Ramadan Bulan “Membakar” Dosa
Dengan izin Allah Ta‘ala, kita masih berpeluang pada tahun ini berada dalam bulan penuh barakah untuk sama-sama mengecapi kelebihan dan keutamaan Ramadan. Masih ada dalam kalangan kita yang melihat Ramadan hanyalah sebagai bulan puasa, iaitu bulan menahan dari makan dan minum dan perkara-perkara yang membatalkan puasa. Ada juga yang melihat Ramadan sebagai bulan pesta makan-minum dengan bazar Ramadan di merata tempat, sehingga di sesetengah tempat adakalanya menimbulkan perebutan dan pergaduhan untuk mendapat tempat berniaga di bazar Ramadan. Bulan dilihat akan memberi pulangan pendapatan yang besar bagi peniaga makanan.

