tersebar dengan meluasnya melalui media elektronik Barat dan Timur yang memusuhi dunia Islam, iaitu dengan membawakan gambaran-gambaran keganasan, kemiskinan, kemunduran ekonomi dan ilmu di kalangan masyarakat Islam seluruhnya.
Hal ini digambarkan dengan begitu menonjol sehingga memberi kesan kepada seluruh masyarakat manusia bahawa orang Islam adalah orang yang ganas dan militan, malah agama Islam adalah agama yang ketinggalan zaman dan tidak sesuai dengan zaman moden, tanpa mengkaji selanjutnya kenapa umat Islam menjadi radikal dan ganas dari segi penjajahan mental, fizikal, ekonomi dan politik oleh pihak Barat sendiri, yang bertindak menindas umat Islam yang sememangnya lemah itu.
Imej negatif Islam dan orang Islam ini akhirnya meresap masuk ke alam fiksyen dan filem. Telah berapa banyak filem yang dihasilkan termasuk di Hollywood, yang menggambarkan Islam sebagai agama kekerasan dan keganasan.
Seorang watak Islam yang digambarkan di dalam filem umpamanya, akan ditonjolkan sebagai seorang wira yang memegang al-Quran di sebelah tangannya, dan memegang senjata mesingan di sebelah tangannya yang satu lagi dalam mengembangkan ideologi agama Islam.
Demikian jugalah imej negatif yang digambarkan melalui karya-karya rekaan yang diterbitkan di dalam bahasa Inggeris di seluruh dunia, yang rata-ratanya menggambarkan watak-watak yang mencemarkan imej agama dan penganut Islam.
Pendeknya gambaran negatif Islam dan orang Islam dalam media cetak dan elektronik dapat dilihat dari dua dimensi yang berbeza.
Pertama ialah realiti dan kenyataan yang ada di dalam masyarakat Islam dan dunia Islam sendiri yang rata-ratanya amat menepati dengan propaganda tentang keburukan Islam yang cuba digambarkan oleh para musuh Islam itu.
Kejumudan berfikir, kemunduran ilmu pengetahuan, sains dan teknologi, ketinggalan dalam kehidupan moden yang menjadi infrastruktur dunia maju kini, sikap pengasingan diri daripada arus moden dunia sekarang, dan kadang-kadang lebih cenderung kepada berfikir secara emosi dan agresif, maka semuanya ini merupakan unsur yang amat ketara yang dapat dieksploitasikan oleh orang yang sengaja ingin menjatuhkan imej dan nama baik agama Islam dan penganutnya secara keseluruhan.
Kedua, sikap musuh Islam sendiri memanglah amat jelas dalam isu imej Islam ini, terutamanya dalam usaha mengkotak-katikkan masyarakat Islam dan memecah belahkan mereka. Dasar ini adalah dasar penjajahan, iaitu `pecah kemudian perintah’.
Pecah-pecahkan masyarakat Islam maka dengan itu dapat masyarakat Islam itu diperintah dan dibawa turun mengikut telunjuk penjajahan bentuk baru.
Cara untuk melaksanakan dasar ini terlalu banyak, umpamanya membawa negara Islam untuk bergantung kepada negara Barat yang maju dari sudut ekonomi, teknologi malah pemikiran dan cara pemerintahan mereka, kemudian wujudkan krisis di dalam negara-negara Islam, sehingga negara-negara itu akan terus kekal di dalam kemunduran, kelemahan dan sebagainya, maka selama-lamanya umat Islam akan bertelagah, berpecah, maka mereka tidak akan dapat membangun dengan jayanya.
Pendeknya dari kedua-dua dimensi ini ternyata bahawa pengayuh sebenarnya adalah berada di tangan orang Islam sendiri. Mereka yang seharusnya sentiasa berusaha mengkaji kelemahan dan kemunduran mereka, dan berusaha bersungguh-sungguh untuk mengatasinya.
Orang Islam tidak boleh mengharapkan orang lain, terutamanya mereka yang terkenal memusuhi Islam, untuk menolong mereka dalam memajukan negara dan diri orang Islam dan negara Islam sendiri.
Satu perkara penting yang dicapai di dalam hampir keseluruhan perbincangan yang penuh diadakan tentang hal ini termasuk dengan menteri dari Singapura, dan kesimpulan pembicaraan buku yang tersebut, ialah kepentingan ilmu pengetahuan kepada orang Islam yang merangkumi semua bidang dan disiplin, keterbukaan cara berfikir dan kecemerlangan di dalam agenda pembangunan umat dan negara.
Inilah di antara rencah penting yang kelihatan amat kurang di dalam masyarakat Islam dan keadaan ini sering menyebabkan kemunduran, kelemahan dan ketidakmatangannya umat Islam kini.