Wakaf merupakan ibadah yang mulia dan amat dituntut dalam Islam. Amalan wakaf juga merupakan tradisi merentasi zaman yang telah membuahkan dan mendatangkan pelbagai manfaat yang besar kepada golongan yang pelbagai, khususnya kepada masyarakat Islam sendiri. Wakaf juga dinilai sebagai suatu amalan bersifat “spiritual” yang bertujuan mendekatkan diri pewakaf kepada Allah SWT (taqarrub) dengan cara memutuskan pemilikannya ke atas suatu harta dan memberikannya untuk manfaat dan kepentingan ramai.
Di negara kita, amalan wakaf ini bukanlah perkara yang asing. Amalan atau perbuatan mewakafkan tanah adalah salah satu contoh bentuk wakaf yang sering dilaksanakan oleh masyarakat Islam di Malaysia. Menurut statistik yang dikeluarkan oleh Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR), terdapat 25,047 hektar tanah wakaf di seluruh negara pada tahun 2024 dan jumlah ini meningkat berbanding 20,992 hektar pada tahun 2023. Hal ini menunjukkan bahawa amalan wakaf tanah adalah pada pola meningkat dan ini merupakan suatu perkara yang positif dalam industri wakaf di negara ini. Secara umumnya, kebanyakan tanah ini diwakafkan bagi tujuan pembinaan masjid, surau, sekolah agama, tanah perkuburan Islam dan rumah anak yatim.
Walau bagaimanapun, masih terdapat banyak tanah wakaf yang tidak didaftarkan di bawah Majlis Agama Islam Negeri (MAIN). Hal ini berpunca daripada amalan masyarakat Malaysia yang banyak melaksanakan wakaf lisan sahaja tanpa penyediaan apa-apa dokumen ‘hitam putih’ terutamanya oleh generasi terdahulu. Terdapat juga pewakaf yang menyediakan dokumen wakaf tetapi tidak didaftarkan kepada MAIN. Hal ini berpotensi menimbulkan banyak isu pada masa hadapan termasuklah dalam isu pemilikan, tuntutan dan penyalahgunaan tanah wakaf oleh pelbagai pihak. Undang-undang telah memperuntukkan bahawa tanah wakaf mestilah didaftarkan dengan pihak MAIN bagi membolehkan MAIN bertindak sebagai pemegang amanah tunggal ke atas tanah wakaf tersebut. Sebagai contoh, berdasarkan seksyen 61 Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1993, tanah wakaf harus didaftarkan dan MAIN hendaklah menjadi pemegang amanah tunggal bagi semua wakaf. Hal ini membolehkan MAIN menguruskan serta mengusahakan tanah wakaf tersebut dan memastikan ia dapat mendatangkan manfaat kepada orang ramai. Niat dan hasrat pewakaf juga akan tercapai dan dapat dipenuhi sekiranya diuruskan oleh badan yang bertanggungjawab dan berautoriti.
Tanah wakaf yang tidak berdaftar berpotensi menimbulkan isu pemilikan kerana sistem pemilikan tanah di negara ini adalah berasaskan sistem Torrens (pendaftaran hak milik). Sistem Torrens adalah sistem pendaftaran hak milik tanah iaitu pemilikan tanah hanya sah apabila ia didaftarkan di bawah nama individu atau pihak yang berkenaan. Dalam konteks wakaf, MAIN akan didaftarkan sebagai pemilik tanah wakaf tersebut. Hal ini membolehkan MAIN menguruskan dan melaksanakan apa jua perancangan pembangunan serta mengusahakan tanah tersebut sebagai pemegang amanah. Sekiranya tanah wakaf tidak didaftarkan kepada MAIN dan pendaftaran nama MAIN sebagai pemegang amanah tidak dibuat ke atas tanah yang diniatkan untuk wakaf tersebut, maka tanah tersebut kekal di atas nama pemilik asal atau pewakaf. Natijahnya, tanah tersebut berkemungkinan terdedah kepada tuntutan oleh ahli waris apabila pemilik/pewakaf meninggal dunia sebagai harta pusaka. Akhirnya, tanah yang pada asalnya dihasratkan dan diniatkan untuk tujuan wakaf yang memberikan manfaat kepada orang ramai, menjadi milik waris-waris atau dijual dan dibahagikan sesama mereka. Keadaan ini diburukkan lagi dengan ketiadaan dokumen atau saksi yang boleh mengesahkan kewujudan wakaf tersebut. Pembuktian kewujudan wakaf juga akan menjadi lebih sukar sekiranya tanah tersebut tidak diusahakan atau dimanfaatkan seperti untuk pembinaan masjid, sekolah atau tujuan lain.
Selain itu, tanah wakaf tidak berdaftar dengan MAIN juga terdedah kepada penyelewengan dan pindah milik secara tidak sah oleh pelbagai pihak, termasuk oleh waris-waris pewakaf sendiri. Terdapat banyak kes di mana tanah yang telah diwakafkan oleh pemilik/pewakaf semasa hayatnya, tetapi dijual atau dipindah milik oleh waris-waris setelah kematiannya. Hal ini boleh berlaku kerana geran hak milik tanah masih kekal di atas nama si mati. Hal ini memungkinkan waris-waris mendakwanya sebagai harta pusaka yang mana mereka berhak ke atasnya. Malah, lebih menyedihkan apabila terdapat sebahagian individu/pihak yang tidak bertanggungjawab dengan sengaja mengabaikan dan menafikan wakaf yang telah dibuat oleh si mati, tanpa segan silu memperlakukan tanah tersebut seperti hak diri mereka sewenangnya. Bukan sahaja tanah wakaf tidak dimanfaatkan dan diusahakan, bahkan dijual dan hasilnya dinikmati untuk kepentingan peribadi. Hal ini juga dilihat berpunca daripada kecetekan ilmu serta sifat kurang cakna dan memandang enteng kepentingan memelihara tanah wakaf ini.
Tidak kurang juga kes yang dilaporkan berkenaan pencerobohan ke atas tanah-tanah wakaf. Status tanah wakaf yang tidak berdaftar dengan MAIN mengakibatkan kesukaran kepada pihak MAIN untuk mengawal selia, menguatkuasa serta mengambil tindakan undang-undang ke atas penceroboh tanah wakaf kerana diluar cakupan pemilikan atau kepentingan MAIN sebagai pemegang amanah.
Sehubungan itu, adalah amat penting supaya para pewakaf mendaftarkan harta wakaf mereka dengan MAIN supaya dapat diurus dan ditadbir dengan sebaiknya menurut lunas perundangan dan syarak. Hal ini juga supaya isu-isu berkaitan pemilikan dan tuntutan seperti yang dinyatakan di atas dapat dielakkan. Perlu diingat bahawa walaupun rukun-rukun dan syarat-syarat wakaf telah dipenuhi, tetapi pendaftaran tanah wakaf masih perlu dibuat selaras dengan keperluan dan peruntukan undang-undang di negara kita. Hal ini selaras dengan saranan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad pada 5 Mei 2025 supaya semua tanah yang diwakafkan untuk kepentingan umat Islam khususnya bagi pembinaan surau, masjid, sekolah agama dan tanah perkuburan di negeri Perak wajib didaftarkan di bawah MAIN negeri tersebut, susulan insiden tuntutan pemilikan tanah Masjid Jamek Ar-Ridzuan di Alor Pongsu, Kerian yang dimiliki oleh seorang individu bukan Islam.
Tuntasnya, adalah penting supaya setiap individu atau pihak yang ingin berwakaf mematuhi setiap peraturan dan undang-undang yang telah ditetapkan bagi memastikan kelancaran dalam pengurusan tanah wakaf. Sudah menjadi tanggungjawab pewakaf untuk mendaftarkan tanah wakaf mereka di bawah MAIN. Semua pihak perlu senada dalam perkara ini dalam menyuburkan kefahaman tentang pengurusan wakaf yang benar dan tepat dalam kalangan masyarakat agar insiden seperti ini tidak lagi berulang di masa hadapan. Adalah menjadi harapan supaya industri wakaf di negara kita dapat menjana kemajuan ekonomi Islam dan negara seterusnya memberi manfaat kepada sejagat.