Keputusan Mahkamah Persekutuan pada 19 Jun 2025 berhubung rayuan oleh SIS Forum (Malaysia) (“SIS”) dalam isu semakan kehakiman terhadap fatwa yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor menandakan satu titik perubahan penting dalam landskap perundangan syariah dan Perlembagaan di Malaysia. Keputusan ini bukan sahaja menyentuh soal keabsahan fatwa terhadap entiti bukan individu, malah turut menimbulkan persoalan mengenai bidang kuasa negeri dalam mengeluarkan fatwa serta sempadan hubungan antara institusi keagamaan dan kerangka perundangan negara.
Pada 31 Julai 2014, Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor mewartakan Fatwa berhubung “Pemikiran Liberalisme dan Pluralisme Agama”. Antara kandungan utama fatwa tersebut:
SIS Forum (Malaysia) dan mana-mana Individu, pertubuhan atau institusi yang berpegang kepada fahaman liberalisme dan pluralisme agama adalah sesat dan menyeleweng daripada ajaran Islam.
Mana-mana bahan terbitan yang berunsur pemikiran-pemikiran fahaman liberalisme dan pluralisme agama hendaklah diharamkan dan boleh dirampas.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) hendaklah menyekat laman-laman sosial yang bertentangan dengan ajaran Islam dan Hukum Syarak.
Mana-mana individu yang berpegang kepada fahaman liberalisme dan pluralisme agama hendaklah bertaubat dan kembali ke jalan Islam.
SIS, sebuah syarikat berhad menurut jaminan (company limited by guarantee), memfailkan semakan kehakiman terhadap fatwa tersebut atas alasan bahawa sebagai entiti perundangan, ia bukan subjek yang boleh tertakluk kepada fatwa yang disasarkan kepada penganut Islam. Permohonan tersebut ditolak di Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan sebelum rayuan dibenarkan oleh Mahkamah Persekutuan melalui keputusan majoriti 3-1.
Mahkamah Persekutuan dalam penghakiman majoritinya menekankan bahawa bidang kuasa negeri dalam hal ehwal Islam di bawah Butiran 1, Senarai II, Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan, adalah terhad kepada “persons professing the religion of Islam”. Mahkamah menegaskan bahawa frasa ini merujuk hanya kepada individu manusia (natural persons) dan bukan entiti korporat (artificial persons) seperti SIS.
Sebagai entiti perundangan, sebuah syarikat tidak mempunyai kapasiti untuk beriman, beramal ibadah atau bertaubat. Maka, ia tidak boleh diklasifikasikan sebagai “penganut Islam”. Oleh itu, fatwa yang ditujukan kepada SIS Forum adalah tidak sah dalam konteks perlembagaan.
Mahkamah turut menyatakan bahawa tiada keperluan untuk “melihat di sebalik tirai perbadanan” (lifting the corporate veil) kerana fatwa secara jelas membezakan antara SIS sebagai entiti korporat dan individu Muslim yang turut terlibat.
Selain itu, keputusan ini memberi penekanan bahawa kuasa Jawatankuasa Fatwa hanya terpakai kepada individu Muslim. Walaupun fatwa boleh diterbitkan sebagai panduan umum, penguatkuasaannya ke atas entiti yang bukan “penganut Islam” adalah melebihi bidang kuasanya (ultra vires).
Penghakiman majoriti dilihat terlalu sempit kerana tidak memberi penekanan kepada pecahan (viii) Butiran 1, Senarai II berhubung kuasa untuk menentukan perkara hukum syarak. Fatwa bukan semata-mata bersifat penguatkuasaan, tetapi merupakan instrumen penetapan hukum yang menyumbang kepada pemeliharaan akidah umat Islam. Mahkamah sepatutnya membezakan antara autoriti mengeluarkan pandangan agama dan autoriti penguatkuasaan terhadap individu.
Mahkamah juga memutuskan bahawa arahan dalam fatwa kepada agensi Persekutuan seperti SKMM adalah bertentangan dengan peruntukan Perlembagaan, khususnya berkaitan dengan pembahagian kuasa antara Kerajaan Persekutuan dan Negeri.
Yang Arif Dato’ Abu Bakar Jais HMP dalam penghakiman menentangnya pula berpendapat bahawa sesebuah syarikat boleh terikat dengan fatwa berdasarkan kegiatan dan identiti yang digunakannya. Jika sesebuah organisasi secara aktif memperkenalkan diri sebagai suara Islam dan menyebarkan pandangan keagamaan, maka ia tidak harus bersembunyi di sebalik status perundangan untuk mengelakkan akauntabiliti syarak. Beliau juga menyatakan bahawa Mahkamah Syariah adalah forum yang lebih sesuai untuk mendengar cabaran terhadap kesahan substantif sesuatu fatwa, bukan Mahkamah Sivil.
Dari perspekstif yang lain, keputusan ini dilihat mengukuhkan bidang kuasa Jawatankuasa Fatwa. Mahkamah Persekutuan menegaskan bahawa individu Muslim yang menyokong fahaman liberalisme dan pluralisme agama tetap tertakluk kepada fatwa. Ini meneguhkan kedudukan Jawatankuasa Fatwa sebagai penjaga doktrin keagamaan Islam di peringkat negeri.
Mahkamah juga mengiktiraf bahawa aspek substantif hukum syarak, termasuk isu akidah dan pengawalan doktrin agama berada di luar bidang kuasa Mahkamah Sivil, selaras dengan Perkara 121(1A) Perlembagaan Persekutuan.
Namun begitu, keputusan ini juga membuka ruang baharu kepada entiti bukan individu untuk menyebarkan fahaman yang mungkin bercanggah dengan Islam arus perdana tanpa tertakluk kepada pengawasan fatwa. Ini berisiko melemahkan kredibiliti dan fungsi institusi fatwa, terutama dalam menghadapi cabaran ideologi kontemporari yang semakin kompleks dan bersifat transnasional.
Fiqh Islam moden mengiktiraf personaliti perundangan atau al-shakhs al-i’tibari (الشخص الاعتباري), iaitu entiti bukan individu seperti syarikat dan institusi yang boleh dipertanggungjawabkan secara hukum.
Dalam konteks ini, organisasi Islam seperti bank Islam, baitulmal dan institusi zakat juga tertakluk kepada taklif syarak berdasarkan fungsi dan peranannya. Maka, dari perspektif fiqh, tidak mustahil untuk meletakkan tanggungjawab syariah ke atas entiti seperti SIS.
Namun, Mahkamah Persekutuan memilih untuk kekal dalam bingkai tafsiran sivil tanpa mendalami prinsip ini yang boleh membantu memberi keseimbangan antara perundangan konvensional dan syariah.
Pada 25 Jun 2025, DYMM Sultan Selangor telah menitahkan agar SIS tidak lagi menggunakan nama “Islam” dalam penerbitan mereka bagi mengelakkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat. Titah ini, walaupun bukan suatu arahan berperundangan, mencerminkan keprihatinan pihak berkuasa agama terhadap penyalahgunaan istilah yang berkait rapat dengan identiti Islam.
Kesimpulannya, keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes SIS Forum mendedahkan jurang perundangan yang perlu ditangani secara tuntas. Ia juga menuntut penilaian semula terhadap peranan institusi fatwa dalam mendepani realiti semasa, termasuk penggunaan entiti korporat sebagai medium penyebaran fahaman kontroversi.
Oleh itu, wujud keperluan dan gesaan supaya pindaan dibuat terhadap Perlembagaan khususnya bagi memperhalusi perkara dalam Butiran 1, Senarai II. Ini termasuk meneliti kemungkinan memperkenalkan kategori entiti yang boleh tertakluk kepada fatwa secara lebih komprehensif. Begitu juga, penubuhan badan penyelarasan antara mahkamah dilihat perlu untuk menangani ketegangan antara Mahkamah Syariah dan Sivil secara berstruktur.
Selain itu, institusi fatwa juga harus diperkukuhkan melalui pemerkasaan kuasa penyelidikan dan penilaian, bukan hanya penguatkuasaan.
Kes-kes seperti Lina Joy, Subashini dan Indira Gandhi sebelum ini telah menunjukkan bahawa isu bidang kuasa Mahkamah Sivil dan Syariah bukanlah baharu. Maka, keperluan untuk satu pendekatan menyeluruh adalah semakin mendesak agar kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan dapat terus dipelihara selari dengan semangat Perlembagaan dan realiti masyarakat majmuk.
Disediakan oleh:
En. Mohd Noor Omar,
Felow, Pusat Kajian Syariah, Undang-undang dan Politik (SYARAK)
En. Muhammad Nur Akmal Adib bin Abdul Samad,
Pegawai Penyelidik, Pusat Kajian Syariah, Undang-undang dan Politik (SYARAK)