Keadilan (ʻadālah, justice) merujuk kepada suatu keadaan di mana setiap sesuatu berada pada tempatnya, yang memang wajar baginya. Untuk berlaku adil, kita terlebih dahulu perlu sedar bahawa segala sesuatu yang wujud sama ada yang boleh dilihat ataupun tidak boleh dilihat mempunyai kedudukan atau tempat masing-masing. Kedudukan atau tempat ini bukan merujuk kepada sesuatu yang mengambil ruang misalnya tempat duduk seperti kerusi ataupun rumah, tetapi merujuk kepada kedudukan atau tempat dalam akal renungan kita sebagai suatu bentuk kefahaman.
Bagi memastikan keadilan termanifestasi, kita bukan sahaja perlu mengenali kedudukan tempat yang wajar bagi sesuatu, tetapi juga pengakuan dan pengiktirafan terhadap kedudukan tempat yang wajar bagi sesuatu itu jua. Hal ini menunjukkan bahawa betapa peri pentingnya ilmu dan amal sebagai asas manifestasi keadilan. Ilmu itu ada pada mengenali, manakala amal itu ada pada pengakuan dan pengiktirafan.
Penyamarataan Bukanlah Keadilan
Tanpa mengenali kedudukan tempat yang wajar bagi sesuatu, maka kita secara tidak langsung akan bersikap menyamaratakan segala sesuatu, seterusnya menafikan akan adanya susunan (marātib) dan peringkat (darajāt) dalam sistem kewujudan ini. Prof. Dr. Syed Muhammad Naquib al-Attas dalam karyanya Risalah Untuk Kaum Muslimin khususnya pada perenggan ke-59 menegaskan bahawa penyamarataan (levelling) segala sesuatu ini adalah suatu bentuk kezaliman kerana orang tersebut telah meletakkan sesuatu perkara pada tempatnya yang tidak wajar sama ada yang rendah dimuliakan ataupun yang tinggi dihinakan. Akibat penyamarataan, seseorang itu akan bertindak tidak wajar terhadap dirinya dan orang lain.
Menurut beliau juga, gerak-daya penyamaratan yang menjelma dalam kalangan umat Islam kini adalah asal-mulanya berpunca pada segolongan pemimpin-pemimpin agama yang kurang berwibawa dan mempunyai sifat terpendam iaitu keangkuhan diri hayawani serta hasad dengki. Kedua-dua sifat ini adalah takbur batin yang menyumbang kepada kedegilan dalam diri seseorang lantas menyebabkan orang tersebut mencabar dan memperkecilkan kewibawaan yang sah, seterusnya menyamaratakan sesuatu dengan perkara yang lain. Pengaruh pemimpin agama ini kemudiannya mengelirukan masyarakat awam dan membuahkan masyarakat yang bersikap seperti mereka.
Antara bentuk penyamarataan yang sering kali menjadi kekeliruan sesetengah pihak adalah anggapan (a) bahawa al-Quran itu sama sahaja seperti kitab suci agama lain atau karya-karya tokoh pemikir; (b) bahawa Islam itu sama sahaja seperti agama lain yang mana semua agama itu baik dan benar; (c) bahawa Nabi Muhammad SAW adalah sama kedudukannya dengan para Nabi yang lain; (d) bahawa para sahabat Nabi SAW adalah sama seperti manusia biasa; dan (e) bahawa ilmu fardu ain sama sahaja pentingnya dengan ilmu fardu kifayah.
Perlu ditegaskan, hanya disebabkan persamaan pada beberapa ciri antara diri kita dan pihak lain, itu tidak menjadikan kedudukan kita semua adalah sama rata. Misalnya, meskipun semua manusia terdiri daripada darah dan daging, itu tidak menjadikan semua manusia adalah sama rata.
Sifat Terpuji yang Empat dan Tiga Kuasa Pada Diri
Keadilan adalah salah satu sifat terpuji (al-maḥmūdah, al-faḍīlah, virtue) yang dapat menyumbang kepada kesejahteraan individu serta masyarakat. Namun, ianya tidak percuma dan perlu kepada sifat-sifat terpuji yang lain sebelum keadilan dapat dimanifestasikan.
Dalam tradisi pemikiran Islam dan falsafah Barat, misalnya yang terkandung dalam karya Mīzān al-ʻAmal oleh Imam al-Ghazālī dan Republic oleh Plato, faham keadilan antaranya dibahaskan sebagai salah satu sifat terpuji ataupun keutamaan daripada sekelompok sifat terpuji atau keutamaan yang disebutkan sebagai ummahāt al-faḍā’il (cardinal virtues) yang terdiri daripada empat sifat terpuji iaitu (a) kebijaksanaan (al-ḥikmah, wisdom), (b) keberanian (al-shajāʻah, courage), (c) kesederhanaan (al-ʻiffah, temperance), dan (d) keadilan.
Imam al-Ghazālī dalam karyanya Mīzān al-ʻAmal, menjelaskan bahawa tiga sifat yang pertama ini boleh terdapat pada kuasa diri (al-quwwah, powers, faculties) yang khusus. Kebijaksanaan merupakan sifat terpuji bagi kekuatan akal (quwwat al-ʻaqliyyah), keberanian pula merupakan sifat terpuji bagi kekuatan nafsu marah (quwwat al-ghaḍabiyyah), dan kesederhanaan pula merupakan sifat terpuji bagi kekuatan shahwat (quwwat al-shahwāniyyah).
Manakala keadilan pula merupakan keadaan kesempurnaan pencapaian ketiga-tiga sifat terpuji ini. Jika tiga kekuasaan pada diri ini tidak dikawal dengan baik, maka ianya akan membuahkan sifat yang tercela (al-madhmūmah, al-radhīlah, vice). Sedangkan jika dikawal dengan baik, maka ianya akan membuahkan sifat yang terpuji khususnya tiga sifat yang dinyatakan sebelum ini.
Pengawalan bagi tiga kuasa pada diri adalah sangat penting bagi memastikan kita dapat berlaku adil kepada diri dan kepada pihak lain. Pengawalan ini dapat diusahakan melalui pertimbangan diri kita terhadap cara kita berfikir dan beramal. Pertimbangan tersebut pula tidak memadai dengan renungan akliah semata-mata, tetapi perlu didasari kepada Agama. Pertimbangan tanpa Agama akan menyebabkan renungan akliah seseorang itu membuahkan pertimbangan yang tidak tepat, lalu menatijahkan kezaliman.
Kaedah untuk mengawal tiga kuasa pada diri ini telah dijelaskan oleh para ilmuwan Islam zaman-berzaman dalam ilmu tasawwuf dan akhlak khususnya dalam topik perbahasan seperti tazkiyyah al-nafs atau riyāḍah al-nafs. Dalam konteks Alam Melayu pula, ianya telah dikupas antaranya dalam Kitab Penawar Bagi Hati oleh Sheikh Abdul Qadir al-Mandili dan Sayr al-Sālikīn oleh Sheikh Abd al-Samad al-Falimbani.
Kawalan Tiga Kuasa Pada Diri
Imam al-Ghazālī merupakan tokoh yang tidak asing dalam perbahasan ilmu jiwa ataupun psikologi. Beliau dalam mengupas perihal kaedah untuk mengawal tiga kuasa pada diri menjelaskan bahawa kebijaksaan boleh dicapai melalui pembersihan dan pemurniaan (tahdhīb) kekuatan berfikir pada diri. Kaedah pembersihan dan pemurniaan ini dijelaskan secara khusus oleh Imam al-Ghazālī dalam karyanya Miʻyār al-ʻIlm. Kekuatan akal yang tidak dikawal dengan baik akan menyebabkan seseorang itu sama ada bersifat licik lalu menipu orang lain ataupun bodoh lalu ditipu daya oleh orang lain.
Keberanian pula boleh dicapai melalui kawalan dan pemulihan kekuatan nafsu marah pada diri, melalui memelihara dirinya daripada sifat penakut dan tamak haloba. Kekuatan nafsu marah yang tidak dikawal dengan baik akan menyebabkan seseorang itu bersifat melampaui batas lalu membinasakan orang lain ataupun pengecut lalu mendedahkan dirinya kepada serangan serta kezaliman orang lain.
Kesederhanaan pula boleh dicapai melalui pengislahan kekuatan shahwatnya contohnya dengan menghindari melakukan perkara mungkar. Kekuatan shahwat yang tidak dikawal dengan baik akan menyebabkan seseorang terlampau bershahwat lalu mengakibatkan sifat mengejar kepuasan jasmani yang melampau seperti tamak, gelojoh, atau rakus. Selain itu, kekuatan shahwat yang tidak dikawal dengan baik akan menyebabkan seseorang terlampau lemah shawatnya lalu mengakibatkan dirinya lemah tidak bermaya untuk melaksanakan apa yang dikehendaki oleh akal.
Jika diteliti, setiap sifat terpuji yang tiga ini berada di antara dua sifat tercela. Tanpa kawalan tiga kuasa pada diri kita, maka sifat yang tercela akan dihasilkan. Harus ditegaskan bahawa kuasa yang ada pada diri ini merupakan anugerah Allah SWT yang perlu dijaga dengan baik. Kita tidak dapat menafikan keberadaan tiga kuasa ini sepertimana rajah di bawah, sebaliknya perlu bersyukur dengan anugerah ini kerana dengan ianya juga kita dapat mencapai sifat yang terpuji.

