Sistem pendidikan hari ini sudah menggadaikan kepentingan makna dan tujuan dalam menuntut ilmu serta menggantikannya dengan matlamat-matlamat yang sempit. Kritikan ini telah lama dikemukakan oleh Neil Postman, seorang ahli falsafah pendidikan, lebih 40 tahun lalu.
Misalnya, dalam Teaching as a Subversive Activity, Postman mengkritik bagaimana pendidikan dipolitikkan sehingga melahirkan budaya obsesi terhadap pembaharuan yang bersifat kosmetik dan tidak menyentuh akar masalah. Beliau mencadangkan sebuah model pendidikan baharu yang menekankan pemikiran kritis dan keupayaan mengesan “sampah” (crap-detecting), agar pelajar dapat memahami realiti dan tidak bersikap seperti lembu dicucuk hidung.
Postman juga memberikan amaran bahawa unsur “hiburan” sudah menjadi latar pendidikan secara berlebihan sehingga pendidikan yang serius dan berat dikesampingkan. Pelajar tidak lagi dikerah untuk mendalami makna, tetapi dihiburkan dengan maklumat-maklumat yang tidak semestinya bermakna bagi mereka.
Pemerhatian Postman masih ada kebenarannya jika diteliti konteks institusi pendidikan mutakhir, khususnya universiti, yang bertujuan memenuhi tuntutan ekonomi dan industri—termasuk melahirkan tenaga kerja berkemahiran, menjalankan penyelidikan dan menghasilkan inovasi—tetapi tidak dikelola oleh apa-apa matlamat yang lebih luhur.
Sememangnya, tujuan-tujuan ini mustahak, namun jauh sekali berbeza dengan falsafah hakiki bagi pendidikan sepertimana yang digagaskan oleh para cendekiawan baik dalam tradisi Islam mahupun Barat.
Pada asasnya, tujuan pertama dan utama pendidikan adalah membina peribadi insan. Kemudian barulah kepentingan menyumbang kepada masyarakat menyusul. Umpama pohon yang perlu mengakar dengan kukuh terlebih dahulu sebelum batang, dahan dan buah boleh tumbuh dengan sihat. Bahkan, sememangnya pembinaan sahsiah sepatutnya mencirikan sebahagian besar proses menuntut ilmu.
Dan ilmu hanya akan berperanan sedemikian jika menjadi bermakna buat pemiliknya. Hanya ilmu yang sebati dengan jiwa pemiliknya akan membentuk pandangan hidup dan keperibadiannya.
Menurut Profesor Diraja Terpuji Syed Muhammad Naquib al-Attas, ilmu ialah ketibaan makna ke dalam diri atau ketibaan diri kepada makna, sehingga ilmu itu bersebati dengan diri seseorang.
Manakala, menurut al-Attas lagi, makna pula merujuk kepada letak duduk hakiki sesuatu dalam tatanan hubungan yang lebih besar. Jika kita memahami makna bagi setiap sesuatu, maka kita memahami letak duduk sesuatu itu dalam kehidupan dan peranan hakikinya.
Atas dasar itu, misalnya, ilmu tentang sifat-sifat Allah tidak hanya menambah maklumat tentang Tuhan, tetapi membolehkan seseorang memaknai kedudukan Allah berhubungan dirinya. Lebih mendalam ilmu seseorang tentang Allah, lebih jelas kedudukan Tuhan dalam kehidupannya dimaknai, dan justeru lebih kukuh kesedarannya sebagai hamba (habl minaLlah).
Menurut Ibn Abbas, tujuan utama penciptaan manusia dalam frasa “untuk beribadah kepada-Ku” ayat 56 Surah al-Dhariyat bermaksud “untuk mengenali-Ku.” Jelas di sini bahawa mengenal Tuhan itu menjadi prasyarat bagi ibadah hakiki, dan inilah makna sebenar pengabdian (ubudiyyah).
Demikian juga halnya jika seseorang itu memiliki ilmu tentang dirinya sendiri. Dengan memahami sifat-sifat diri, potensi, batasan dan persekitarannya, seseorang itu berupaya untuk memaknai letak duduk diri yang selayaknya dalam segenap aspek kehidupan—baik di dalam rumah, dalam masyarakat, negara, dunia dan bahkan seluruh alam. Aspek ini pula mencerminkan sisi kemanusiaan (habl min al-nas) dalam makna ubudiyyah.
Malahan, konsep makna juga tidak terbatas hanya kepada ilmu tentang diri dan Tuhan. Sebaliknya, ilmu tentang apa-apa sahaja—ilmu sains, matematik, agama, sosial, dan lain-lain—membolehkan si pemilik ilmu memaknai letak duduk objek ilmu masing-masing. Demikianlah bagaimana meluas dan mendalamnya kepentingan peranan makna dalam proses menuntut ilmu.
Di sinilah lahirnya kegelisahan moden. Menurut Postman, kebanjiran maklumat (information glut) melumpuhkan kita daripada meraih kebahagiaan sebenar, kerana sebahagian besar maklumat yang berlambak di sana sini tidak menawarkan makna yang signifikan buat hidup kita.
Justeru, pendidikan yang menyebatikan makna ke dalam diri para penuntut ilmu bukan sahaja membolehkan mereka untuk mengenalpasti kelebihan dan kemampuan diri, tetapi juga menyedari batasan dan kekurangan masing-masing. Walhasil, mereka tahu sekadar mana manfaat yang mampu mereka sumbangkan kepada masyarakat, serta pada masa yang sama sedar lantas tidak menggalas tanggungjawab yang tidak selayaknya mereka pikul.
Bukan itu sahaja, ilmu yang bermakna juga meleraikan kekeliruan dalam diri, memperjelas tujuan hidup serta memperkukuh azam untuk terus menjadi insan yang bermanfaat untuk diri sendiri dan orang sekeliling.
Sehubungan dengan itu, dalam konteks Malaysia, kita melihat kesedaran terhadap kemustahakan makna dalam ilmu mula diterjemahkan oleh kepimpinan yang memuliakan ahli-ahli ilmu yang tulen.
Misalnya, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri konsisten memperuntukkan masa dalam jadualnya yang padat untuk bertemu para ulama, imam, sarjana dan tokoh agama di mana sahaja beliau berada, termasuk ketika membuat lawatan ke luar negara.
Pertemuan beliau dengan para ilmuwan di Afrika Selatan, Ethiopia dan negara-negara lain baru-baru ini bukan sekadar acara simbolik, tetapi menggambarkan kesedaran mendalam terhadap kepentingan ilmu yang bermakna dalam usaha membangun negara.
Kepimpinan yang menghormati ilmu inilah yang seharusnya menggerakkan para pendidik dan pelajar untuk menyerap semangat serta membina jiwa yang sama, sekali gus menghidupkan kembali nilai dan peranan ilmu yang bermakna dalam realiti hari ini sebagai identiti dan hala tuju negara.
Akhir kalam, marilah kita renungkan galakkan Rasulullah untuk mencari ilmu dengan makna yang sebenar: “Sesiapa yang menempuh satu jalan untuk mencari ilmu, maka Tuhan akan memudahkan baginya jalan menuju syurga.” (Riwayat Muslim)

