Menurut tokoh falsafah Yunani purba, Socrates (m. 399 SM), imperialisme pada hakikatnya berakar umbi daripada yang ditafsirkan oleh anak muridnya, Plato (m. 348 SM) dalam karyanya, Phaedo, sebagai psykhe iaitu jiwa manusia.
Juga disebut sebagai entelechy yang muncul dan berakhir bersama-sama jasad, jiwa merupakan sesuatu yang sifatnya sering mendesak. Tuntutannya yang berterusan terhadap kebendaan menjadi punca utama bagi segala konflik: “…kerana demi mendapatkan kekayaanlah segala peperangan berlaku, dan kita terpaksa mencari kekayaan oleh kerana tuntutan tubuh badan…”
Imperialisme dan peperangan bukanlah sesuatu yang asing bagi Malaysia, atau Tanah Melayu sebagaimana ia dikenali dahulu, setelah menempuh pengalaman lebih 400 tahun dijajah silih berganti oleh Portugis, Belanda, Inggeris, dan Jepun. Sejarah ini membuktikan bahawa ketiadaan kesatuan pemikiran dan kekuatan pertahanan hanya akan mengundang penaklukan kuasa asing.
Perang Iraq (2003–2011) merupakan contoh mutakhir imperialisme walaupun tidak dinamakan sedemikian. Menurut Laporan Chilcot (2016), “pertimbangan mengenai tahap ancaman senjata pemusnah besar-besaran telah dibentangkan dengan kepastian yang tidak wajar.”
Sebaliknya, laporan tersebut menyedarkan kita bahawa casus belli atau punca tercetusnya peperangan ialah keinginan untuk mengeksploitasi sumber asli Iraq terutamanya yang kaya dengan minyak. Tragedi ini mengakibatkan kemusnahan negara dan kematian besar rakyatnya yang tidak mampu menuntut bela setelah daya upayanya lumpuh.
Manusia mudah terpedaya dengan propaganda luar kerana diri tidak dilengkapi dengan alat mantiqi untuk berfikir secara kritis. Sekiranya sesuatu dakwaan tidak dapat ditentu-sahkan, sifat berhati-hati sewajarnya diamalkan terhadap mereka yang memulakan dakwaan tersebut. Sudah menjadi urusan para penghasut peperangan untuk memutarbelitkan kata-kata, merosakkan institusi, melenyapkan warisan tanah air, dan menyemai perpecahan atas dasar tamak haloba.
Dalam pandangan alam Islam, desakan nafsu dianggap sebagai musuh dalaman yang mesti dikekang (Surah Yusuf, 12:53). Ahli metafizik Islam seperti al-Farabi, al-Ghazali, dan Ibn Rushd menghujahkan bahawa sebarang tatanan politik merupakan cerminan makrokosmos rakyatnya; yang setiap jiwa individu senantiasa terlibat dalam pertarungan antara aspek diri yang rasional (al-nafs al-natiqah) dengan aspek diri yang haiwani (al-nafs al-hayawaniyyah).
Walaubagaimanapun, terdapat perbezaan mendasar antara faham jiwa tradisi Yunani dan tasawwur Islam. Berbeza dengan pandangan Yunani yang membataskan jiwa kepada kehidupan jasadi, Islam menggariskan hakikat jiwa sebagai entiti abadi melangkaui kematian yang sebenarnya adalah perpindahan menuju Akhirat untuk pertanggungjawaban di hadapan Rabb al-Jalil. Setiap amal akan ditimbang mengikut neraca keadilan yang mutlak dan setiap keputusan di dunia membawa natijah yang ditanggung sehingga alam abadi.
Seorang yang berakal dengan kekuatan sifat kawalan diri mempunyai kekuatan untuk mengekang nafsu rendahnya (Surah al-Nazi‘at, 79:40-41). Pemimpin yang adil adalah yang berjaya mentadbir “kerajaan dirinya” sendiri sebelum mengurus tadbir hal ehwal orang lain. Sebaliknya, pemimpin yang lemah adalah yang tewas kepada kerakusan dan kejahilan, yang akhirnya mendorongnya supaya berlaku zalim.
Negara yang berdaulat terdiri daripada rakyat yang mempunyai kawalan diri secara berjemaah yang berpadu dengan keadilan yang ditegakkan oleh pemimpin. Namun, keadilan hanya dapat dilaksanakan sekiranya pemimpin menerapkan sifat keberanian; kerana seorang pengecut akan sentiasa takut akan tindak balas.
Walhasil, pelaksanaan segala sifat baik yang utama (fadilah) memerlukan hikmah, iaitu kurniaan Allah Ta‘ala yang disebut sebagai “kebajikan yang banyak” (Surah al-Baqarah, 2:269). Sebagaimana yang dihujahkan oleh Tan Sri Profesor Syed Muhammad Naquib al-Attas, hikmah merupakan ilmu tentang tempat yang betul dan wajar bagi setiap sesuatu, yang natijahnya adalah keadilan.
Lawan bagi hikmah ialah kejahilan yang melahirkan kekeliruan, seterusnya membawa kepada kezaliman dalam urus tadbir mahupun hubungan antarabangsa. Maka, pendidikan adab yang berterusan terhadap nilai-nilai murni inilah yang akan menjadi perisai ampuh bagi memelihara kedaulatan watan daripada terjerumus ke dalam kancah konflik yang dicetuskan oleh mereka yang gagal mengawal kerajaan diri dan rakus menuruti hawa nafsu.

