Menjelang akhir tahun 2025, aturan digital dunia khususnya kecerdasan buatan (AI) terbahagi kepada dua aliran penggunaan dan pilihan teknologi. Di sebelah pihak berdirinya model-model sistem berasaskan awan (cloud-based systems) berskala besar seperti GPT-5, Gemini, dan Grok yang skala serta kecanggihan teknikalnya begitu mengagumkan. Di sebelah pihak yang lain pula muncul suatu arus yang lebih berhati-hati: AI yang dijalankan secara tempatan pada peranti peribadi (locally-run AI) menggunakan pemproses neural, didorong oleh kebimbangan terhadap tergugatnya kedaulatan, pencerobohan data, dan sekatan rangkaian.
Pada masa ini, kos setiap prompt AI tidak lagi terhad kepada perbelanjaan kewangan semata-mata, tetapi turut melibatkan penggunaan dalam kuantiti yang banyak tenaga elektrik, kawasan tanah, dan air bagi tujuan operasi dan penyejukan pusat pemprosesan data, serta pelepasan karbon yang menyumbang kepada pencemaran.
Sekadar “bertanya soalan” sebenarnya membawa kesan yang boleh diukur terhadap grid kuasa elektrik, sistem penyejukan, dan bekalan air. Secara perseorangan, kos ini tampak kecil; namun pada skala besar, ia terkumpul menjadi beban yang nyata dan berpanjangan. Peningkatan penggunaan model awan turut memberi tekanan kepada pasaran perkakasan apabila permintaan tinggi terhadap cip memori dan pemprosesan berprestasi tinggi berpotensi menaikkan harga cip RAM, sekali gus meningkatkan kos komputer peribadi pengguna.
Ketidakseimbangan ini mendedahkan lebih daripada sekadar masalah operasi. Ia mencerminkan suatu sikap falsafah yang lebih mendalam, iaitu kecenderungan untuk menampung keterbatasan pemahaman dan ketepatan konsep melalui peluasan daya pengiraan secara kasar.
Dalam pendekatan ini, masalah yang sepatutnya ditangani melalui pemilihan, penilaian dan pengehadan digantikan dengan skala: lebih data, lebih kuasa pengiraan, dan lebih infrastruktur. Walaupun AI sering dipersembahkan sebagai sesuatu yang abstrak dan sejagat, implikasinya amat dirasai iaitu beban pada grid kuasa elektrik, sumber air yang terjejas, serta masyarakat yang diminta menukar kestabilan alam sekitar dengan janji manfaat ekonomi yang kabur dan tidak seimbang. Kos kecerdasan ini dipindahkan dan akhirnya menjadi halimunan pada pandangan pengguna akhir.
Dalam pengertian yang lebih mendasar, kecerdasan bukan terletak pada penggunaan kemampuan secara maksimum, tetapi pada kebolehan memilih cara dan skala penggunaan yang paling sesuai dengan tujuan.
Bagi umat Islam, perbezaan ini membawa implikasi moral yang khusus. Sebagaimana firman Allah Ta‘ala dalam Kitab Suci al-Qur’an (Surah al-Baqarah ayat 30 dan Surah Hud ayat 61), kehadiran manusia di muka bumi beriringan dengan dua amanah yang saling melengkapi: tanggungjawab menjaga dan memakmurkan. Manusia diamanahkan sebagai penjaga bumi yang akan dipersoalkan tentang keadaannya. Pada masa yang sama, manusia diperintahkan untuk membina, membangun dan memakmurkan melalui kerja yang mempunyai hala tuju dan manfaat. Yang dikecam ialah kerosakan akibat daripada sikap melampaui batas, cuai, dan salahguna kuasa.
Prinsip-prinsip ini menetapkan suatu piawaian yang menuntut adab dan disiplin. Oleh kerana bumi ialah amanah yang perlu diusahakan melalui penggunaan yang berhemat justeru penguasaan terhadap sumber sentiasa bersyarat dan pembangunan sentiasa terikat dengan tanggungjawab. Seiringan dengan itu, kuasa teknologi hendaklah dilaksanakan dengan cara yang memelihara keseimbangan, memberikan manfaat yang nyata, serta mengelakkan mudarat yang ditanggung oleh pihak lain.
AI pula merupakan suatu kemampuan yang dibina dan unggul dalam kelajuan, pengenalpastian corak, dan penukaran input kepada output yang pantas, namun sifat asasinya tidak memiliki pertimbangan. Sistem AI dilatih dan diperhalusi melalui pemilihan data, penetapan tujuan, dan pengenaan kekangan. Proses yang mengutamakan skala tanpa diskriminasi ialah menggunakan kuasa tanpa kebijaksanaan manakala proses yang mengutamakan pemilihan teliti serta kesesuaian konteks menatijahkan kecukupan.
Dalam kerangka inilah AI yang dikendalikan secara tempatan menjadi lebih menarik untuk dipertimbangkan. Menjalankan model secara tempatan boleh menjamin keselamatan dan mengurangkan risiko pencerobohan: data tidak mengalir ke pelayan luaran, tidak menyumbang kepada saluran latihan yang legap, dan sistem kekal stabil tanpa tertakluk kepada perubahan insentif di luar kawalan pengguna.
Lebih penting lagi, AI tempatan memenuhi keperluan semasa. Sebahagian besar kerja intelektual harian seperti menyunting, menterjemah, memberikan anotasi, dan melakukan penaakulan berstruktur tidak memerlukan timbang tara berskala planet. Penggunaan model bagi tugasan sedemikian semakin menyerupai penggunaan jentera perindustrian berat untuk kerja artisan: mengagumkan, tetapi tidak sepadan. Justeru, menggunakan kuasa dengan bijaksana ialah suatu tuntutan tanggungjawab atas setiap individu pengguna yang cakna akan kos alam sekitar penggunaan AI.
Pilihan yang dihadapi pengguna hari ini bukanlah antara pembaharuan dan pemunduran, sebaliknya antara jangkauan yang berlebihan dengan penggunaan yang berpadanan. Masa depan kecerdasan buatan tidak semestinya berbentuk entiti yang seolah-olah suatu dewa dan diiringi oleh kerosakan bumi, sebaliknya wajar menjadi suatu alat yang berdisiplin, terhad melalui reka bentuk, memilih berhati-hati melalui latihan, dan bertanggungjawab terhadap tujuan manusia berpandukan Maqasid al-Shari‘ah yang sepatutnya dikhidmati.

