APABILA memperkata wanita dan Islam, kita maklum bahawa wanita Islam amat bertuah kerana mereka diberikan pelbagai hak oleh Islam. Wanita Islam ada hak untuk beragama, berekonomi, mendapat pendidikan, sosial dan sebagainya. Islam bukan saja mengeluarkan wanita daripada penindasan yang mereka alami, malah memberikan mereka hak yang sebelum ini tidak dimiliki.
Seiring dengan hak yang diberi oleh Islam ini, Kerajaan Malaysia melalui dasar-dasarnya berusaha untuk membangunkan kaum wanitanya. Ini dilakukan bukan saja kerana ia adalah tuntutan agama, malah percaya bahawa jika kaum wanita tidak dimajukan, maka separuh warganya akan mundur. Sebaliknya, jika kaum wanita dimajukan, bukan saja separuh warganya akan sama-sama maju, malah mampu menyumbang kepada pembangunan negara.
Dengan hak dan peluang terbuka, wanita di Malaysia menyahut seruan untuk maju dan menyumbang kepada negara, bersama-sama kaum lelaki. Hingga kini tiada bidang yang tidak diceburi oleh wanita, malah ada antara mereka yang berjaya memegang jawatan tinggi sama seperti lelaki.
Kalau dilihat daripada segi ini, wanita Malaysia memang bertuah. Mungkin ada yang bertanya, apa lagi yang wanita Islam di Malaysia mahukan? Agama Islam memberi mereka hak yang sama seperti lelaki. Kerajaan Malaysia juga membuka seluas-luasnya peluang untuk mereka turut serta. Jadi, apa lagi yang mereka mahu?
Memang benar, sekali pandang, wanita Islam di Malaysia memang bertuah. Terlalu banyak yang boleh kaum wanita lakukan hingga sukar untuk mengenal pasti apa yang tidak boleh dilakukan. Namun, jika kita lihat dengan lebih mendalam, sebenarnya masih ada ruang yang boleh diperbaiki. Bukan kerana wanita itu sukar untuk dipuaskan, tetapi kerana ada bidang yang wanita berasa tersepit. Bukan kerana Islam atau dasar kerajaan, tetapi hanya kerana teman hidup wanita iaitu lelaki, tidak memberi tindak balas positif dan sewajarnya terhadap fungsi mereka di sisi wanita yang juga amanah Tuhan kepada mereka.
Bidang yang boleh dipertingkatkan ialah pembangunan keluarga, pembangunan kerjaya dan undang-undang. Memang diakui bahawa tidak semua wanita bernasib malang dan tidak semua lelaki tidak memberikan tindak balas positif. Namun, jika kita buka majalah dan akhbar, inilah antara perkara yang menjadi keluhan kaum wanita daripada dulu hingga kini.
Dalam era di mana suami isteri sama-sama keluar bekerja, pasti isteri mahukan suami mereka sama-sama menguruskan rumah tangga dan anak-anak agar beban yang dipikul oleh mereka dapat dikurangkan.
Isteri tidak meminta agar suami mereka melakukan semua perkara, tetapi memadailah dengan membantu. Malangnya, ramai suami tidak berbuat demikian. Keadaan ini sering kali menimbulkan konflik dalam hubungan suami isteri yang boleh menjejaskan kemesraan dalam rumah tangga.
Pembabitan suami adalah penting bukan semata-mata untuk mengurangkan beban isteri. Sebenarnya, kajian menunjukkan bahawa pembabitan suami atau bapa ini akan memberi kesan yang positif kepada perkembangan anak mereka.
Anak-anak juga perlukan ikatan dengan bapa mereka. Ini hanya akan berlaku jika kaum bapa sama-sama terbabit dalam penjagaan mereka. Selain itu, bapa yang membabitkan diri secara aktif dalam pembangunan keluarga juga menjadi model kepada anak lelakinya bagaimana mereka seharusnya bertingkah laku dalam perkahwinan kelak.
Anak lelaki yang hanya melihat si bapa membaca akhbar akan meneruskan pola ini dalam rumah tangganya sendiri. Sebaliknya, anak lelaki yang melihat bapa membantu ibu menguruskan rumah, akan juga membantu isterinya apabila berumah tangga kelak.
Perkembangan terkini di kalangan keluarga muda menunjukkan bahawa suami dan bapa secara aktif terbabit dengan urusan rumah tangga dan anak-anak. Ini satu perkembangan positif. Diharapkan lebih ramai suami dan bapa yang memberikan tindak balas positif seperti ini.
Dalam bidang kerjaya pula, masih ada wanita yang didiskriminasikan. Sesetengahnya mendapat gaji yang lebih rendah berbanding lelaki untuk jawatan yang sama. Sesetengah yang lain perlu bekerja lebih keras untuk membuktikan dia setanding dengan rakan sekerja lelaki dalam jawatan yang sama.
Dalam hal kenaikan pangkat pula, ada yang berasa calon yang berjaya itu berjaya hanya kerana dia lelaki. Manakala dalam mesyuarat pula, pandangan wanita sering kali tidak mendapat tempat. Tidak semua organisasi mendiskriminasi wanita, namun kes di atas pernah berlaku dan akan terus berlaku jika lelaki terus tidak mahu mengiktiraf kebolehan wanita.
Setiap individu yang berkebolehan, perlu diiktiraf tanpa mengira jantinanya. Diskriminasi, dalam apa bentuk sekalipun ialah satu ketidakadilan dan bertentangan dengan Islam.
Pada zaman sahabat, mereka tidak ada masalah untuk mengiktiraf kaum wanita. Buktinya, Saidatina Aisyah sering dirujuk dalam hal hukum dan hadis. Mengapa kita tidak boleh berbuat demikian jika ternyata wanita memang pakar dalam bidangnya?
Dalam bidang undang-undang, kita akui bahawa undang-undang keluarga Islam memihak kepada wanita. Namun, undang-undang hanyalah satu alat untuk mendapatkan keadilan. Sebagai satu alat, ia tidak semestinya alat terbaik.
Bagi wanita, masalah berkaitan undang-undang ini banyak. Pertama, masalah pemahaman. Dalam bentuk bahasanya yang tersendiri, wanita tidak boleh dipersalahkan jika ramai daripada mereka tidak memahaminya. Dari segi ini, ramai lelaki juga tidak memahaminya.
Kedua, masalah tuntutan. Jika dalam sesuatu perkahwinan suami tidak menjalankan kewajipannya, wanita perlu menuntut. Masalahnya ialah bukan saja wanita perlu mendapatkan khidmat seorang peguam agar kesnya berjalan lancar dan ini membabitkan kos, malah memikirkan kesan tuntutan itu terhadap hubungan mereka suami isteri.
Ketiga, masalah suami yang dituntut itu tidak hadir ke mahkamah. Dalam hal ini, isteri sering kali tidak dapat berbuat apa-apa manakala kesnya perlu ditangguh beberapa kali.
Jelasnya, walaupun undang-undang boleh memberi keadilan, namun proses untuk mendapatkan keadilan itu begitu panjang dan berliku. Tidakkah semua ini dapat dielakkan hanya dengan kaum lelaki menjalankan kewajipan mereka sebagai suami yang baik dan bertanggungjawab?
Jika ditakdirkan jodoh mereka pendek, tidak bolehkah kaum lelaki melepaskan isteri mereka dengan baik dan terus bertanggungjawab terhadap nafkah anak mereka seperti yang dituntut oleh Islam? Perkara seperti inilah yang menggusarkan wanita dan mereka yang memperjuangkan hak wanita.
Islam dari segi zahirnya memberikan hak tertentu kepada wanita dan kerajaan Malaysia pula menyokong keadaan itu. Hakikatnya, jika hubungan wanita dengan rakan seperjuangannya – lelaki – tidak berjalan dengan baik, sukar untuk wanita menjalani kehidupan aman dan tenteram. Oleh itu, wanita Islam di Malaysia amat memerlukan tindak balas positif lelaki dalam bidang ini agar mereka dapat berfungsi dengan lebih berkesan dalam keluarga dan masyarakat.