Penjajahan berterusan bumi Palestin dan kegagalan umat Islam untuk membebaskannya hingga saat ini menunjukkan kepada kelemahan dan perpecahan umat Islam. Lantas timbul persoalan lanjut: kenapa begitu? Bukankah umat Islam semuanya bersaudara? Tidakkah mereka sepatutnya saling bantu-membantu sesama mereka dan bekerjasama membebaskan saudara seagama dari penindasan dan kezaliman?
Sejarah umat Islam menyaksikan bagaimana kekuatan sesebuah tamadun yang dibina selama berabad-abad akhirnya merosot akibat kelemahan dalaman yang akhirnya membuka jalan kepada penjajahan fizikal tanahair umat Islam. Namun yang lebih dahsyat kesannya kepada umat Islam bukanlah penjajahan fizikal melalui kuasa ketenteraan tetapi penjajahan minda yang bukan berupa belenggu ataupun penindasan bersenjata, tetapi belenggu yang berupa cara fikir, nilai pegangan, dan sikap hidup kita sendiri.
Di antara tanda-tanda besar penjajahan minda ialah perasaan rendah diri terhadap identiti, budaya dan warisan ilmu sendiri apabila segalanya diukur dengan piawaian Barat, sementara tradisi sendiri dianggap lapuk dan ketinggalan. Kesannya adalah suatu bangsa yang tiada keyakinan dan harga diri. Dan tanpa keyakinan terhadap kekuatan Islam sebagai satu sistem nilai yang lengkap kita sering menjadi pengikut buta terhadap idea dan budaya luar tanpa menapisnya dengan pandangan alam Islam.
Dalam jangkamasa panjang penjajahan minda akan melahirkan generasi baharu yang lebih selesa menjadi ‘pengguna’ daripada ‘pencipta’. Kita hanya hebat sebagai pembeli dan pengguna teknologi terkini, tetapi tidak menyumbang sebagai pencipta dan pengeluar teknologi berkenaan Kita juga pantas meniru segala macam budaya popular, tetapi lemah dalam membina identiti budaya sendiri. Dan lebih merisaukan adalah perasaan rendah diri yang amat mendalam sehinggakan para pemimpin umat Islam sendiri takut untuk bersuara dengan yakin dalam isu-isu global. Bagaimankah mereka ini dapat kita harapkan untuk membela nasb umat kalau selepas puluhan tahun merdeka mereka masih menolak cadangan menukarkan nama tempat warisan penjajah kepada nama asalnya hanya kerana takut kehilangan pelancong?
Penjajahan minda adalah punca yang menimbulkan sikap pasif dalam masyarakat menyebabkan ramai yang lebih suka menunggu arahan daripada menjadi pencetus perubahan, padahal sejarah Islam menampilkan contoh-contoh yang amat banyak bagaimana generasi terdahulu mampu memimpin dunia dengan fikiran yang merdeka, dipandu oleh petunjuk wahyu dan akal yang sihat. Itulah sebenarnya yang kita dambakan hari ini.
Langkah yang pertama dan terpenting ke arah pembebasan minda umat Islam adalah tidak lain dari pendidikan semula. Yang dimaksudkan dengan “pendidikan semula” itu ialah usaha untuk membangunkan generasi baharu yang tahu makna diri serta menginsafi tugas dan tanggungjawab mereka di dunia ini, atau dengan kata lain membangunkan Muslim yang sebenar, bukan Muslim hanya pada nama semata-mata. Untuk tujuan itulah maka pendikan Islam hendaklah dibangunkan di atas landasan: alQur’an dan Sunnah, tanpa mengabaikan ilmu-ilmu kontemporari yang berguna untuk kesejahteraan hidup di dunia. Selaras dengan itu, ilmu hendaklah dibudayakan dengan maksud setiap keputusan dan tindakan sama ada di peringkat peribadi, masyarakat atau negara hendaklah dipandu oleh ilmu, bukan sangkaan tidak berasas, emosi ataupun khayalan. Hanya masyarakat yang memiliki budaya ilmu yang mantap mampu menjadi kuat dan berdayasaing dan ini dibuktikan dengan menyeluruhnya budaya membaca, kemampuan berfikir dengan kritis, serta kesediaan masyarakat untuk berdialog tentang apa sahaja secara matang dan bijaksana. Pendek kata, yang diperlukan adalah pendidikan yang matlamat terpentingnya ialah melahirkan insan yang baik, bukan semata-mata warganegara yang bakal dijadikan alat untuk mencapai tujuan-tujuan material sesebuah negara. Dalam sistem pendidikan sedemikian agama, bahasa dan budaya sendiri dihargai dan dijadikan tunjang identiti kerana bangsa yang mengabaikan bahasa dan budayanya akan kehilangan ma’na dirinya, lalu lalu kekal dijajah oleh bahasa dan pemikiran asing.
Dalam sesebuah negara yang kukuh budaya ilmunya kaum ilmuwan dan cendekiawan bukan sahaja dihormati bahkan didengari nasihat dan pandangannya, oleh itu tanggungjawab dan peranan mereka amatlah berat. Kaum intelektual Muslim tidak boleh sekadar menjadi penyokong kuasa pemerintah atau pengulang suara Barat tetapi berani tampil ke hadapam sebagai suara kritis yang menawarkan pandangan yang berani dan membina. Pada masa yang sama media massa sepatutnya memainkan peranan sebagai alat yang ampuh dalam mencorakkan arah tuju pemikiran masyarakat, bukan sekadar menghidangkan hiburan kosong yang melalaikan.
Ternyata usaha pembebasan minda umat Islam bukan tugas mudah dan dibebankan kepada pemerintah semata-mata tetapi hendaklah bermula dari kesedaran setiap lapisan individu Muslim. Justeru, seperti yang dinyatakan dalam al-Qur’an, hendaklah ada segolongan manusia yang tetap teguh di atas jalan yang lurus, gigih mendidik diri sendiri agar berfikir secara kritis, berpegang teguh kepada nilai yang benar, serta menolak kecenderungan dan budaya yang merosakkan. Hanya dengan kesedaran sedemikian kita mampu berharap suatu hari nanti umat ini akan dapat melahirkan generasi baharu yang benar-benar bebas merdeka dari belenggu penjajahan minda.
Selagi umat Islam belum merdeka daripada penjajahan minda, selagi itulah mereka akan kekal menjadi pengikut dalam arus dunia moden. Pembebasan sebenar bukanlah yang berupa pembebasan jasad ataupun wilayah tetapi pembebasan pemikiran. Apabila minda telah merdeka, umat Ismampu kembali menjadi pencipta sejarah, bukan sekadar nota kaki sejarah.

