Bayangkan kita kembali ke lorong-lorong berdebu kota Mekah, zaman sebelum syariat Islam disempurnakan sepenuhnya oleh wahyu. Di sana, di tengah kepekatan jahiliyah, kedengaran bait-bait syair yang memuji ketinggian “Allah”. Menariknya, pujian itu bukan dilantunkan oleh seorang Muslim, melainkan oleh seorang penyair tersohor zaman itu iaitu Labid bin Rabi’ah. Dalam satu rangkap syairnya yang masyhur, Labid melafazkan: “Ketahuilah, segala sesuatu selain Allah adalah batil (sia-sia)…”
Apabila Rasulullah SAW mendengar bait ini, Baginda tidak melarangnya, malah memujinya dengan sabda: “Perkataan paling benar yang pernah diucapkan oleh seorang penyair adalah perkataan Labid.” Kisah Labid sebelum beliau memeluk Islam menjadi satu premis penting dalam wacana ini, sesuungguhnya kalimah memuji Tuhan bukanlah “harta eksklusif” yang dipagari tembok besi untuk satu kelompok sahaja. Ia adalah manifestasi fitrah manusia yang mengakui kebesaran Pencipta.
Hari ini, di warung kopi atau di pejabat korporat, kita sering mendengar rakan-rakan bukan Islam menyebut “Alhamdulillah” apabila mendapat berita gembira atau “InshaAllah” apabila menetapkan janji. Fenomena ini kadangkala menimbulkan polemik: Adakah ini satu bentuk penghormatan budaya, atau satu pencabulan istilah agama? Untuk berlaku adil, kita perlu menelusuri isu ini dengan kanta yang lebih luas iaitu menggabungkan perspektif sosiologi global, dalil teologi dan disiplin fiqh.
Sebelum kita membedah hukum dengan lebih dalam, adalah lebih baik kita melihat realiti dunia. Penggunaan kalimah suci oleh non-Muslim bukanlah fenomena baharu, malah ia telah mendarah daging dalam banyak tamadun sebagai identiti budaya (cultural identity) bukan sekadar identiti agama.
Di Timur Tengah, khususnya di Mesir, Lubnan, Jordan dan Syria, kalimah “Allah” adalah kosa kata standard bagi “Tuhan” untuk semua agama samawi. Rakan-rakan Kristian Koptik di Mesir atau Maronit di Lubnan secara lazimnya menggunakan kalimah “InshaAllah” (Jika diizinkan Allah) dalam perbualan harian. Bagi mereka, ini bukan bermakna mereka sedang “mengislamkan” diri tetapi merupakan sebuah pengakuan tulus terhadap konsep Providence, bahawa takdir Tuhan mengatasi perancangan manusia. Malah, sasterawan Kristian Arab terulung seperti Khalil Gibran sering menyulam karya mereka dengan istilah ketuhanan yang sama digunakan dalam al-Quran kerana itulah bahasa ibunda mereka.
Fenomena ini turut merentas benua hingga ke Barat. Di Amerika Syarikat dan Eropah, pengaruh interaksi sosial telah membawa kalimah “InshaAllah” ke dalam laras bahasa harian (urban slang). Kita melihat tokoh pemimpin dunia seperti Presiden Joe Biden menggunakan ungkapan “InshaAllah” dalam debat presiden tahun 2020. Malah, bintang bola sepak terkenal Cristiano Ronaldo juga pernah menyebut “InshaAllah” ketika berucap selepas memenangi anugerah Middle East Player of the Year pada Globe Soccer Awards 2025 di Dubai, sambil membicarakan hasratnya untuk menjaringkan 1,000 gol sepanjang karier dan meraih lebih banyak trofi. Walaupun konteksnya mungkin berbeza, ia membuktikan bahawa kalimah ini mempunyai kuasa penembusan budaya yang luar biasa.
Lebih dekat dengan kita, di negara jiran Indonesia, frasa seperti “Alhamdulillah” sering diucapkan oleh pemuka-pemuka agama serta tokoh-tokoh awam bukan Islam sebagai tanda kesyukuran nasional. Di sana, bahasa agama telah menjadi bahasa penyatuan. Ia dilihat sebagai jambatan toleransi yang sangat ampuh, bukannya benteng pemisah. Persoalannya, jika dunia melihat ini sebagai keharmonian, bagaimanakah Islam memandangnya dari sudut hukum?
Secara dasarnya, hukum bagi orang bukan Islam menyebut kalimah-kalimah tayyibah ini adalah Harus (Dibenarkan). Hujah fundamentalnya terletak pada pengakuan fitrah. Al-Quran sendiri merakamkan bahawa golongan Musyrikin Mekah, meskipun menolak kenabian Muhammad SAW, tetap mengakui Allah sebagai Pencipta. Firman Allah SWT dalam Surah Luqman, ayat 25:
“Dan jika engkau (wahai Muhammad) bertanya kepada mereka: Siapakah yang menciptakan langit dan bumi? Nescaya mereka akan menjawab: Allah.”
Ayat ini membuktikan bahawa penggunaan nama “Allah” dan penyandaran urusan kepada-Nya adalah perkara yang telah berlaku dalam sejarah interaksi antara Muslim dan non-Muslim sejak dahulu lagi. Maka, apabila seorang non-Muslim hari ini menyebut “Alhamdulillah” (Segala puji bagi Allah), mereka sebenarnya sedang menyuarakan kembali emosi manusiawi yang paling murni iaitu rasa syukur. Kesyukuran adalah bahasa universal, sesiapa sahaja berhak bersyukur kepada Pencipta mereka.
Jika Al-Quran merakamkan pengakuan lisan mereka, bagaimana pula dengan praktikal di hadapan Rasulullah SAW? Adakah Baginda melarang non-Muslim memuji Allah? Jawapannya boleh kita temui dalam sebuah hadis sahih riwayat Imam Abu Daud. Diceritakan bahawa golongan Yahudi di Madinah cuba “memancing” doa rahmat daripada Nabi SAW melalui perbuatan bersin.
Daripada Abu Musa Al-Asy’ari RA, beliau berkata: “Orang-orang Yahudi pura-pura bersin di hadapan Nabi SAW dengan harapan Baginda mengucapkan ‘yarhamukumullah’ (semoga Allah merahmati kalian) kepada mereka. Namun Baginda hanya mengucapkan ‘Yahdikumullah wa yushlihu balakum’ (semoga Allah memberi hidayah pada kalian dan memperbaiki keadaan kalian).”
Hadis ini sangat signifikan. Secara lazimnya, ucapan balas (tashmit) diberikan apabila seseorang bersin dan mengucapkan “Alhamdulillah”. Walaupun golongan Yahudi ini berpura-pura bersin dengan harapan mendapat doa rahmat, Nabi SAW tidak melarang perbuatan mereka itu. Baginda tidak berkata, “Jangan bersin atau jangan berharap pada nama Allah!”
Sebaliknya, Baginda hanya membetulkan kandungan doa tersebut. Bagi orang Islam, doanya adalah rahmat manakala bagi bukan Islam, doanya adalah hidayah. Ini menunjukkan bahawa perbuatan non-Muslim mengucapkan hamdalah atau berharap kepada kebaikan Allah tidak menjadi kesalahan di sisi syarak, selagi konteksnya betul. Dalam hal ini, kita dapat lihat bertapa halusnya dah hikmahnya dakwah Nabi SAW.
Dalam disiplin ilmu Usul Fiqh, para ulama berpegang kepada satu kaedah emas yang dinukilkan oleh Imam al-Suyuti iaitu “Asal hukum bagi sesuatu perkataan atau perbuatan (yang bukan ibadat khusus) adalah harus, sehingga ada dalil yang mengharamkannya.”
Memandangkan tiada nas qat’ie (putus) daripada al-Quran mahupun hadis yang melarang non-Muslim memuji Allah, maka hukumnya kekal pada asalnya. Pandangan Ulama klasik seperti Imam al-Nawawi dalam karya agungnya, Al-Majmu’ Sharh al-Muhadhdhab menjelaskan bahawa zikir dan pujian kepada Allah bukanlah syarat sah Islam. Seseorang tidak menjadi Muslim semata-mata dengan berzikir, namun Islam juga tidak melarang lidah sesiapa pun daripada memuji-Nya.
Senada dengan itu, Syeikhul Islam Ibn Taymiyyah dalam Majmu’ al-Fatawa menegaskan bahawa orang kafir secara fitrahnya mengakui kewujudan Tuhan. Walaupun pujian tersebut tidak dikira sebagai iman yang menyelamatkan mereka di akhirat tanpa syahadah, perbuatan memuji itu sendiri adalah sesuatu yang “terjadi” dan tidak dilarang dalam konteks muamalah dunia.
Pandangan kontemporari di era moden, institusi fatwa seperti Dar al-Ifta’ al-Misriyyah dan ulama tersohor Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradawi melihat fenomena ini sebagai peluang dakwah dan interaksi sosial yang baik (husn al-mu’amalah). Menurut al-Qaradawi, “Alhamdulillah” dan “InshaAllah” adalah sebahagian daripada khazanah bahasa Arab dan budaya Islam yang harmoni. Selagi niatnya baik untuk menghormati atau bersyukur, maka ini adalah positif.
Walaupun kita meraikan keharusan ini atas dasar toleransi dan dakwah, kita perlu tegas bahawa hukum ini boleh berubah menjadi Haram sekiranya dicemari oleh faktor luaran (‘aridh). Sebagai penjaga kesucian agama, terdapat tiga garis merah yang tidak boleh dilanggar:
- Niat Penghinaan (Istihza’): Jika kalimah suci ini digunakan sebagai bahan jenaka, ejekan di media sosial, atau ‘troll’ untuk merendah-rendahkan agama Islam, maka ia adalah haram mutlak. Ini bukan lagi soal bahasa, tetapi soal adab dan ketenteraman awam.
- Konteks Ritual yang Syirik: Tidak dibenarkan menggunakan kalimah “Alhamdulillah” di dalam upacara keagamaan lain yang jelas menyekutukan Allah, kerana ia akan menimbulkan kekeliruan teologi (talbis al-haq bil-batil).
- Tujuan Mempermainkan: Menggunakan kalimah ini dalam keadaan bersenda-gurau yang lucah atau tidak sopan sehingga menimbulkan fitnah.
Intihanya, penggunaan kalimah “Alhamdulillah” dan “InshaAllah” oleh rakan-rakan bukan Islam sebagai satu isyarat positif dalam pembinaan negara bangsa. Apabila rakan berbangsa Cina atau India menyebut “InshaAllah, kita jumpa esok”, janganlah kita cepat melenting atau merasa terancam. Sebaliknya, lihatlah ia sebagai pengiktirafan mereka terhadap budaya kita dan kekuasaan Tuhan yang mengatasi segalanya, malah ini merupakan satu bentuk asimilasi bahasa yang sihat sepertimana Nabi SAW mendoakan hidayah buat mereka yang menyebut nama Allah.
Kita perlu menunjukkan rahmah dan kematangan Islam, dengan tidak terlalu defensif terhadap perkara yang sebenarnya membuka pintu hati manusia. Biarlah kalimah-kalimah ini menjadi jambatan yang menghubungkan hati-hati kita yang berbeza agama, di bawah satu payung perpaduan dan keamanan. Sesungguhnya, memuji Allah adalah hak setiap makhluk dan memuliakan nama-Nya dengan akhlak yang baik adalah tanggungjawab kita semua.

