Perkembangan teknologi komunikasi telah mengubah cara manusia berinteraksi. Dunia hari ini telah menjadi sebuah desa buana (global village) yang menjadikan sempadan geografi tidak lagi menghalang penyebaran maklumat dan pertukaran pandangan. Namun malangnya, ledakan maklumat dan perkembangan teknologi yang pantas tidak sentiasa disertai dengan adab dan kematangan dalam berkomunikasi.
Fenomena kebejatan akhlak dan adab dalam berbeza pandangan ini sememangnya suatu perkara yang merisaukan. Ruang media sosial hari ini sarat dengan perbezaan pandangan dalam isu-isu agama, politik, kaum dan sebagainya yang sering berakhir dengan penghinaan, pelabelan, cacian dan serangan fitnah tidak berasas. Normalisasi budaya sebegini bukanlah satu yang sihat kerana akan melahirkan masyarakat yang tidak mampu berhujah dengan matang dan harmoni.
Realiti ini menimbulkan persoalan yang lebih besar. Adakah masalah sebenar masyarakat hari ini berpunca daripada terlalu banyak perbezaan pandangan, atau sebenarnya kita semakin kehilangan adab ketika menguruskan perbezaan tersebut?
Jika dilihat isu ini dari sudut perspektif Islam, kita akan mendapati bahawa Islam tidak pernah mengajar umatnya untuk bersifat homogen dan menghapuskan kepelbagaian pandangan secara mutlak. Sebaliknya, kepelbagaian pandangan itu merupakan suatu sunnatullah yang selari dengan fitrah kehidupan yang diciptakan oleh Allah SWT dalam diri manusia. Manusia sendiri telah diciptakan dalam kepelbagaian dan diciptakan secara berbangsa-bangsa dan bersuku puak untuk mereka saling mengenali (lita‘arafu) dan membantu antara satu sama lain, bukan saling membenci. Disebabkan itu, kepelbagaian pandangan ini haruslah disikapi dengan positif dan perlu diuruskan dengan penuh hikmah, adab dan saling menghormati.
Menariknya, Sejarah Islam membuktikan bahawa perbezaan pandangan telah pun berlaku sejak zaman Rasulullah SAW. Rasulullah SAW bukan sahaja menerima kewujudan perbezaan pandangan, bahkan mengajar umatnya bagaimana menguruskannya dengan adab. Berkenaan isu ini, peristiwa Bani Qurayzah merupakan satu contoh yang sangat relevan. Dalam sepotong hadith yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari, Ibn Umar RA menceritakan bahawa Rasulullah SAW pernah bersabda, “Janganlah sesiapa daripada kalangan kamu mendirikan solat asar melainkan apabila tiba di perkampungan Bani Qurayzah”. Arahan Rasulullah SAW yang jelas itu telah difahami oleh para Sahabat dalam dua bentuk yang berbeza; sebahagian memahami arahan itu secara literal lalu mereka melewatkan solat asar sehingga ke waktu Maghrib, manakala sebahagian lagi menunaikan solat dalam perjalanan kerana memahami bahawa apa yang dimaksudkan oleh Nabi SAW adalah agar mereka mempercepatkan perjalanan. Apabila disampaikan cerita ini kepada Rasulullah SAW, Baginda memperakui dan tidak menyalahkan kedua-dua pandangan kerana masing-masing cuba berusaha memahami maksud Baginda SAW berdasarkan disiplin ilmu dengan penuh keikhlasan.
Begitu juga dengan yang berlaku dalam peristiwa peperangan Badar. Seorang Sahabat yang bernama al-Hubab bin al-Mundhir RA telah bertanya dengan penuh hormat sama ada pemilihan lokasi perkhemahan tentera Islam merupakan wahyu atau strategi peperangan. Setelah mengetahui ia merupakan strategi Rasulullah SAW, beliau mengemukakan cadangan yang lebih sesuai berdasarkan keadaan medan agar mereka berpindah ke tempat lain yang lebih strategik bagi membolehkan orang Islam menyekat bekalan air sampai kepada orang musyrik. Rasulullah SAW menerima pandangan tersebut tanpa melihatnya sebagai cabaran terhadap kewibawaan Baginda SAW.
Dalam Perang Khandaq pula, cadangan Salman al-Farisi untuk membina parit turut diterima oleh Rasulullah SAW sebagai strategi pertahanan yang akhirnya membawa kejayaan dan mengelakkan pertumpahan darah daripada berlaku. Sirah Rasulullah SAW mengajar bahawa kepimpinan yang matang bukanlah kepimpinan yang menolak semua pandangan berbeza, tetapi mengiktiraf kepelbagaian pandangan itu sebagai satu bentuk syura bagi mendapatkan pandangan yang terbaik.
Budaya ini diteruskan oleh para ulama sepanjang sejarah Islam. Sejarah keilmuan Islam telah mengangkat tokoh-tokoh ulama dan mengabadikan kata-kata mereka untuk dijadikan renungan. Sebagai contoh, perbezaan pandangan antara imam-imam mazhab tidak pernah menghalang mereka daripada saling menghormati. Antaranya, Imam al-Syafi‘i dalam ungkapannya yang terkenal pernah berkata bahawa “Pandanganku benar, tetapi mungkin juga mengandungi kesilapan. Pandangan orang lain pula salah, tetapi mungkin juga lebih betul dan lebih tepat.” Begitu juga dengan Imam Malik yang menyatakan, “Setiap orang boleh diterima kata-katanya dan boleh juga ditolak, melainkan kata-kata pemilik kubur ini (iaitu Rasulullah SAW).” Kenyataan ini memperlihatkan satu sifat yang semakin jarang ditemui dalam masyarakat hari ini, iaitu kerendahan hati dan adab dalam berinteraksi dengan pendapat yang berbeza.
Budaya ini amat perlu diterapkan dalam dunia maya hari ini. Fenomena kamar gema (echo chamber) media sosial yang sering memaparkan kandungan yang mengukuhkan kepercayaan sedia ada pengguna menyebabkan pandangan berbeza dianggap sebagai ancaman, bukannya ruang untuk memperluas pengetahuan. Tambahan lagi, media sosial juga membawa juga penyakit dehumanisasi (dehumanisation) yang membuatkan seseorang itu gagal melihat manusia di sebalik skrin telefon atau komputer. Kehilangan unsur manusiawi dan ihsan dalam berkomunikasi menyebabkan adakalanya manusia yang mungkin tidak sanggup mengeluarkan kata-kata kesat ketika bersemuka, boleh berubah menjadi begitu agresif apabila berada di alam maya. Perbincangan tidak lagi bertujuan untuk pertukaran maklumat dan percambahan ilmu. Lawan tidak lagi dilihat sebagai rakan dialog, sebaliknya dianggap musuh yang mesti ditewaskan. Akibatnya, budaya ilmu semakin terhakis dan budaya menghukum semakin subur.
Dalam suasana ini, Islam menawarkan beberapa prinsip yang amat relevan. Antara prinsip penting yang ingin diangkat ialah budaya tabayyun, iaitu menyemak kesahihan maklumat sebelum mempercayai atau menyebarkannya. Firman Allah SWT dalam ayat keenam surah al-Hujurat memberikan panduan yang amat penting, khususnya dalam era penyebaran maklumat yang begitu pantas. Sesuatu maklumat perlulah dipastikan kesahihannya terlebih dahulu sebelum diterima dan dikongsikan bagi mengelakkan penularan berita yang tidak benar.
Selain itu, kita juga perlulah membudayakan penggunaan bahasa yang baik dan sopan. Perbezaan pandangan bukanlah alasan untuk kita mencela dan mencerca individu lain. Rasulullah SAW merupakan model terbaik yang seharusnya menjadi contoh ikutan bagi menguruskan perbezaan pandangan, sama ada secara bersemuka mahupun di alam digital.
Akhirnya, persoalan yang ingin ditekankan bukanlah sama ada kita boleh berbeza pandangan atau tidak, kerana perbezaan itu merupakan fitrah yang tidak mungkin dihapuskan. Persoalan yang jauh lebih penting ialah sama ada kita masih mampu berbeza tanpa bermusuhan. Sebuah masyarakat yang matang bukan diukur melalui keseragaman pemikiran, tetapi melalui keupayaannya mengekalkan rasa hormat ketika berbeza pendapat. Apabila adab hilang daripada budaya masyarakat, yang musnah bukan sekadar keharmonian, bahkan akan turut menghakis asas tamadun yang dibina atas nilai ilmu, hikmah dan akhlak.

