“Kasih ibu membawa ke syurga”. Ungkapan ini menggambarkan betapa besarnya cinta seorang ibu kepada anaknya. Cinta ini tidak terhad kepada manusia sahaja bahkan turut dianugerahkan oleh Allah kepada haiwan. Sifat inilah menjadikan ibu sebagai pelindung yang rela berkorban demi kebaikan anaknya. Walaupun haiwan tidak dikurniakan akal seperti manusia, namun rahmat Allah melalui sifat ar-Rahman-Nya memastikan mereka juga memiliki naluri untuk menyayangi anak mereka. Cinta ini adalah bukti kekuasaan Allah yang meliputi semua makhluk.
Baru-baru ini, satu kejadian meruntun jiwa berlaku apabila seekor anak gajah telah maut dirempuh lori di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) Gerik-Jeli, Perak. Lebih memilukan, sang ibu cuba menyelamatkan anaknya yang terperosok di bawah lori dan enggan bergerak dari situ, seolah-olah meratapi kehilangan anaknya. Kemalangan seumpama ini bukanlah sesuatu yang baharu. Namun, insiden kali ini membawa seribu satu hikmah dari pelbagai sudut pandang.
Cinta Sang Ibu
Tindakan ibu gajah ini mencerminkan naluri keibuan yang mendalam. Ketika insiden ini berlaku semasa sambutan Hari Ibu, ramai yang tersentuh melihat kesedihan ibu gajah kehilangan anak yang dikandungnya selama hampir dua tahun. Sebagai manusia, sudah tentu kita dapat membayangkan betapa peritnya kehilangan itu.
Cinta ibu gajah ini mengingatkan kita bahawa haiwan juga memiliki rasa tanggungjawab terhadap anak mereka. Namun, ironinya, kes pembuangan bayi, penderaan dan pengabaian kanak-kanak masih berlaku dalam kalangan manusia, makhluk yang diberi akal dan bertamadun. Hal ini seharusnya membuat kita malu kerana gagal menzahirkan sifat kemanusiaan sebagai ‘manusia’. Oleh itu, kita perlu menghayati cinta dan tanggungjawab terhadap kehidupan, selari dengan penghayatan terhadap sifat ar-Rahman dan ar-Rahim Allah.
Keperluan kepada solusi proaktif dan praktikal
Menurut Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN), 2,361 haiwan liar dilaporkan mati akibat kemalangan jalan raya (roadkill) sejak tahun 2020. Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, YB Nik Nazmi Nik Ahmad, pada 12 Mei 2025, menyatakan bahawa kematian gajah meningkat dalam tempoh lima bulan lepas, menunjukkan keperluan mendesak untuk tindakan yang lebih proaktif dan praktikal.
Banyak usaha telah dilaksanakan bagi mengatasi isu ini seperti pembinaan lintasan hidupan liar, papan tanda, pagar pandu arah dan pagar perlindungan. Namun, ia dilihat tidak mampu menangani isu ini dengan berkesan. Antara puncanya ialah jumlah infrastruktur mitigasi yang tidak mencukupi, kurang pemantauan dan penyelenggaraan oleh pihak berwajib serta kurangnya kesedaran pemandu itu sendiri.
Selain itu, ketiadaan peruntukan undang-undang khusus berkaitan pemeliharaan ekosistem hidupan liar juga membataskan penguatkuasaan undang-undang dalam isu ini. Antara cadangan yang diutarakan adalah dengan mewujudkan undang-undang atau membuat pindaan kepada Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716) dengan menyediakan peruntukan khusus yang mewajibkan pemaju projek pembangunan menyokong usaha pemeliharaan hidupan liar. Sebagai contoh, garis panduan pembangunan boleh memastikan projek tidak memisahkan habitat haiwan seperti gajah dan harimau atau dengan membina infrastruktur mitigasi sebagai alternatif.
Di samping itu, perlu diwujudkan garis panduan pembangunan yang jelas terhadap pembangunan berisiko dan melibatkan pemisahan habitat hidupan liar. Inisiatif “Central Forest Spine” (CFS) merupakan kerangka penting yang berperanan untuk memastikan sebarang projek pembinaan dijalankan dengan mengambil kira kepentingan ekosistem dan biodiversiti hidupan liar di kawasan tersebut. Oleh yang demikian, kerangka ini perlu ditambah baik dan dijadikan undang-undang yang mengikat. Langkah ini penting untuk membolehkan penguatkuasaan oleh pihak berautoriti terhadap mana-mana pihak yang terlibat.
Tambahan lagi, penguatkuasaan tegas bagi pematuhan had laju di kawasan lintasan haiwan juga perlu dipertingkatkan supaya risiko pelanggaran dapat dikurangkan. Bagi tujuan ini, Akta Pengangkutan Jalan 1987 boleh dipinda dengan memperuntukkan hukuman yang lebih berat berhubung kegagalan pematuhan peraturan ini.
Pihak berwajib juga perlu lebih proaktif dalam penyelidikan dan pemantauan laluan lintasan haiwan termasuklah penggunaan teknologi canggih seperti kamera pengesan gerakan atau sistem amaran pintar bagi mengenal pasti lokasi titik panas di mana insiden banyak dilaporkan. Hal ini membolehkan pihak berwajib menyediakan serta menambah baik infrastruktur mitigasi di kawasan berisiko tinggi tersebut. Contohnya, sistem amaran yang boleh memaklumkan pemandu melalui papan tanda elektronik apabila haiwan dikesan berhampiran jalan raya.
Tuntutan Syarak dalam Memelihara Nyawa
Islam sebagai agama rahmat kepada sekaliannya (rahmatan lil alamin) mengajarkan kita supaya berkasih sayang dengan semua makhluk dan bahawa nyawa setiap hidupan adalah berharga, meskipun seekor burung kecil. Hal ini bertepatan dengan firman Allah SWT dalam Surah Al-An’am ayat 38:
“Dan tidak ada seekor binatang melata di bumi dan burung yang terbang dengan dua sayapnya, melainkan mereka adalah umat seperti kamu juga…”
Oleh yang demikian, nyawa haiwan atau hidupan lain seharusnya sama dipelihara dan tidak disia-siakan kerana mereka juga mempunyai hak yang sama. Sabda Rasulullah SAW dalam sebuah hadis riwayat al-Nasa’i:
“Sesiapa yang membunuh burung atau yang lebih besar dari itu tanpa haknya, maka Allah akan menyoalnya pada hari kiamat.”
Hadis ini jelas menekankan kepentingan dan nilai nyawa hidupan lain dan tanggungjawab setiap insan supaya menjaga nyawa haiwan serta tidak menyakiti mahupun membunuh mereka sewenangnya.
Dalam isu ini, walaupun kemalangan seperti ini tidak disengajakan, Islam tetap menuntut hikmah kebijaksanaan manusia bagi mencegah dan mengatasi insiden seperti ini sesuai dengan kaedah dar’ al-mafasid iaitu menghalang atau mencegah keburukan. Perkara ini merupakan tanggungjawab dan amanah yang perlu dipikul oleh semua pihak termasuklah pemerintah, pemaju malah setiap individu bagi memastikan pelaksanaan setiap perkara adalah selari dengan Maqasid Syariah khususnya dalam hifz nafs (memelihara nyawa) manusia sebagai pengguna jalan raya dan hifz al biah (memelihara alam sekitar) terhadap haiwan. Oleh itu, wajib ke atas kita sebagai khalifah di atas muka bumi ini memelihara semua nyawa, baik sesama manusia, haiwan mahupun tumbuhan sesuai dan selaras dengan tuntutan syarak yang bertujuan menjaga kesemua makhluk-Nya dan menghargai nilai setiap yang bernyawa.
Akhir kalam, begitulah rahmat Allah kepada kita dengan menghadirkan sang ibu gajah dan anaknya untuk mengajarkan kita hikmah dan ibrah yang sangat bermakna. Manusia dan haiwan adalah makhluk yang hidup bersama dan saling bergantungan. Sebagai makhluk yang dipilih menjadi khalifah, dikurniakan dengan kecerdasan akal fikiran dan intelek, justeru seharusnya kita mengemudi alam ini dengan penuh hikmah dan kebijaksanaan. Hal ini bagi memastikan kehidupan dan kelestarian alam yang dikongsi bersama ini dapat dijaga dan dipelihara sesuai dengan tuntutan syarak dan perundangan yang telah ditetapkan.