Kerangka Strategik dan Pelan Tindakan Ekonomi Penjagaan Malaysia 2026-2030 dilancarkan oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat pada penghujung tahun lepas bagi memastikan ekosistem ekonomi penjagaan yang inklusif dan mampan demi kesejahteraan rakyat di semua peringkat umur selaras dengan agenda pembangunan sosial negara, dan seiring persediaan Malaysia menjadi Negara Tua menjelang tahun 2030. Akhbar turut melaporkan insentif latihan penjaga menerusi Rancangan Malaysia Ke-13 telah berjalan dengan matlamat melatih seramai 50 ribu penjaga dalam tempoh lima tahun.
Kerangka strategik ini lahir dari kebimbangan terhadap penjagaan wargatua kerana lelaki dan perempuan diperlukan untuk memajukan negara. Seperti mana kebimbangan terhadap masalah penjagaan anak-anak, penyelesaian yang dicadangkan adalah dengan memanggil pihak ketiga, berupa pembantu rumah warga asing, di samping membina lebih banyak nurseri dan pusat jagaan. Hari ini, dengan jangkaan negara pantas menua, timbul pula kebimbangan terhadap penjagaan warga tua. Sekali lagi pihak ketiga dipanggil, dengan cara membangunkan ekosistem bagi mengeluarkan penjaga profesional. Namun tujuannya masih sama, supaya wanita mesti terus bekerja untuk memajukan negara. Oleh itu, ‘kerja-kerja’ yang selama ini menjadi tanggungjawab seorang isteri, ibu dan surirumah, perlu diserahkan kepada pihak ketiga yang akan mengendalikannya secara profesional. Dan, kerja-kerja yang satu ketika dulu dikategorikan sebagai ‘kerja-kerja tidak berbayar’ kini dapat diangkat tarafnya menjadi kerja profesional berbayar, serta dihitung dalam KDNK.
Adakah langkah-langkah ini akan menyelesaikan masalah? Menurut data rasmi, lebih 60 peratus wanita yang tidak bekerja menyatakan bahawa kerja rumah dan penjagaan keluarga adalah sebab paling utama. Walaupun wanita kini melebihi lelaki di universiti, ramai tidak dapat memasuki pasaran kerja kerana kos penjagaan anak dan ibu bapa jauh mengatasi gaji permulaan. Pakar-pakar ekonomi berpendapat keadaan ini menyebabkan negara kehilangan bakat profesional wanita yang telah dilatih selama bertahun‑tahun. Justeru, ekosistem penjagaan yang teratur, profesional dan mampan diperlukan bagi menyokong penyertaan wanita dalam ekonomi di samping memastikan keperluan penjagaan rakyat dipenuhi secara inklusif.
Dilema wanita yang bekerja sama sahaja, iaitu rasa bersalah memikirkan tentang nasib anak-anak yang terpaksa ditinggalkan kepada pengasuh, ditambah pula dengan kebimbangan sekiranya ada ibubapa yang uzur. Kini beban fizikal dan mental ramai wanita semakin bertambah; selain kerja hakiki di pejabat, mereka tetap perlu menguruskan kerja-kerja rumah, termasuk yang berupa penjagaan. Sebaik pulang dari pejabat mereka terpaksa pula menyambung ‘shift ketiga’ di rumah.
Naratif yang sering dicanangkan oleh para feminis ialah tentang pembebasan dan pemerkasaan wanita. Naratif ini diasaskan kepada premis bahawa wanita adalah mangsa penindasan sistem patriarki, maka sistem ini mesti dihapuskan sekiranya mahu membebaskan dan memperkasakan wanita.
Selama berdekad-dekad naratif ini dijadikan sandaran perjuangan kaum feminis yang mendesak supaya satu sistem sosial baharu yang diasaskan kepada kesamaan gender dilaksanakan. Namun, bukan nasib wanita yang terbela, tetapi yang berlaku adalah sebaliknya, walaupun mereka telah mengikuti dengan taat skrip kehidupan yang disediakan oleh kaum feminis itu.
Data yang dikeluarkan oleh PBB dan OECD menunjukkan peningkatan ketara peratusan wanita berusia 30 tahun ke atas yang belum berkahwin di nngara-negara yang dikategorikan maju, seperti Korea Selatan dan Jepun. Negara-negara Eropah Utara juga menunjukkan kadar perkahwinan yang semakin rendah, kerana ramai yang memilih hidup berpasangan tanpa ikatan perkahwinan. Data dari Amerika Syarikat juga menunjukkan trend yang sama sejak beberapa dekad kebelakangan. Pada masa yang sama, negara-negara berkenaan turut mencatatkan kemerosotan kadar kesuburan dan bilangan kelahiran yang membimbangkan. Adakah ini akibat yang kaum feminis terlepas pandang?
Angka-angka di atas seharusnya menimbulkan kebimbangan kepada para perancang dasar. Adakah pembabitan meluas kaum wanita dalam sektor pekerjaan berkesudahan menjadi ancaman terhadap kualiti dan kelangsungan hidup sesuatu bangsa? Langkah yang asalnya bertujuan menambahkan tenaga kerja melalui penyertaan wanita nampaknya telah menyebabkan institusi keluarga menjadi pincang.
Dilema timbul apabila wanita terpaksa berkompromi terhadap nilai-nilai pegangannya demi menjayakan nilai-nilai baharu yang tidak pun difahaminya. Nilai yang digubal oleh kaum kapitalis meletakkan harga diri seseorang manusia berdasarkan ‘kegunaannya’ kepada negara. Rakyat, sama ada lelaki ataupun perempuan, hanyalah ‘sumber’ atau ‘modal’ yang mesti dimanfaatkan oleh negara untuk mendapatkan keuntungan maksima.
Bagi yang faham, ini hanyalah soal ‘pilihan’. Sebaliknya, bagi yang keliru dan masih dibelenggu nilai-nilai asing yang diinstitusikan oleh negara, dia tiada pilihan selain mengikut kerana nilai-nilai yang memandu pilihan seseorang adalah berpunca dari kesedarannya. Hanya yang jelas makna dirinya sahaja yang mampu memilih. Dilema yangseorang ibu memilih antara karier ataupun keluarga, membayangkan krisis dalaman yang berpunca dari kekeliruan makna diri.
Selama berdekad-dekad ideologi feminis telah mengelirukan kaum wanita dengan naratif palsu kononnya wanita perlu dibebaskan dari (liberation) penindasan sistem patriarki yang selama ini mencorakkan institusi keluarga dan nilai-nilai terasnya. Pembebasan wanita dari keterikatan terhadap institusi keluarga sebenarnya adalah prasyarat kepada sistem sosial baharu yang akan memberikan identiti baharu kepada wanita.
Krisis yang dihadapi wanita hari ini bukan hanya berpunca daripada kekurangan ekosistem penjagaan atau kos hidup yang meningkat, tetapi daripada kegagalan sistem nilai moden memahami peranan dan keutamaan sebenar wanita, keluarga dan masyarakat. Dalam usaha menyesuaikan diri dengan tuntutan pasaran dan ideologi pembebasan, wanita akhirnya memikul beban yang semakin berat—di tempat kerja, di rumah dan dalam ruang emosi sendiri.
Langkah-langkah kerajaan untuk membina ekonomi penjagaan profesional tetap penting, namun ia tidak boleh menjadi penyelesaian tunggal. Penyelesaian sebenar memerlukan pembetulan semula pemahaman kita tentang keluarga, keseimbangan hidup, serta nilai yang menjadi asas masyarakat. Tanpa pembinaan semula sistem sokongan sosial dan naratif peranan yang lebih realistik terhadap wanita dan institusi keluarga, negara akan terus berdepan dilema demografi, tekanan psikososial dan kehilangan modal insan wanita yang sangat bernilai.

