Pada ketika karya ini ditulis, bulan Syawal telah berada di penghujung minggu kedua. Namun kemeriahannya masih jelas terasa, khususnya di kawasan bandar dan sambutannya masih diteruskan dengan mengadakan rumah terbuka, yang akan terus dirayakan sehinggalah bulan Syawal melabuhkan tirainya.
Kita maklum bahawa Aidilfitri disambut sebagai meraikan hari kemenangan kepada umat Islam selepas berjaya menjalani ibadah puasa selama sebulan dengan sempurna pada bulan Ramadan. Dirayakan dengan penuh kesyukuran dan kegembiraan. Sebelum itu Ramadan berperanan sebagai “madrasah” yang mentarbiah penganutnya untuk menyuci jiwa dengan berpuasa serta berusaha meraih pahala berlipat ganda dengan mengerjakan amal-amal soleh. Semua ibadah yang dikerjakan itu adalah untuk memperkukuh hubungan seorang hamba dengan Penciptanya (hablum minallah).
Pengakhiran bulan Ramadan disambut dengan Aidilfitri dalam bulan Syawal sebagai medan untuk membersihkan pula hubungan antara manusia (hablum minannas) daripada sebarang kebencian, konflik atau permusuhan dengan saling bermaaf-maafan antara satu sama lain. Firman Allah SWT dalam Surah al-Ma’idah, ayat 13 bermaksud, “Maka maafkanlah mereka (jika mereka mahu bertaubat) dan janganlah dihiraukan. Sesungguhnya Allah mencintai orang yang berbuat baik.”
Amalan bermaaf-maafan dan saling ziarah-menziarahi sudah tentu dapat mengeratkan silaturahim serta ukhuwah dalam kalangan umat Islam. Ringkasnya, Ramadan dan Syawal ibarat dua musim anugerah Ilahi yang bertaut demi memperbaiki hablum minallah dan hablum minannas, iaitu mengembalikan semula manusia kepada fitrahnya sebelum setiap individu memulakan semula rutin masing-masing.
Selepas dua minggu kita merayakan lebaran, terdapat satu aspek penting yang perlu diberi perhatian sebagai penganut Islam, iaitu bermuhasabah atau refleksi diri. Walaupun Ramadan sering dianggap sebagai “madrasah”, tetapi tiada mudir atau asatizah yang dapat memberikan kita markah sama ada kita berjaya menempuhinya ataupun sebaliknya. Maka diri sendirilah yang perlu mengadakan refleksi untuk kita nilai sendiri prestasi ibadah kita. Allah SWT berfirman dalam Surah al-Baqarah, ayat 183 yang bermaksud, “Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu sebelum kamu, supaya kamu bertakwa.”
Di sini, takwa sekurang-kurangnya boleh dimaksudkan sebagai sikap seseorang yang memelihara dirinya daripada kemurkaan Allah dengan melakukan apa yang diperintahkan, dan meninggalkan setiap yang dilarang. Setiap tindakannya itu pula adalah benar-benar atas dasar ketaatan terhadap Allah. Satu perkara yang kurang disedari bagi ciri-ciri orang yang bertakwa adalah, apabila ia berada dalam keadaan terdesak ia akan memohon pertolongan daripada Allah dengan bersungguh-sungguh.
Dalam kehidupannya pula, insan yang bertakwa ialah seorang yang memiliki akhlak dan pekerti yang mulia seperti bercakap dengan baik, amanah, ihsan, jujur, sabar dan mudah untuk menghulurkan bantuan. Selain itu ia akan sentiasa berhati-hati apabila perlu melakukan sebarang tindakan atau keputusan.
Kembali kepada maksud ayat dalam Surah al-Baqarah sebagaimana yang telah disebut sebelum ini, ayat ini jelas menunjukkan bahawa matlamat utama puasa dalam bulan Ramadan adalah untuk melahirkan insan yang bertakwa. Maka, refleksi jujur selepas Aidilfitri adalah dengan menilai sama ada puasa yang dilaksanakan sebelum itu telah berjaya mendidik hati dan jiwa dengan memiliki sifat orang yang bertakwa, ataupun masih belum berjaya.
Konsistensi dalam ibadah adalah antara perkara yang perlu dilihat dalam refleksi diri. Ramadan sering menyaksikan pelaksanaan ibadah secara bersungguh-sungguh seperti melaksanakan solat sunat—selain solat terawikh yang sememangnya hanya boleh dilakukan dalam bulan Ramadan—tilawah al-Quran, menyantuni anak yatim atau golongan yang kurang bernasib baik, berinfaq dan sebagainya. Persoalannya, adakah amalan ini diteruskan secara bersungguh-sungguh selepas berakhirnya Ramadan dan Aidilfitri?
Rasulullah SAW bersabda, “Amalan yang paling disukai oleh Allah ialah amalan yang berterusan walaupun sedikit.” Isi penting yang terkandung dalam hadis riwayat Muslim ini boleh kita letakkan sebagai penanda aras istiqamah kita dalam beribadah. Mungkin juga untuk sesetengah orang, hanya pada bulan Ramadanlah peluang yang mereka miliki untuk melakukan ibadah dengan kuantiti yang lebih besar disebabkan kekangan tertentu yang terpaksa mereka hadapi dalam sepanjang tahun.
Di samping itu, kesedaran sosial dan tanggungjawab kemanusiaan juga adalah antara nilai yang ditanam ketika dalam bulan Ramadan. Galakan untuk berinfaq dan kewajipan melaksanakan zakat fitrah adalah bukti bahawa agama Islam sangat menekankan keadilan sosial dan kepedulian terhadap golongan yang memerlukan.
Maka selepas Aidilfitri kita wajar bermuhasabah. Adakah keprihatinan sosial masih dapat diteruskan? Ingatlah bahawa Nabi Muhammad SAW pernah bersabda yang bermaksud, “Sebaik-baik manusia adalah yang paling bermanfaat kepada manusia yang lain.” (Hadis Riwayat al-Tabarani). Justeru, amalan membantu orang lain perlu menjadi budaya hidup seorang Muslim dalam hidup bermasyarakat dan bukan hanya terbatas ketika bulan Ramadan.
Sehubungan itu Ramadan turut mengajar kita tentang pentingnya disiplin dan pengurusan masa yang teratur. Cabaran selepas Aidilfitri adalah bagaimana hendak mengekalkan rutin yang efisien dan bermanfaat. Justeru, menghindari perkara-perkara yang melalaikan serta menjaga solat lima waktu mestilah diutamakan sepanjang hayat seorang Muslim dalam membentuk keperibadian sejati.
Sebagai penutup, refleksi diri seharusnya berjaya membawa diri kita kepada satu kesedaran, bahawa Aidilfitri bukanlah penamat kepada ibadah, tetapi sebagai momentum kepada kehidupan pasca-Ramadan yang jauh lebih bermakna untuk meningkatkan keimanan dan ketakwaan demi mendapatkan keredaan Allah SWT. Mudah-mudahan kita tergolong dalam kalangan hamba-hamba-Nya yang istiqamah dan sentiasa memperbaiki diri dari semasa ke semasa.