Seorang wanita memiliki dua suami dalam satu masa? Memang sesuatu yang tidak masuk akal! Ya, tidak masuk akal ia berlaku dalam kalangan masyarakat Islam di Malaysia. Negara kita mempunyai undang-undang keluarga Islam yang amat jelas bagi hal ehwal kekeluargaan Islam, dan undang-undang ini mempunyai sokongan yang kuat dari aspek pentadbiran. Bahkan, ada prosedur tertentu bagi satu-satu pasangan yang berhasrat untuk mendirikan rumah tangga; membubarkan perkahwinan; dan perkara-perkara selepas pembubaran perkahwinan. Sistemnya sangat tersusun dan sudah tentu ia mempunyai objektif yang jelas kerana menyentuh maslahat awam.
Oleh yang demikian, kejadian seorang wanita mempunyai dua orang suami pada satu-satu masa bukan berpunca daripada kelemahan sistem perundangan, tetapi disebabkan faktor-faktor lain yang menyebabkan kegagalan pihak-pihak terbabit untuk mematuhi undang-undang atau prosedur yang perlu diikuti.
Seseorang wanita Islam yang berkahwin sebenarnya mempunyai satu tanggungjawab penting terhadap dirinya sendiri. Perkara pertama yang perlu dilakukan adalah dengan memastikan pernikahan yang melibatkan dirinya itu sah menurut syariat Islam. Seterusnya wanita ini harus mempunyai dan menyimpan bukti pernikahan, dan ia mesti memastikan pernikahan tersebut didaftarkan di mana-mana negeri di Malaysia. Sekiranya ia tidak memiliki surat perakuan nikah sebagai bukti pernikahan yang membabitkan dirinya, wanita ini perlu faham sesuatu perlu dilakukan sehinggalah ia dapat memiliki serta menyimpan dokumen yang sangat penting ini.
Sehubungan dengan hal ini, sesiapa pun memahami bahawa bukan semua rumah tangga akan kekal bahagia hingga ke anak cucu. Perpisahan boleh berlaku antara pasangan walaupun sebelum pernikahan mereka telah berjanji untuk sehidup semati, dan berikrar akan mengharungi onak duri bersama-sama. Punca keretakan rumah tangga ada pelbagai, dan di situlah keindahan syariah yang menyediakan beberapa kaedah pembubaran perkahwinan untuk dipilih sesuai dengan bentuk konflik yang berlaku antara pasangan. Kaedah-kaedah ini ada diperuntukkan dalam undang-undang keluarga setiap negeri, dan ada prosedur yang perlu diikuti. Adakah ia menyukarkan? Jawapannya bergantung pada bentuk syiqaq atau konflik dalam rumah tangga dan kerjasama antara pihak-pihak yang terlibat.
Tanpa menafikan wujudnya wanita yang bahagia berkahwin dengan pasangan yang bertanggungjawab, ada wanita yang berumah tangga dengan lelaki yang cuai melaksanakan nafkah, ego, narcissist, panas baran dan seumpamanya. Selanjutnya, ada lelaki yang suka mengugut, gemar membuat lafaz taklik secara semberono, mudah melafazkan talak sama ada secara sarih atau kinayah yang menunjukkan mereka amat jahil bahawa semua itu ada perkiraannya di sisi hukum syarak. Sikap atau perlakuan sebegini memang amat mendera mental dan emosi isteri. Walaupun hal sebegini amat menyakitkan dan wanita terang-terang menjadi mangsa kezaliman, mereka tidak boleh hanya berdiam diri. Dapatkan bantuan sekalipun akan ada yang menghalang dan membuatkan isteri rasa bersalah. Sebaliknya, melarikan diri daripada masalah bukanlah penyelesaian muktamad. Melarikan diri daripada kezaliman suami untuk sementara waktu adalah munasabah dan boleh dijadikan sebahagian daripada strategi sekiranya penganiayaan yang berlaku amat memudaratkan isteri. Walaupun demikian ia perlu dimuktamadkan dengan cara yang selari dengan undang-undang.
Dalam hal sebegini, apabila isteri diceraikan di luar mahkamah ataupun si isteri berasa ia telah diceraikan, maka ia mesti merujuk kepada mahkamah dan membuat permohonan pengesahan cerai. Hal ini sangat penting kerana mahkamah akan membuat siasatan dan mengeluarkan perintah yang mungkin akan memberi kesan kepada status perkahwinan tersebut. Itulah sebabnya sebarang perceraian atau pembubaran perkahwinan perlu dibuat di hadapan hakim syarie, dan perceraian yang berlaku di luar mahkamah merupakan satu kesalahan yang memperuntukkan hukuman-hukuman tertentu.
Sekiranya mahkamah syariah memutuskan bahawa perceraian di luar mahkamah telah secara sah berlaku, maka iddah juga akan bermula dengan tarikh yang diputuskan oleh pihak mahkamah. Mahkamah syariah yang membicarakan kes itu juga akan turut menyiasat sekiranya berlaku rujuk oleh suami terhadap pasangannya. Perlu diingat rujuk di luar pengetahuan pihak berkuasa agama, perlu disahkan terlebih dahulu oleh mahkamah syariah sama ada ia rujuk yg sah atau sebaliknya, walaupun mereka mengetahui bahawa mengikut hukum syarak rujuk sah tanpa keberadaan isteri dan tanpa persetujuan isteri, kerana kata pemutus adalah daripada hakim syarie yang akan meneliti rujuk tersebut mengikut undang-undang dan hukum syarak.
Sebaliknya, apabila seseorang wanita yang percaya bahawa dirinya telah diceraikan, walaupun tanpa kebenaran mahkamah, kemudian ia mengambil keputusan untuk melarikan diri tanpa mempedulikan sama ada pasangannya telah membuat rujuk ataupun tidak, ini bukanlah tindakan yang bijak. Sebarang masalah perlulah dimuktamadkan apatah lagi apabila menyangkuti hukum syarak dan undang-undang. Jika kemudiannya wanita terbabit benar-benar menganggap ia telah bebas daripada perkahwinan sedia ada, hal ini hanya akan memburukkan keadaan dan boleh mendorong wanita ini terjebak kepada masalah seperti mana yang penulis nyatakan pada awal penulisan.
Katakanlah wanita ini bernikah baharu disebabkan anggapan sudah tidak terikat lagi dengan pernikahan yang awal, dan pasangannya telah merujuk dirinya tanpa pengetahuannya di luar pengetahuan pihak berkuasa agama, maka pernikahan baharu tersebut sudah semestinya null and void. Dari sudut syarak dan undang-undang ia tidak diiktiraf, manakala dari aspek kekeluargaan dan sosial ia telah mengecewakan pasangan yang terlibat begitu juga di pihak ahli keluarga dan kaum kerabat. Kesan-kesan lain, mungkin pembaca boleh memikirkannya sendiri. Setiap ahli masyarakat perlulah memahami bahawa, apabila timbul permasalahan kekeluargaan ia perlu dirujuk kepada pihak berkuasa seperti pejabat agama ataupun mahkamah syariah. Tindakan itu bukan sekadar untuk memenuhi formaliti tetapi mencerminkan kepedulian terhadap diri, ahli keluarga yang terlibat malahan untuk kebaikan pada masa hadapan. Setiap urusan dengan pihak berkuasa akan direkodkan dan hal ini membenarkan undang-undang terus melindungi diri sekiranya berlaku hal yang tidak diingini.

